Monday, July 21, 2008

DALAM PERJALANAN KE BALAI UNDANG REMBAU...


Dato' Dr. Mansor Abdullah, mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.
Saturday, July 12, 2008
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

ISTADAT RINGKAS MENJEMPUT
DI BALAI UNDANG LUAK REMBAU

Assalamualaikum,

Ketika bersarapan bersama isteri di hentian lebuhraya Seremban jam 8.30 pagi semalam (11 Julai 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon. Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM itu sekadar mahu tahu mengenai pandangan PRIMA dalam isu peralihan kuasa Jun 2010 nanti. Kebetulan saya dalam perjalanan ke Rembau bagi menghadap YTM Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman. Sebelum ke Rembau, singgah dulu di Muzium Negeri Sembilan di Jalan Sungai Ujong, disebabkan pembantu muzium, Ahmad Afian Kadir juga ikut sama ke Rembau. Pengarah Muzium Drs Shamsuddin Ahmad pula ke Seri Menanti, disebabkan menjemput pakar rujuk adat, Dato’ Haji Khalid Bonget (dato’ lembaga luak Hulu Muar).

Apabila sampai di Balai Undang Luak Rembau, Dato’ Perba Haji Yahaya Abdul Ghani (Lembaga Suku Biduanda Waris Dua Carak) dan Dato’ Shahbandar Haji Abdul Rahim Haji Yassin (Orang Besar Undang) sudah menunggu. Tak lama selepas itu Pegawai Daerah Rembau pula masuk, bagi menyampaikan taklimat kunjungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah ke Rembau 17 Julai 2008 ini. Disebabkan sejak 10 pagi saya masih bersama YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip, saya difahamkan beberapa orang tetamu yang menunggu di luar tak berkesempatan menghadap (kerana hari Jumaat, perlu ke masjid pula). Hingga jam 11.30 pagi, barulah Drs Shamsuddin dan Dato’ Haji Khalid sampai ke Balai Undang.

Selepas menyampaikan taklimat Pegawai Daerah Rembau minta diri (sebelumnya lama juga beliau menunggu di luar). Drs Shamsuddin bersama Dato’ Haji Khalid mewakili panatia sambutan ‘Pesta Persukuan dan Pameran Masakan Negeri Sembilan) menghadap mengikut aturan istiadat dengan membawakan tepak sirih kepada YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip. Istiadat ringkas menghadap Dato’ Haji Khalid penuh dengan legasi kemegahan Adat Perpatih sambil menyusun jari, memberitahu pihak Muzium Negeri Sembilan menyampaikan sembah hormat mempersilakan YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip ke majlis ‘Syarahan Negeri Sembilan’ di Allson Kelana, Seremban pada 14 Julai 2008 dan Pesta Persukuan dan Pameran Masakan di Muzium Diraja Seri Menanti pada 26-27 Julai 2008.

Memang dalam upacara yang penuh istiadat, Muzium Negeri Sembilan membawa sama pakar rujuk adat, Dato’ Haji Khalid yang lebih arif bagi menyempurnakan sesi menghadap di Balai Undang. Balik sahaja dari Rembau, terpaksa pula singgah di Taman Paroi Jaya ke rumah adik sepupu saya yang bersiap-siap mengadakan majlis perkahwinan anaknya hari ini (12 Julai 2008). Disebabkan saya tak berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan itu, justeru singgahlah menjengah keluarga. Maklong saya Hajjah Zainab Jatin masih sihat sekalipun sudah berusia 88 tahun (sempat juga beliau hembat saya dengan tongkatnya, kerana dah dua tahun tak menjengah). Begitulah! Apalagi anak-anak dan cucu-cucu saudara pun tak kenal sangat. Heh heh heh!(Dipetik daripada Blog Dharmala NS, Suara Prima)

-Pak Dharma.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.