Monday, July 7, 2008

BIARLAH RAKYAT MENILAI, KHAIRY!

Kerajaan pembangkang gagal tunai manifesto - Khairy
KUALA KANGSAR 6 Julai - Kerajaan pakatan DAP, PKR dan Pas yang menguasai lima negeri bukan sahaja gagal menunaikan segala manifesto yang dijanjikan selepas 100 hari berkuasa, malah menimbulkan pelbagai masalah sehingga mewujudkan keresahan di kalangan rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pakatan parti pembangkang itu ternyata lebih mementingkan soal parti masing-masing daripada hendak menyelesaikan masalah rakyat secara adil dan saksama.

''Sehingga kini rakyat bukan sahaja masih menunggu janji-janji manis yang ditaburkan semasa kempen pilihan raya lepas, malah mula berasa sangsi sejauh mana janji-janji itu dapat ditunaikan.

''Ini kerana apa yang dihasilkan daripada pemerintahan selama 100 hari itu ialah timbul pelbagai masalah seperti tuduhan rasuah, pentadbiran tidak stabil dan cekap, janji tidak ditunaikan serta pakatan pembangkang sering bercanggah pendapat sesama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pemuda UMNO dari lima bahagian di Resort Sungai Perak di sini hari ini.

Bahagian yang terlibat ialah Kuala Kangsar, Sungai Siput, Chenderoh, Lenggong dan Gerik.

Menurut Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, apa yang berlaku itu menunjukkan pakatan pembangkang rapuh dan tidak sehaluan dalam menangani setiap isu yang timbul.

Malahan, katanya, pemimpin pembangkang juga tidak dapat memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di lima negeri yang dikuasai pembangkang.

''Apa yang boleh digambarkan tentang pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang ialah tidak ada langsung keistimewaan sehingga orang ramai mula memperkatakan sesuatu yang tidak enak didengar mengenainya," ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai isu pemberian hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada penduduk kampung baru, Khairy hanya menunjukkan satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya daripada seorang individu yang tidak disebutkan namanya.

SMS tersebut berbunyi: ''Saya seorang bekas Special Constable (SC) homeguard mendapat tanah di Perak, hanya diberikan hak milik kekal selama 99 tahun sahaja tetapi penduduk di kampung baru diberikan tempoh selama 999 tahun, sedangkan saya bersama rakan-rakan terlibat memerangi ancaman komunis." (Utusan Online 7 Julai 2008)

Komen:
Khairy ialah YB dari Kawasan Parlimen Rembau. Apa kata kalau YB Khairy mula mengumpul data tentang bekas SC di Negeri Sembilan, Rembau khususnya, untuk meminta pandangan mereka juga. Barangkali ada yang tidak memiliki tanah langsung dan terpaksa menumpang di rumah mentua atau di rumah adik-adik perempuan mereka. Yalah kalau mereka ini tinggal di rumah pesaka. Adat Perpatih kan menyerahkan tanah dan rumah pesaka kepada kakak-kakak dan adik-adik perempuan turun-temurun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.