Thursday, October 18, 2012

REMBAU, SEJARAH DAN PERLEMBAGAAN: PERLUNYA EDISI RUMI


 
Buku ini, Rembau, Sejarah dan perlembagaan (terbitan 1953) ditulis dalam Jawi. Ia   diterjemah, dipinda dan dpadankan oleh Abbas bin Haji Ali, Guru Kanan di Sekolah Menengah King George V, Seremban. Cikgu Abbas berasal dari Chengkau, Negeri Sembilan. Buku ini dipadankan daripada karangan C.W.C Parr dan W.H. Mackerry yang tersiar dalam jurnal "Straits Branch Roral Asiatic Society, Bilangan 56," Disember tahun 1910 dan dikeluarkan oleh Jabatan Undang Dan Perlembagaan Adat dan Istiadat Melayu Rembau.

 Buku ini menggambarkan sejarah pentadbiran dan sistem Adat Perpatih di Rembau. Tujuan buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi adalah untuk melihat konsep, falsafah dan pelaksanaan adat ini dengan segala keunikan dan keistimewaannya. Juga buku ini ingin menunjukkan kepada masyarakat umum, terutama golongan muda dari negeri beradat itu bahawa adat yang dibawa dari Tanah Minangkabau (Sumatera Barat) sejak 350 tahun dahulu begitu serasi dan berjaya meningkatkan tahak tamadun penduduk Rembau, khususnya dan Negeri Sembilan amnya. Sejarah yang dipaparkan dalam buku ini mengikat erat hbungan antara penduduk Rembau dengan masyarakat zaman lampau yang berpusat di Melaka dan kemudian berhijrah ke Johor.

 Buku ini juga meninjau  bagaimana negeri ini telah maju dan mempunyai peradaban dan kebudayaan , semenjak runtuhnya  Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Para warga Rembau menghormati dan memandang undang-undang dan adat mereka. Bagi mereka  adat dan undang-undang  berjalan bagaikan “membujur lalu, melintang patah”  yang membawa erti adat tetap berjalan lurus mengikut matlamatnya. Seperti kata orang tua-tua, “Biar mati anak, asalkan jangan mati adat.” Falsafah perbilangan ini memberi kesan yang mendalam. Secara harafiahnya sahaja, jika anak hidup tapi tidak mahu mengikut adat dan undang-undang, maka dia tidak akan dihargai dan dihormati.

 Menurut pengkaji adat perpatih, Norhalim Bin Haji Ibrahim Adat Perpatuh yang berasal dari Minangkabau itu disesuaikan dengan adat dan peraturan tempatan. Sistem matriakal yang ditunjangi adat itu kebetulan bersamaan dengan amalan matriakal orang tempatan. Hal ini menyebabkan adat ini semakin dirasakan sesuai dengan jiwa dan kehidupan orang tempatan yang menerima persemendaan dengan perantau-perantau dari Alam Minangkabau.

 Buku ini asalnya diterbtkan dalam rulisan Jawi. Tujuan penterjemah yang diwakili warisnya meminta buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi untuk mengelak daripada tuduhan bahawa adat itu kononnya tidak relevan dan bersalahan dengan hukum syarak zaman ini. Dalam Kata Pengantarnya, Cikgu Abbas  menulis, “Pada masa yang akhir ini, didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan dengan berbagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya, mengatakan pada beberapa perkara, maka adat ini adalah kononnya telah tidak bersesussian lagi dengan zaman sekarang.” (CatatanA.F.Yassin).


 

1 comment:

  1. Saya setuju sekiranya ia diterjemahkan versi rumi. Lebih mudah dan lebih senang untuk difahami bagi generasi akan datang. Apa yang perlu dilakukan ialah penambahbaikan terutamanya pecahan perut bagi setiap suku. Ini adalah kerana di dalam buku asal pecahan suku menggunakan ibu-ibu asal berbanding sekarang lebih menggunakan nama-nama kampung. Ia lebih baik sekiranya kedua-dua nama ibu dan nama kampung dimasukkan.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.