Monday, July 28, 2008

KRISIS PERLANTIKAN UNDANG DI SUNGAI UJONG


YTM Undang Luak Sungai Ujong Ke-10, Datuk Kelana Putera Mubarak Thalak@Dohak dan isteri.

Krisis Undang Sungai Ujong Belum Berkesudahan!
Oleh A.F.Yassin

Luhak Sungai Ujong, seperti tiga luhak adat yang lain di Negeri Sembilan – Rembau, Johol dan Jelebu – menganut sistem Adat Perpatih yang dikatakan diasaskan kepada Adat Minangkabau dari Sumatera Barat. Luhak ini telah menyerap adat ini sejak setengah abad yang lalu. Ada yang tidak setuju adat ini berasal daripada Adat perpatih tetapi umumnya ia dikatakan berasal dari Ranah Minang.

Kini adat itu diancam salah laku oleh sebahagian penganutnya. Dan ia berada pada tahap kritikal. Krisis demi krisis muncul antara Penghulu Adat yang digelar Undang dengan Datuk-Datuk Lembaga dan para warganya. Hal ini jelas di Luhak Sungai Ujong sejak kematian Undang Datuk Kelana Putra Ke-9, Mohammad Kassim Datuk Nika Haji Abdul Rashid lebih 20 tahun yang lalu, persisnya 28 Julai. Krisis bermula apabila Raja Abdul Rahim Raja abdul Razak dari Rumpun Bayu, diisytiharkan oleh anak warisnya sebagai Datuk Kelana Putera Ke-10 pada 8 Mac 1986, iaitu setelah hampir dua tahun Luhak Sungai Ujong tidak mempunyai penghulu adat.

Kemudian pada 2 Julai 1987, seorang warga adat dari Rumpun Dusun, Lenggeng, diisytiharkan pula oleh warisnya sebagai Datuk Kelana Putera Ke-10. Dengan demikian kononnya Raja Abdul Rahim dianggap tidak sah sebagai Undang. Bagaimanapun tidak ada perestuan dari Dewan Keadilan Negeri, yang bertanggung jawab mengesahkan sebarang perlantikan Undang. Dewan Keadilan Negeri ini dianggotai oleh semua Undang yang empat bersama Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai ex-officio. Dewan dipengerusikan oleh Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Menurut Perlembagaan Dewan ini tidak ada kuasa melantik tetapi mempunyai kuasa merestui dan mengesahkan perlantikan yang lazimnya dibuat oleh Tua Waris Hulu, Tua Waris Hilir dan Waris Nan Tua.

Oleh kerana kedua-dua perlantikan, Raja Abdul Rahim dan Samsir tidak direstui disebabkan tidak mengikut adat yang sah, maka Sungai Ujong tidak mempunyai Undang sehinggalah satu muafakat diperoleh di kalangan tiga waris tua ini untuk memilih seorang undang yang dapat direstui Dewan Keadilan Negeri. Mereka memilih Mubarak bin Thahak @ Dohak, seorang kerani dan waris Hulu sebagai Datuk Kelana Putra Ke-10. Perlantikan Mubarak disempurnakan pada 29 Disember 1993.

Seorang Tua Waris Hulu, Razali Abdul Khalid, bekas Datuk Johan dari Waris Kelana, berkata, secara adatnya perlantikan pengganti Datuk Kelana Putra yang baru perlu dilakukan sebaik sahaja penyandangnya meninggal dunia. Lazim adat sejak 500 tahun dahulu memang begitu. Bagaimanapun pengganti Datuk Kelana Putra menimbulkan masalah kerana timbulnya perebutan jawatan di kalangan ahli waris. Adat menentukan bahawa jika Datuk kelana yang meninggal dunia itu datangnya dari waris Perut Hilir, maka penggantinya haruslah digilirkan kepada waris Perut Hulu pula.

Namun, perestuan Mubarak sebagai Datuk Kelana Putra oleh Dewan Keadilan Negeri tidak juga menyelesaikan masalah. Sepatutnya setelah mendapat “restu” Mubarak hendaklah dikerjankan (ditabalkan) dalam tempoh tertentu (100 hari?) sebagai Undang Sungai Ujong. Acara kerjan ini penting sebagai tanda sah Mubarak memegang jawatan Undang Datuk Kelana Putra. Kata Razali, Tua Waris Perut Hulu, “selagi acara kerjan ini tidak dilakukan maka selagi itulah jawatan Mubarak sebagai Undang Datuk Kelana Putra dianggap masih under probation. Dalam majlis kerjan ini semua Datuk Lembaga dan Datuk Batin (penghulu orang asli) akan mengadap Undang menyembahkan taat setia. Tapi ini belum dilakukan. Jadi Mubarak belum disahkan daripada jawatannya.”

Pengesahan jawatan ini penting kerana sebarang keputusan adat yang diambil Undang tidak dapat dilaksanakan kecuali Undang telah disahkan dalam jawatannya. Sehingga dengan demikian Mubarak, selama menjadi Undang belum lagi dapat berfungsi. Institusi dan peraturan adat tidak membenarkannya. Semua tugas rasminya terbantut. Persoalannya selama menjadi Datuk Kelana Putra, Mubarak telah membuat pelbagai keputusan. Menurut Razali, Mubarak didakwa telah membuat 13 keputusan yang dianggap salah laku di sisi adat, sekaligus menyerlahkan kelemahannya sebagai ketua adat.

Razali menyenaraikan kesemua salah salah laku Mubarak dalam satu memorandum pemecatan Datuk Kelana Putra Ke-10 yang telah diserahkan kepada Dewan Keadilan Negeri baru-baru ini untuk mendapat perestuan. Menurut memorandum, Selain Mubarak belum dikerjankan, di Sungai Ujong belum ada penyandang pusaka Datuk Shahbandar sebagai tunggak Waris Di Air dan penyandang pusaka Datuk-Datuk Lembaga Tiang Balai. Sebabnya, penyandang yang ada masih dipertikaikan, iaitu Datuk Andika Mendulika dari Waris Di Darat, Datuk Sri Maharaja Diraja dari Waris Di Air dan Datuk Akhiruzzaman Rantau. Datuk Penghulu Muda Labu Hilir pula belum disempurnakan jawatannya sementara Datuk penghulu Dagang Paroi belum dilantik.

Kedudukan Telaga Undang masih dipersoalkan. Telaga Undang ialah sebuah rumah atau tempat bagi waris yang “bersaka’ dan “Ibu Soko” di Carak Darat (Perut Hulu dan Perut Hilir) berunding dan berbincang tentang semua perkara adat Waris berkenaan. Sejak zaman-berzaman Telaga Undang hendaklah ditempatkan di salah sebuah rumah “Ibu Soko” Tua Waris Carak Darat dari Perut Hulu. Dan sehingga hari ini dikatakan Telaga Undang yang ada belum pula dirasmikan. Di pangkal serambi rumah “Ibu Soko” yang dikatakan di Telaga Undang itu belum terpasang tabir langit-langit, sampaian, peterana lima tingkat dan gunung berakat dengan bersilang gunting. Majlis kenduri menyambut 23 Ramadhan yang sepatutnya diadakan belum dibuat. Di pekarangan rumah masih belum ada tonggol, ular-ular, panji-panji, payung kebesaran, tombak, pedang, keris panjang dan keris pendek untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Fungsi Telaga Undang ini penting dalam menyelesaikan masalah adat. Jika masalah tidak dapat diselesaikan di Telaga Undang, barulah masalah itu dibawa ke Balai Undang untuk mendapatkan keadilan. Sebagai contoh masalah pemilihan penyandang pusaka Datuk Andika Mandulika pada 6 Oktober 1996, pemecatan Datuk Maharaja Lela pada 10 Mac 2000 dan pemecatan Buapak Perut Hilir hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di Telaga Undang. Sebabnya kuasa memilih dan memecat di tangan Telaga Undang. Tetapi apabila pemecatan itu disahkan oleh Mubarak tanpa dibincangkan terlebih dahulu di Telaga Undang, maka Mubarak dianggap telah merampas kuasa Telaga Undang.

Status penyandang pusaka Datuk Akhiruzaman Rantau, Sallehan Ismail telah dipulihkan oleh Mubarak pada tahun 1994 di Telapak Undang Kampung Telaga, Pantai, tanpa kehadiran Datuk Shahbandar. Tindakan Mubarak ini dianggap tidak mengikut peraturan Adat Pusaka Dua Sela Sungai Ujong. Menurut adat, Datuk Shahbandar perlu turut sama hadir untuk mebuat sebarang keputusan. Demikian pula perlantikan Datuk Muda Linggi Ke-11, Mohd. Basri Haji Omar, 2 November 1996. Kuasa melantik kedua-dua Datuk ini adalah hak bersama Datuk Kelana Putra dan Datuk Shahbandar, seperti lazimnya dalam Adat Pusaka Dua Sela ini. Mengikut adat, Datuk Muda Linggi beremakkan Datuk Shahbandar dan berbapakan Datuk Kelana Putra.

Razali mempertikaikan pemilihan penyandang Datuk Andika Mandulika pada 6 Oktober 1996 di rumah “Ibu Soko” Raja Rafiah di Kampung Air Hangat, Pantai yang dibuat secara undian. Sepatutnya pemilihan dibuat secara muafakat (kebulatan) di kalangan ahli waris. Sehari sesudah perlantikan secara undian itu seramai 26 anak waris memohon kepada Datuk Kelana Putra Mubarak membatalkannya, tetapi Mubarak terus mengesahkan perlantikan Datuk Andika Mandulika.

Mubarak juga difahamkan enggan mengesahkan pemecatan Datuk Maharaja Lela Abdul Mukhti Haji Abdul Aziz oleh waris Perut Hilir Kampung Manggis dan Kampung Godang. Pemecatan ini dibuat mengikut adat kerana Datuk Mukhti menghadiri kerapatan (pertemuan) Waris Di Air yang mahu mencari “benih” Datuk Shahbandar di Labu pada 14 Mac 1999. Di sisi adat Datuk Mukhti tidak sepatutnya hadir. Pada 16 Mac 2000, Datuk Mokhti memecat pula Datuk Lela Bangsa. Pemecatan dibuat melalui telefon sahaja. Cara pemecatan ini amat bertentangan dengan peraturan adat. Dan Mubarak dikatakan menerima pemecatan itu yang menurut adat dianggap satu lagi salah laku.

Mubarak turut mengarahkan empat ahli waris Perut Di Air mencari “benih” (calon) penyandang pusaka Datuk Shahbandar, merangkap tunggak Waris Di Air. Satu pertemuan telah diadakan di rumah “Ibu Soko” Zainab Jamlus di Labu pada 27 Julai 1998. Dengan arahan ini maka ia merupakah satu salah laku di sisi adat. Kata Razali, arahan Datuk Kelana putra itu tanpa melalui wakil Waris Di Air tetapi turut menghantar wakilnya dianggap mencampuri adat pusaka Waris Di Air. Mubarak juga didakwa menghalau anak-anak Waris Di Air dari pekarangan Balai Undang pada Hari Raya Aidilfitri kedua pada tahun 1999. Mengikut adat, majlis mengadap Datuk Kelana Putra pada hari raya kedua wajib diadakan setiap tahun dan hendaklah dihadiri oleh dua carak waris negeri, iaitu Waris Di Darat dan Waris Di Air. Ini tercatat dalam Terombo Fasal 26 dan Fasal 43. Dengan menghalau anak waris Waris Di Air ini maka Mubarak seperti merosakkan perjalanan adat pusaka Sungai Ujong. Padahal dalam majlis ini. Mubarak mempunyai kedudukan seperti “mayat dimandikan”. Yang berkuasa dalam majlis itu ialah Waris Perut Ulu dan Perut Hilir.

Satu memorandum anak Waris Di Air telah dihantar kepada Waris Di Darat pada 16 Januari 2000 menyatakan rasa terkilannya terhadap campur tangan Datuk Laksamana Syahruzaman Haji Malik dan Datuk Maharaja Lela Mokti dalam urusaan adat pusaka Waris Di Air Sungai Ujong. Datuk Laksamana dikatakan menghalau anak-anak Waris Di Air daripada majlis kerapatan Hari raya kedua, sementara Datuk Maharaja Lela Mokti menghhadiri kerapatan Waris Di Air pada 27 Julai 1998. Menurut adat Mokti tidak sepatutnya hadir. Kemudian Datuk Kelana Putra pula dikatakan bertindak menahan elaun (pencen?) anak-anak Waris Kampung Godang dengan wakil penerimanya Hajah Hasnah Ajud dan Kampung Manggis dengan wakil penerimanya Raja Asiah Raja Hamzah. Alasannya ialah anak-anak Waris ini telah berselisih faham dengan Datuk Maharaja Lela Mokti. Perselisihan faham ini timbul kerana “Ibu Soko” dan waris yang bersako kedua-dua kampung yang mewakili Perut Hilir ini bertindak memecat Datuk Maharaja Lela Mokti 10 Mac 2000.

Demikianlah tindakan pecat-memecat dan lantik-melantik yang tiada berkesudahan, tanpa mengambil kira peraturan adat seperti yang termaktub dalam Terombo. Tindakan yang dianggap sewenang-wenangnya dilakukan Mubarak ini bagaikan merosakkan perjalanan adat di Sungai Ujong. Seorang pengkaji adat dan penulis beberapa buah buku tentang adat di Negeri Sembilan, Nurhalim Ibrahim mengakui sikap “jahil” tentang sistem adat yang telah ditradisikan sebagai satu budaya murni orang Sungai Ujong, khasnya dan orang Negeri Sembilan umumnya menjadi “biang keladi” kepada semua masalah yang timbul.

Katanya, “Kita melihat budaya dan adat resam orang Melayu di Sungai Ujong sudah terhakis banyak kerana elemen kepentingan diri dan politik. Pada hal, budaya dan tradisi adat kita itu amat berkesan dalam menyusun sistem kehidupan bermasyarakat. Kita tidak boleh lupa bahawa sistem dan budaya adat inilah wujudnya sistem pemerintahan di Negeri Sembilan hari ini. Cuba bayangkan kalau tidak ada sistem dan budaya yang diamalkan di Negeri Sembilan sejak lima ratus tahun dahulu mana mungkin institusi Yang DiPertuan Negeri wujud hari ini.”

Noorhalim, yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia, berpendapat sesuatu perlu dilakukan untuk semua warga adat di Sungai Ujong kembali ke pangkal jalan. Menurutnya, pertama setiap warga terutama yang mempunyai hak pusaka adat patut menelaah sistem adat Sungai Ujong. Kedua yang telah membuat salah laku perlu balik ke pangkal jalan dan bersama-sama menjernihkannya semula. Dan yang lebih penting katanya, “Kita hendaklah berpegang teguh kepada perbilangan: Adat bertentu bilang beratur/ Berjinjang naik bertangga turun/ Tali pengikat di tangan Lembaga/ Keris penyalang di tangan Undang/ Pedang pemancung di tangan Raja/ Balai Undang adalah Balai keadilan/ Yang akan menentukan hidup atau matinya pesaka adat ini.” Ertinya jangan sekali-kali menduakan adat hanya semata-mata ingin menjaga kepentingan pribadi dan menurut kehendak nafsu.

Jalan terbaik bagi menyelesaikan kekusutan adat di Sungai ujong ini ialah tindakan Dewan Keadilan mengeluarkan keputusan, sama ada masih merestui Mubarak kekal sebagai Datuk Kelana Putra atau menyerahkan semula kuasa penentu kepada Waris Tua Perut Hulu, Waris Tua Perut Hilir dan Waris Nan Tua. Bagaimana dengan kedudukan Samsir yang mengisytiharkan oleh warisnya sebagai Datuk Kelana Putra Ke-10 sebanyak dua kali, terakhir pada 10 Mac 2002 lalu? Bekas Datuk Johan Razali berkata, “Soal kedudukan Samsir tidak timbul kerana Waris Dusun yang mengisytiharkan Samsir sebagai Datuk kelana Putra tidak termasuk waris yang berhak menyandang pusaka Undang.”

Katanya lagi, “Sebaiknya, fungsi dan terms of reference Dewan Keadilan Negeri mesti dijelaskan. Kalau perlu Dewan ini perlu mempunyai satu jawatankuasa penasihat yang berfungsi sebagai pakar rujuk kepada Dewan dalam menjalankan tugasnya di sisi adat. Yalah, kalau kita nak lihat adat ini hidup seribu tahun lagi.” Tan Sri Isa Dato’ Abdul Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini Menteri Wilayah Persekutuan, meninggalkan masalah jawatan Undang Sungai Ujong ini kepada penggantinya yang baru, Dato’ Mohamad Hassan.

Menjadi tanggungjawab Menteri Besar yang baru untuk menyelesaikan masalah perlantikan ini. Dato’ Mohammad pastinya akan berusaha berbuat sesuatu agar intrik adat di Sungai Ujong ini tidak berpanjangan. Beliau akan “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Seperti kata seorang pengkaji adat di Negeri Sembilan, Norhalim Ibrahim, “Kalau boleh eloklah kita kembali ke pangkal jalan. Muafakatlah kerana seperti kata adatyang kusut diselesaikan, yang keruh dijernihkan. Bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat, Penghulu beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada yang benar. Ibu hukum muafakat, ibu adat muafakat.” –ends.

3 comments:

  1. Blh saya dapatkan maklumat lagi tentang Datuk Kelana ini. Ini kerana nama nenek saya (Hajah Haznah Ajud) ada disebut di atas.
    Terima ksaih

    Email saya di nurwahida_ahmad@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Sentiasa yang saya baca di entri2 pihak tuan hanyalah kenyataan dari sebelah pihak sahaja (pihak yg menentang).. Kenapa tidak tuan jumpa Datuk Kelana Putra Mubarak sendiri atau Datuk Maharaja Lela atau Datuk Johan atau Datuk Andika Mandulika Sungei Ujong untuk dapatkan cerita dari belah mereka pula? Soalan mudah. Tahukah tuan susur galur tiga perut Waris Hilir di Pantai nih dan sejarah pemerintahan beradat Datuk Kelana Kassim di mana ada waris yang dibenamkan termasuk warisnya sendiri? Sejarah ini panjang dan tidak semua perkara diketahui orang luar kerana kebanyakannya tersimpan rahsia di telaga undang..

    Dan tak semudah itu pada saya sekiranya dikatakan Datuk Maharaja Lela Sungei Ujong, Mokti untuk melanggar adat kerana beliau dilahirkan dan dibesarkan di rumah bekas telaga undang sendiri kepunyaan Datuk Kelana Yusuf (moyangnya) dan Datuk Kelana Ma'amor (atuknya) manakala atuknya seorang lagi ialah Undang Luak Rembau Haji Ipap.. Orang gila nakkan kuasa je akan kata Datuk Maharaja Lela yang dibesarkan dalam lingkungan adat ini melanggar adat.. Elok admin pi siasat dalam2 dari pihak yg satu lagi baru keluarkan entri sebegini..

    Boleh email saya di beludkuning@yahoo.com. Tq

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.