Monday, July 21, 2008

SEKILAS BERSAMA DHARMALA NS


Penulis prolifik Pak Dharmala NS
Friday, July 18, 2008
JEJAK PULANG SASTERAWAN
MEMOIR SEPANJANG BERKARYA
(yang tersirat tak menjerat; yang tersurat tak melarat)

SETITIS TINTA

BANYAK NOVEL DITERBITKAN SEKITAR 60-an
MINAT MEMBACA TETAPI TIDAK MAMPU BELI

Assalamualaikum,
Sekitar dekad 1960-an novel-novel banyak diterbitkan menerusi syarikat swasta yang memberi galakan kepada pertumbuhan karyawan Melayu. Bagaimanapun saya sekadar berminat membaca, tetapi tak mampu membelinya. Memang harga senaskhah novel ketika itu sekadar RM2 atau RM2.50 sahaja, sebaliknya nilai kewangan terlalu tinggi. Apalagi senaskhah akhbar ‘Utusan Melayu’ atau ‘Berita Harian’ (Utusan Malaysia belum diterbitkan) hanya 15 sen sahaja (Utusan Zaman hari minggu ialah 20 sen), di samping bergunting rambut cukuplah 50 sen. Sekiranya keluar ke Seremban, makan nasi campur dengan ikan sepotong pun 50 sen sahaja (di kedai ‘Nasi Padang’ milik Cikgu Hamid Naran di terminal bas di Seremban).

Pada 1966 apabila saya terpilih menyertai pertandingan ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ peringkat Negeri Sembilan mewakili daerah Jelebu bahagian ‘Perbualan’, pasukan saya menang selaku juara. Rakan saya yang terbabit dalam pertandingan tersebut masih lagi pelajar di Sekolah Undang Luak Jelebu, Kuala Kelawang iaitu Siow Siew Sing (sekarang menetap di Australia) dan Dr Joghinder Singh (sekarang pengamal perubatan di Jelebu). Sebelumnya dalam pertandingan bahas, pasukan daerah Jelebu tewas kepada wakil Kuala Pilah di peringkat awal yang diadakan di Sekolah Seri Kelana, Channer Road (sekarang Jalan Dato’ Siamang Gagap). Pasukan saya diwakili oleh pelajar-pelajar sekolah juga termasuk Hishamuddin Rais (sekarang aktivis NGO), Susan Ho dan Maznah Yusuff.

Juara bagi pemenang ‘Perbualan’ dalam pertandingan ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ itu sekadar dua buah buku sahaja iaitu novel dan antologi cerpen. Saya menerima bungksuan mengandungi novel ‘DAHAGA’ karya Yahaya Samah dan antologi cerpen ‘DARI AVE MARIA KE JALAN LAIN KE ROMA’ karya Idrus (Indonesia). Dengan memiliki dua karya berkenaan, saya semakin menekuni minat untuk menulis, tetapi merasakan seolah-olah lorong di hadapan terlalu gelap, telap dan malap! Bagaimanapun secara beransur-ansur saya mula menghasilkan skrip drama pentas, di samping menulis gurindam untuk siaran radio yang dikelolakan oleh Azah Aziz, Ramli Abdul Samad dan Rosli Yusuff (penerbit ‘Gurindam Jiwa’ di radio Melaka).

Sebaliknya saya sempat menemui Yahaya Samah hanya pada 2000 di pejabat Tan Sri Abdul Samad Idris di FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional), iaitu selepas empat dekad saya menerima hadiah novel ‘DAHAGA’. Sebelumnya pernah juga terserempak di pejabat Penerbitan Pena (Harun Hassan atau Pak Harun), tetapi sekadar melambai-lambai tangan sahaja. Ketika terserempak di pejabat Tan Sri Abdul Samad Idris, beliau merungut kerana tak larat membantu buat penyelidikan di Arkib Negara dengan usia semakin meningkat menjadi warga emas. Apalagi terlalu lama merenung gambar-gambar atau dokumen-dokumen lama menjadikan mata berbinar-binar hingga kepala juga terasa berdenyut. Tetapi novel ‘DAHAGA’ dan antologi cerpen ‘DARI AVE MARIA KE JALAN LAIN KE ROMA’ itulah menjadi pemangkin saya berkarya di peringkat awal dulu.(Dipetik daripada Blog Dharmala NS Pustaka Adimul/Jawatankuasa ad-hoc
-Dharmala N.S.

KEBEBASAN INTELEKTUAL

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.