Saturday, July 19, 2008

MENJADI TUGAS LEMBAGA MEMPERJELAS FALSAFAH BIAR MATI ANAK....

www.darulkautsar.com: Adat Perpatih: Yang selari dengan Islam kekalkan, yang lari dari Islam tinggalkan. Biar mati adat, jangan mati anak!

Keterbukaan pengamal Adat Perpatih wujud dimensi baru
SETIAP kali persoalan Adat Perpatih ditimbulkan, Datuk Muhamad Sharip Othman, 65, terus bersemangat untuk memperkatakannya. Bagi Undang Luak Rembau ke-21 itu, adat itu masih relevan walaupun ramai anak muda di Negeri Sembilan sekarang tidak faham, malah ada yang tidak mempedulikannya.

"Adat Perpatih diamalkan masyarakat Melayu di beberapa daerah di Negeri Sembilan sejak ratusan tahun dulu dan ia diturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain. Ia sudah merentas zaman," katanya pada satu pertemuan di kediamannya di Rembau, baru-baru ini.

Sebagai contoh, katanya, konsep Adat Perpatih yang baik diikuti terutama oleh masyarakat luar Negeri Sembilan ketika upacara perkahwinan ialah mengenai ‘beranggoh’ atau rumah persinggahan sementara.

Muhamad Sharip berkata, konsep ‘beranggoh’ sebenarnya bermaksud lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan seelok-eloknya terlebih dulu menjadi anggota angkat sebuah keluarga di kampung gadis itu.

Dengan cara itu, keluarga angkat itu akan menjadi perantara atau tempat rujukan antara keluarga gadis dan pihak lelaki yang dianggap perantau yang kini menjadi sebahagian keluarga angkat.

Keluarga angkat itu bukan sekadar menjadi tempat persinggahan bagi pihak lelaki, malah tempat merujuk bagi keluarga gadis selain tempat menjalani proses asimilisasi ke dalam masyarakat.


Allahyarham Dato' Sedia Raja Adnan Ma'ah meninggal dunia pada 8 September 1998.

"Perkara ini harus dijelaskan kepada rombongan yang berkunjung ketika majlis perkahwinan," katanya yang ditabalkan sebagai Undang Luak Rembau ke-21 pada 2 Disember 1998 berikutan kematian Undang Luak Rembau ke-20 Datuk Sedia Raja Adnan Ma’ah pada 8 September tahun itu.

Beliau berkata, Adat Perpatih adalah peraturan hidup yang mengutamakan semangat persaudaraan untuk mengikat setiap ahli supaya sentiasa ‘dekat’ dengan keluarganya.

Sebaik saja selesai perkahwinan, ‘istiadat menyalang’ pula menggalakkan pasangan baru berkahwin menziarahi keluarga terdekat untuk lebih mengenali anggota keluarga kedua-dua pihak.

Di sinilah peranan Datuk Lembaga atau ‘Buapak’ untuk memberi penjelasan mengenai Adat Perpatih, bukan saja kepada pihak daripada luar adat ini malah di kalangan generasi muda Negeri Sembilan. Datuk Lembaga dan ‘Buapak’ adalah mereka yang dilantik selaku ketua atau pemimpin adat di kalangan suku masing-masing.

Pandangan itu disokong seorang ‘Buapak’, Yusof Husin, 78, dari suku Seri Melenggang di Kampung Pedas Tengah Rembau yang berkata, banyak lagi perkara mengenai adat boleh dijelaskan kepada rombongan kahwin yang datang.

Katanya, upacara perkahwinan adalah forum paling baik untuk menjelaskan kekaburan atau silap faham berhubung adat itu. Tambahnya, pepatah ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ kalau tidak dijelaskan sebaik mungkin boleh menimbulkan pandangan negatif di kalangan masyarakat.

Kajian rambang terhadap sebilangan anak muda negeri ini mendapati pengetahuan mereka amat cetek mengenai adat yang diwarisinya, malah sesetengahnya tidak mempedulikan langsung..

Kurator Muzium Negeri, Shamsuddin Ahmad pula berkata sudah banyak bahan kajian mengenai Adat Perpatih dibukukan namun bahan yang ada tidak lagi diterbitkan dengan banyak untuk dijadikan tatapan generasi sekarang.

Katanya, usaha akan terus ditingkatkan untuk mengadakan simposium tahunan mengenai Adat Perpatih di kalangan tokoh dan pelajar Negeri Sembilan untuk memberi dimensi baru kepada adat itu agar tidak lapuk ditelan zaman.

"Kita mengadakan Pesta Persukuan Adat Perpatih setiap tahun untuk memberi pendedahan mengenai Adat Perpatih kepada masyarakat umum. Yang penting, usaha ini juga dapat menarik minat masyarakat umum terutama generasi muda terhadap adat ini," katanya.

Antara tokoh terkenal yang pernah menulis bahan mengenai Adat Perpatih ialah Allahyarham Tan Sri A Samad Idris, Norhalim Ibrahim, Muhammad Tainu (nama buku) dan Abdul Muluk Daud (Dharmala NS).

Mengikut sejarah, Adat Perpatih berasal dari Tanah Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia dan kedatangan orang Minangkabau ke negeri ini pada 1400 hingga 1500 dan pada abad ke-18, membawa bersama-sama mereka cara hidup dan warisan kebudayaan mereka.

Pada hari ini masyarakat Melayu Negeri Sembilan pada teorinya terbahagi kepada 12 kumpulan yang dipanggil suku iaitu Suku Biduanda, Suku Batu Hampar, Suku Paya Kumbuh, Suku Mungkal, Suku Tiga Nenek, Suku Seri Melenggang, Suku Seri Lemak, Suku Batu Belang, Suku Tanah Datar, Suku Tiga Batu, Suku Anak Aceh dan Suku Anak Melaka. - Bernama

Sumber: Berita Harian (11 Ogos 2006)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.