Monday, July 14, 2008

SEBAIKNYA NISBAH ADIL ITU BAGAIMANA?


Petikan akhbar wawancara dengan YB Khairy Jamaluddin
Nisbah perlu lebih adil


KHAIRY JAMALUDDIN, Ahli Parlimen Rembau.
--------------------------------------------------------------------------------



PENDEDAHAN Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Parlimen, baru-baru ini berhubung kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengejutkan banyak pihak.

Malah ada yang menganggap tindakan JPA memberikan pemberian kuota dengan 50 peratus kepada bumiputera dan 45 peratus kepada bukan bumiputera sebagai ‘menghakis hak orang Melayu.’

Namun begitu Khairy sendiri dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia mendedahkan bagaimana beliau menerima banyak Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada bukan bumiputera yang mempersoalkan tindakannya membangkitkan isu tersebut.

Bagaimanapun dalam wawancara berkenaan, Khairy menjelaskan beliau bukanlah menentang peningkatan kuota biasiswa kepada bukan bumiputera. Cuma apa yang beliau mahu pembahagian itu dilakukan lebih adil tanpa mengorbankan kepentingan bumiputera.

Selain itu, beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, turut mengemukakan cadangan secara terperinci apa yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu biasiswa tersebut.

Khairy juga turut mengulas mengenai pencapaian akademik kaum bumiputera yang dianggap beliau masih harus diperbaiki.

MINGGUAN: Di Parlimen baru-baru ini, Yang Berhormat (YB) membangkitkan isu kuota biasiswa JPA, boleh jelaskan lebih lanjut?

KHAIRY: Saya menerima begitu banyak SMS terutamanya daripada kaum bukan bumiputera bertanyakan apakah maksud sebenar ucapan saya di dalam Parlimen itu.

Jadi saya nak jelaskan bahawa saya sama sekali tidak menentang peningkatan pemberian biasiswa JPA untuk pelajar-pelajar bukan bumiputera menuntut di universiti-universiti luar negara. Malah saya bersetuju agar pelajar bukan bumiputera yang layak harus mendapat tajaan biasiswa berkenaan kerana mereka juga merupakan aset penting negara.

Cuma saya bangkitkan isu ini kerana kerajaan telah mengumumkan bahawa bagi tahun 2008, daripada 2,000 biasiswa JPA untuk pengajian luar negara, nisbah tajaannya adalah 55 peratus untuk pelajar bumiputera dan 45 peratus untuk pelajar bukan bumiputera. Sebelum ini nisbah adalah 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.

Maknanya pada tahun 2007, daripada 1,800 biasiswa luar negara JPA, 1,620 diberi kepada bumiputera dan 180 diberi kepada bukan bumiputera. Pada tahun 2008 dengan nisbah yang baru, daripada jumlah 2,000 biasiswa JPA, 1,100 diberi kepada bumiputera dan 900 kepada bukan bumiputera. Ini merupakan pengurangan sebanyak 520 biasiswa untuk bumiputera dan peningkatan sebanyak 720 biasiswa untuk bukan bumiputera.

Apakah ini bermaksud, YB tidak bersetuju dengan kuota kepada bukan bumiputera?

KHAIRY: Sebenarnya, apa yang saya kurang setuju bukannya pemberian biasiswa yang lebih kepada bukan bumiputera tetapi peningkatan ini datangnya dari kuota bumiputera. Saya difahamkan kerajaan tidak bercadang menaikkan jumlah tajaan pelajar dari 2,000 tempat pada tahun 2008, ini bermakna peningkatan tajaan bukan bumiputera telah diambil terus dari kuota bumiputera.

Jika peningkatan biasiswa kepada bukan bumiputera dibuat tanpa peningkatan jumlah tajaan keseluruhan, nisbah baru ialah 55:45 kepada bumiputera sedangkan bilangan penduduk bumiputera adalah 67 peratus.

Sebagaimana yang telah saya bangkitkan semasa membahas Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), peningkatan biasiswa ini hendaklah dibuat melalui proses enlarging the cake atau menambah jumlah keseluruhan biasiswa luar negara JPA dan bukannya melalui pengurangan kuota biasiswa bumiputera. Asasnya adalah kita tidak mahu ada pihak yang rugi dengan kemerosotan nisbah yang begitu ketara bagi bumiputera.

Pendekatan ini sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB tak pernah mengambil kekayaan satu kaum untuk diberi kepada kaum yang lain. Sebaliknya mengamalkan pembahagian daripada pertumbuhan. Bila ekonomi negara bertumbuh, hasil pembangunan itu diagihkan dengan lebih adil dan saksama. Bukan kita ambil apa yang sudah ada pada mana-mana kaum. Jadi DEB adalah win-win dan bukan win-lose. Peningkatan biasiswa JPA untuk bukan bumiputera tanpa tambahan jumlah biasiswa adalah win-lose. Yang kalah adalah bumiputera.

Tambah pula, perkara ini amat sensitif kepada masyarakat bumiputera kerana kuota biasiswa ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah perkara 153. Jadi ini menjadi soal asas atau fundamental kepada masyarakat bumiputera.

Apakah dengan enlarging the cake ini lebih ramai yang akan menerima manfaat?

KHAIRY: Caranya adalah dengan menambah jumlah tajaan biasiswa untuk mengembalikan nisbah yang lebih adil dan menghormati semangat perkara 153 Perlembagaan.

Sebagai contoh, berdasarkan analisa yang telah saya lakukan, jika kerajaan ingin membaik pulih nisbah agihan bumiputera dan bukan bumiputera dari 55:45 kepada 67:33 yang lebih mencerminkan komposisi penduduk Malaysia, kita memerlukan penambahan sebanyak 720 tempat. Ini akan menambahkan jumlah besar tajaan daripada 2,000 kepada 2,720. Hasilnya, jumlah tajaan bumiputera akan meningkat dari 1,100 tempat kepada 1,820 tempat di samping penambahan bilangan tajaan bukan bumiputera kekal pada 900 seperti mana sekarang.

Manakala, kalau kerajaan bercadang untuk mengekalkan nisbah 90:10 pemberian biasiswa JPA di samping peningkatan kepada 900 tempat untuk bukan bumiputera, ini memerlukan penambahan terlampau tinggi sebanyak 7,000 tempat yang melibatkan penambahan kos sebanyak RM6.1 bilion atau 350 peratus. Ini merupakan satu peningkatan yang ekstrem dan begitu membebankan kewangan kerajaan.

Oleh itu berdasarkan perbandingan ini, peningkatan berdasarkan nisbah demografi mungkin lebih sesuai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Perbelanjaan pendidikan merupakan pelaburan modal insan negara yang selaras dengan matlamat Misi Nasional untuk melahirkan minda kelas pertama dan saya harap kerajaan akan memberi perhatian yang tinggi kepada cadangan ini.

Jika pilihan ini tidak dapat dipertimbangkan kerana kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, bilangan biasiswa untuk pelajar bukan bumiputera perlu dikurangkan dan diberikan kepada pelajar bumiputera. Tetapi mungkin pilihan ini tidak sesuai kerana sudah sekali beri takkan nak ambil balik. Jadi pilihan terbaik masih lagi ialah penambahan jumlah walaupun melibatkan perbelanjaan yang besar. Hanya kaedah ini boleh menghasilkan nisbah yang lebih adil mengikut demografi penduduk dan berdasarkan semangat perkara 153 Perlembagaan.

Bukankah 67 peratus ini merupakan satu anjakan yang besar sedangkan selama ini kuota ekonomi DEB adalah 30 peratus?

KHAIRY: Kita perlu sedar bahawa pendidikan merupakan satu kaedah dalam mencapai matlamat DEB. Dasar itu merupakan satu wadah pembelaan dan bukan untuk menindas sesiapa. Sasaran 30 peratus itu hanya tertumpu kepada pegangan ekuiti, bukan soal tajaan biasiswa. Selain itu, isu biasiswa ini sebenarnya disebut dalam Perlembagaan Persekutuan jadi ia ada asas yang berbeza daripada DEB yang merupakan dasar kerajaan yang tidak disebut dalam Perlembagaan walaupun semangat dasar ini datang daripada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.

Sebagaimana saya katakan, dalam soal biasiswa luar negara JPA, kadar 67 peratus ini juga merupakan pengurangan dari 90 peratus sebelum ini walaupun bilangan biasiswa untuk bumiputera meningkat kerana jumlah keseluruhan ditambah. Mungkin ada juga yang mahu kembali kepada nisbah lama iaitu 90:10. Tetapi ini akan menelan perbelanjaan yang amat besar. Jadi mungkin jalan tengah untuk memberi peluang yang adil dan saksama kepada semua adalah mengikut komposisi bilangan penduduk negara.

Apa pula hubungkait perkara ini dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?

KHAIRY: Saya juga telah bangkitkan bahawa pemberian biasiswa ini berkait rapat dengan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera. Oleh itu ia menyentuh perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dimana Yang di-pertuan Agong dipertanggungjawabkan memelihara kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera, termasuklah peruntukan biasiswa.

Saya akui bahawa tiada nisbah termaktub dalam perkara 153. Tetapi yang pasti, isu-isu penganugerahan biasiswa kepada bumiputera adalah di bawah kuasa mutlak Yang di-pertuan Agong. Saya cuma memberi pandangan tentang nisbah yang saya rasakan adalah adil di samping mempertahankan kepentingan bumiputera.

Jadi YB berpendapat biasiswa perlu mencerminkan demografi penduduk dan mengambil kira Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?

KHAIRY: Dari segi asasnya, golongan yang berkelayakan bermakna mereka yang telah berjaya memenuhi kriteria-kriteria akademik dan aktiviti kokurikulum. Yang memerlukan ialah golongan yang tidak berkemampuan dari segi pendapatan yakni keperluan tanpa mengira kaum. Tetapi hakikatnya pada hari ini, golongan Melayu masih memerlukan bantuan yang lebih.

Sebagai satu petunjuk, pada tahun 2007, berdasarkan maklumat daripada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Sembilan, nisbah purata pendapatan bumiputera adalah RM3,156 berbanding dengan purata pendapatan Malaysia sebanyak RM3,686. Nisbah jurang perbezaan pendapatan antara bumiputera dan kaum Cina masih berada pada tahap 1:1.54 pada tahun 2007.

Ini telah menunjukkan bahawa kaum Melayu merupakan kumpulan yang lebih memerlukan bantuan berbanding kaum lain memandangkan mereka merupakan kaum yang menerima purata pendapatan yang terendah berbanding dengan kaum Cina dan India amnya.

Justeru, dari segi kelayakan menerima biasiswa JPA berdasarkan kepada keperluan, saya percaya lebih ramai pelajar bumiputera perlu dibantu walaupun terdapat juga pelajar bukan bumiputera yang datang dari keluarga berpendapatan rendah. Mereka ini perlu diberi keutamaan dan handikap berbanding dengan pelajar yang datang dari golongan berada.


Bagaimana kerajaan boleh menampung peningkatan kos dengan kaedah enlarging the cake ini?

KHAIRY: Saya percaya kita harus kembali kepada persoalan keutamaan perbelanjaan kerajaan. Kita mahu tumpuan kerajaan lebih berkisar kepada pulangan jangka masa panjang dan bukan mencari jalan penyelesaian jangka masa pendek.

Pembangunan modal insan menjadi teras kedua RMK-9 dan satu aspek penting dalam pentadbiran Perdana Menteri. Modal insan merupakan satu pelaburan jangka masa panjang yang dapat memberi pulangan tinggi kepada negara pada masa akan datang. Bayangkan daripada 2,000 penerima biasiswa JPA, ramai di antara mereka akan menjadi ahli profesional yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung. Perbelanjaan kerajaan untuk program-program yang tidak produktif tidak akan dapat meningkatkan pendapatan negara dari segi jangka masa panjang.

Jadi untuk menambah bilangan biasiswa JPA untuk memelihara nisbah yang adil bagi bumiputera dan meramaikan lagi modal insan yang cemerlang tanpa mengira kaum, kerajaan harus kaji semula program-

program yang tidak memberi apa-apa pulangan dan mengambil peruntukan dari situ untuk menampung tambahan biasiswa JPA. Bagi saya biasiswa JPA ini adalah pelaburan yang baik.

Sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan kenapa harus kita terus menghantar pelajar ke luar negara?

KHAIRY: Sebenarnya dasar menghantar pelajar cemerlang ke luar negara sememangnya telah di amalkan sejak dahulu lagi bagi memenuhi permintaan negara dan membangunkan modal insan dalam bidang-bidang terpilih. Langkah ini bakal mendedahkan generasi muda terhadap ilmu baru, kajian terkini serta persekitaran persaingan di peringkat antarabangsa. Tambahan lagi, langkah menghantar pelajar ke luar negara adalah sebahagian daripada strategi untuk mempersadakan warga Malaysia dengan memberikan mereka pendedahan kepada tamadun lain dan persekitran persaingan yang lebih mencabar.


Persoalan biasiswa ini pada dasarnya mempunyai hubungan kuat dengan asas hubungan kaum di Malaysia. Adakah kita bersedia untuk melangkah ke dalam sistem meritokrasi sepenuhnya?

KHAIRY: Meritokrasi perlu dilaksanakan berdasarkan gelanggang sama rata. Saya berpendapat pendekatan yang diambil oleh JPA dengan memberi tawaran biasiswa luar negara secara automatik untuk bidang kritikal kepada calon yang mendapat 10 1A, dengan pendapatan keluarga tidak melebihi RM1,500 sebulan merupakan satu langkah yang menjurus kearah itu serta lebih adil kepada pelajar bumiputera yang cemerlang.

Pelajar bumiputera yang berjaya mendapat keputusan yang baik pada peringkat UPSR dan PMR biasanya akan memasuki sekolah berasrama penuh. Kita juga tahu pada kebiasaanya, di asrama penuh, pelajar-pelajar hanya boleh mengambil sepuluh mata pelajaran untuk SPM. Mungkin untuk kes istimewa, sebelas mata pelajaran. Oleh itu penetapan untuk menilai prestasi akademik berdasarkan 10 matapelajaran merupakan satu langkah yang adil bagi mereka.

Namun begitu, meritokrasi masih tidak mampu menjamin kesaksamaan untuk semua warga.

Ini kerana tidak semua pelajar mempunyai akses atau peluang yang sama rata kepada kejayaan. Adakah jika seorang anak petani yang sekolahnya mungkin kurang sempurna, situasi kewangannya juga kurang baik tetapi dapat 8A berbanding seorang anak korporat di bandar yang meraih 10A kita tidak memberi bantuan lebih kepada anak petani itu? Jika kita aplikasikan meritokrasi sepenuhnya, anak petani tidak akan dapat bantuan lebih kerana hanya dapat 8 A. Pada saya, itu bukan suatu sistem yang adil kerana tidak ada handikap langsung untuk persekitaran dan akses yang berbeza.

Apa pandangan YB mengenai isu jurang perbezaan pencapaian akademik antara kaum?

KHAIRY: Saya lihat pencapaian masyarakat Melayu buat masa kini ada peningkatan tetapi lebih banyak usaha masih perlu dilaksanakan bagi memajukan lagi pencapaian mereka ini. Contohnya berdasarkan maklumat dari Biro Tatanegara, peratus graduan Bumiputera yang lulus dengan kepujian kelas pertama di insitusi pengajian awam tempatan telah meningkat dari 13.25 peratus pada tahun 1996 kepada 25.4 peratus pada tahun 2002. Ini satu peningkatan positif tetapi masih lagi kecil.

Selanjutnya pada tahun 2002, peratus bumiputera bagi kelas kedua atas adalah 39.7 peratus, bagi kelas kedua bawah pula meningkat tinggi kepada 81.1 peratus dan peningkatan kelas ketiga pula adalah sebanyak 90 peratus. Ini menunjukkan semakin rendah tahap pencapaian, semakin tinggi peratusan bumiputera. Ini menunjukkan memang golongan bumiputera agak ketinggalan dari segi prestasi dan pencapaian akademik mereka.

Ia juga berkait rapat dengan pendedahan dan sokongan ibu bapa mereka. Kebanyakan ibu bapa daripada masyarakat bumiputera yang berpendapatan rendah tidak memberikan galakan yang secukupnya terhadap anak mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ibu bapa tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada pihak sekolah atau Kerajaan.

Adakah sistem pemberian biasiswa sekarang terlalu tertumpu kepada kecemerlangan akademik?

KHAIRY: Saya rasa kriteria yang diguna pakai hari ini sudah cukup baik iaitu 70 peratus berdasarkan pencapaian akademik, 10 peratus (latar belakang keluarga), 10 peratus (temuduga) dan 10 peratus (pembabitan dalam aktiviti kokurikulum). Mungkin kalau ada skop untuk diperbaiki, kita boleh memberi pertimbangan yang lebih sedikit kepada latar belakang keluarga agar pendekatan handikap untuk pelajar miskin lebih adil.

Sudah tentu bukan bumiputera tidak bersetuju dengan pandangan ini?

KHAIRY: Saya rasa kita kembali kepada soal pokoknya, iaitu biasiswa ini perlu diberi kepada mereka yang berkelayakan dan memerlukannya tanpa mengira kaum. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat kaum bukan bumiputera yang memerlukan tajaan biasiswa. Kemiskinan itu melibatkan semua kaum. Kadar kemiskinan keseluruhan semua kaum di Malaysia masih wujud pada kadar 3.6 peratus. Jadi jika ada kelayakan dan keperluan, sudah tentu mereka harus diberi biasiswa.

Saya sedih apabila tiap-tiap tahun isu ini dipolitikkan mengikut sentimen perkauman. Saya harap kerajaan akan cari jalan penyelesaian berdasarkan kepada semangat peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan dengan nisbah yang adil dan pada masa yang sama memberi peluang yang lebih kepada pelajar bukan bumiputera yang layak. Ini adalah satu keputusan menang-menang dan boleh selesaikan masalah ini yang sekian lama menjadi punca perasaan tidak puas hati dan dan syak wasangka antara kaum di Malaysia.

Apa yang penting kerajaan Barisan Nasional tidak meminggirkan mana-mana kaum minoriti dan memelihara keistimewaan kaum bumiputera. Jika ini memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk menyelesaikan masalah, saya percaya ia merupakan perbelanjaan yang berbaloi untuk menjaga maruah dan martabat semua kaum. Saya rasa pendekatan ini boleh diterima oleh semua pihak. (Mingguan Malaysia Online 13 Julai 08)

Komen:
Harap-harap tokoh politik muda dan Ahli Yang Berhormat dari Gadong ini tidak akan mengecewakan rakyat akar umbi yang memilihnya. Kawasan yang diwakili YB ini masih mundur dalam banyak perkara. Berilah perhatian khusus untuk mengubah nasib orang kampung setelah lebih 50 tahun merdeka.

Anak muda ini tidak pernah merasakan apa yang telah dialami orang kampung, terutama yang pernah berada di bawah pimpinan penghulu Haji Bakar, nenda YB sendiri. Dalam hal ini YB ini juga boleh berganding bahu dengan YB Kawasan Tampin, Dato' Shaziman Abu Mansor, yang juga adalah sepupu YB Khairy. Dato' Shaziman orang Tanah Datar dan YB Khairy orang Gadong. Fikir punya fikir, bertuahnya orang kampung Gadong dan Tanah Datar memiliki dua anak muda kerana mereka diwakili oleh dua sepupu yang harap-harap "benar-benar berjiwa orang kampung a.k.a rakyat".

Sekadar nak tanya, agaknya berapa ramaikah anak-anak orang kampung ini berjaya menerima kemudahan pendidikan?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.