Tuesday, June 23, 2009

ADAT PERPATIH: MAHU KE MANA PADA MELENIUM BARU INI?

Adat Perpatih
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
(Dipetik pada 23 Jun 2009)

Wanita Minangkabau. Masyarakat Minangkabau secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum hawa dari sudut harta pusakaAdat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.


[sunting] Struktur Masyarakat Adat Perpatih
Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu [[Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.


Prinsip-prinsip Adat Perpatih
Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.

Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian harta
Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih.

Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_Perpatih"
Laman ini diubah buat kali terakhir pada 15:40, 8 Ogos 2008. Kandungan disediakan dengan GNU

Komen:
Masih ramaikah penduduk Melayu Negeri Sembilan serius mengamalkan sistem ini, memandangkan sejumlah besar anak-anak mudanya kurang pengetahuan asas tentang adat ini? Dua tokoh budaya Negeri Sembilan, Tan Sri Abd. Samad Idris dan Norhalim Ibrahim telah meninggal dunia. Dan tidak ramai lagi yang masih berminat meneruskan perjuangan memartabatkan adat ini di Negeri Sembilan, kecuali mungkin sejumlah kecil Lembaga dan Buapak.

Dan bukan tidak mungkin mereka yang bergelar itu lebih mementingkan status dan ganjaran yang mengiringi perlantikan berbanding pertumbuhan dan kemajuan sistemnya. Wallahua'lam!

Tuesday, June 16, 2009

BIAR ADAT YANG MATI JANGAN ANAK?


Buku Negeri Yang Sembilan, karangan Budayawan Allahyarham Norhalim Ibrahim.

RISIKO MEMBUNUH ADAT DEMI MEMPERTAHAN ANAK

Seorang pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Seremban menyifatkan isyarat kurang sopan seorang pembesar adat (Undang Luak) Mei 2005 lalu dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri sebagai kurang beradat. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah melanggari adat yang menaikkan darjat dan martabatnya. Kadang-kadang pembesar adat ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada pembesar adat yang terang-terang mahu mematikan adat itu sendiri.”

Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakan kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.

Pandangan penyelidik Adat Perpatih itu menunjukkan keprihatinannya tentang sikap dan tingkah laku orang Melayu, khususnya terhadap adat kebiasaan yang sejak dahulu kala mengawal kehidupan sehari-harian mereka. Barangkali pandangannya bahawa “adat sudah mati” sedikit keterlaluan, namun jika pembesar adat sendiri yang tidak menghormati adat, tidak ada jaminan orang ramai atau anak buah pembesar adat ini tidak akan mengikuti perbuatannya. Ibarat kata bidalan “bapak borek anak rintik.”

Pandangan penyelidik adat ini mengingatkan kita kepada kata-kata Datuk Onn Jaafar ketika memimpin orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dahulu. Datuk Onn dalam buku Biografi Dato’ Onn Jaafar (Penerbit Fajar Bakti, 1984), menyeru orang Melayu menerima konsep “biar mati adat jangan mati anak” sebagai satu anjakan paradigma. Bagi Dato’ Onn adat yang mengatur kehidupan harian orang Melayu yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai perlu disisihkan sahaja. Pemerhati politik menilai seruan Datuk Onn ini mulai memberi kesan positif kepada perlakuan dan pemikiran orang Melayu umumnya. Yang paling ketara, orang Melayu telah mula berjiwa korporat, bukan lagi petani, orang Melayu sudah mula berfikir global tidak lagi lokal.

Seruan Datuk Onn dan pandangan penyelidik Adat Perpatih tentang “adat telah mati dan mahu dimatikan” bagaikan membawa kesan negatif dan positif. Jelas dua kes berasingan ini memperlihatkan pemahaman tentang adat yang berbeza-beza. Pendek kata istilah “adat” yang dimkasudkan oleh Datuk Onn dan penyelidik Adat Perpatih mempunyai definisi berlainan. Ertinya juga adat dan pengertiannya perlu dilihat secara terpisah-pisah, yang satu berbeza dengan yang lain.

Ada yang akan bertanya, “Sebenarnya adat itu apa?” Jawaban kepada pertanyaan yang sederhana ini boleh juga sederhana, iaitu peraturan hidup sehari-hari. Kalau hidup tidak berperaturan, namanya hidup “tak beradat”. Maka aturan itulah yang dinamakan adat. Bak kata orang Minang: Duduk tagak beradat. Berbicara beradat. Berjalan beradat. Makan minum beradat. Bertamu beradat. Bahkan menguap dan batuk pun beradat.
Tetapi dalam pengertian biasa ini adat mungkin apa yang disebut sopan santun dan tatasusila dalam pergaulan sehari-hari. Masih banyak lagi pengertian lain. Masih banyak aturan lain yang sangat mendasar dan mengikat, termasuk hal yang dikaitkan dengan landasan berfikir, nilai-nilai dan falsafah hidup dan hokum yang perlu dipatuhi. Pemikir adat merangkumi seluruh aturan hidup bermasyarakat itu ke dalam empat kategori, iaitu adat yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.

Manakala ramai ahli sejarah menyamakan adat dengan undang-undang, berdasarkan kepada pengertian “aturan hidup harian”. Jika pengertian ini dipakai maka seruan Datuk Onn akan memakan diri sendiri. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu jika “adat dimatikan untuk menyelamatkan anak”? Kacau-bilau dan kehidupan tak menentu dan hukum rimba akan mengambil alih peranan adat. “Anak-anak” yang hidup dan tidak lagi “beradat” akan berkelakuan lebih rendah berbanding haiwan.

Penerhati politik menyifatkan seruan Datuk Onn itu ditujukan, khususnya kepada tiga kategori adat, iaitu adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat. Kesemua kategori adat ini membabitkan tingkah laku, kebiasaan, landasan berfikir dan falsafah orang Melayu. Sesetengah kalangan menilai seruan Datuk Onn itu sebagai meninggalkan kebiasaan dan pemikiran orang Melayu yang tidak lagi relevan dengan kehendak zaman dan mencari kebiasaan dan pemikiran baru. Seperti kata seorang ahli veteran UMNO yang diminta pendapatnya, “Datuk Onn mahu orang Melayu lebih pragmatic, dinamik dan berdaya maju, kalau kita masih mahu kekalkan slogan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia.”

Katanya lagi, “Jadi jangan kita salah anggap seruan Datuk Onn itu. Dia mahu kita orang Melayu buang semua kebiasaan dan aturan hidup yang merugikan dan fikirkan survival Melayu seribu tahun lagi. Bagi saya itu satu seruan ikhlas dan kasihnya Datuk Onn kepada orang Melayu. Adat yang merugikan Melayu itu dibuang sajalah. Saya setuju adat adat kebiasaan yang boleh kita teruskan seperti yang sering kita laungkan, iaitu tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Malah ada adat yang mengekalkan jati diri kita orang Melayu dan survival nama Melayu bergantung kepada selama lama mana ia dapat bertahan.”

Adat yang dimaksudkan veteran UMNO itu ialah adat yang sebenar adat. Ia telah menjadi institusi dan menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau masyarakat. Termasuk dalam adat ini boleh dilihat dalam sesuatu kelompok masyarakat Melayu. Di Negeri Sembilan, misalnya, silsilah keturunan mengikut garis ibu atau apa yang desebut sebagai matrilineal merupakan adat yang menjadi identity Melayu negeri itu. Adat itu dikatakan berasal dari Minangkabau. Ada pula mendakwa ia adalah warisan adat asetempat (orang asli) yang diadunkan dengan adat pendatang dari Sumatera Barat.

Ada pula adat yang dikaitkan dengan larangan berkahwin sesuku. Larangan ini ada kaitannya dengan system matrilineal bahawa masyarakat sesuku itu sebenarnya bersaudara di garis ibu. Lazimnya anak-anak dari dua wanita adik-beradik kandung tidak dibenarkan berkahwin sesama sendiri. Ini mungkin menjadi alasan mengapa diadakan larangan berkahwin sesuku itu.

Di peringkat nasional, ada yang melihat sistem beraja yang diamalkan Malaysia hari ini adalah lanjutan daripada adat zaman dahulu, walaupun dalam keadaan yang telah diubah suai mengikut kehendak zaman. Jika satu waktu dahulu raja adalah kuasa dan titahnya adalah undang-undang mengikut adat, hari ini raja adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Kekuasaan yang pernah dimilikinya berpindah ke pihak lain melalui dasar dan amalan demokrasi.

Jika adat yang sebenar adat ini “dimatikan” maka identiti orang Melayu; khususnya dan Malaysia amnya tercalar, malah boleh hilang. Seperti yang dikatakan bijak pandai adat, “Dianjak layu dicabut mati.” Ada yang mempersoalkan Melayu tidak akan hilang jika adat mati. Memang benar secara raga (fizikal) dan darah daging Melayu tidak akan hilang, tetapi identiti, semangat dan jiwa yang bernama Melayu tetap akan mati. Orang Melayu boleh mamtikan adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat-istiadat dan identity dan jiwa Melayu tetap utuh, tetapi jika Melayu mematikan adat yang sebenar adat, maka konsep “biar mati adat jangan mati anak” dalam landasaran berfikir orang Melayu akan menyebabkan apa apa yang kita kenal sebagai identiti Melayu hari ini akan hilang digantikan dengan suatu “identity Melayu yang sama sekali baru dan serba serbi asing.”

Kemungkinan besar inilah yang dibayangkan pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Sembilan itu apabila dia berkata, “Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang.” Orang Melayu di Negeri Sembilan tidak lagi menjadikan sistem Adat Perpatih sebagai agen pengatur kehidupan sehari-hari masyarakatnya. Malah adat itu sendiri telah dimatikan. Tidak ada lagi institusi undang, lembaga dan buapak. Lebih parah lagi pembesar adat, terutama yang bertingkah menyalahi adat dan yang selama ini mendapat rezeki melalui kedudukannya di sisi adat akan lonco dan uceh. Dia kehilangan segala-galanya.(Dipetik daripada Utusan Zaman, 3 Jun 2005).

Monday, June 15, 2009

UNDANG SUNGAI UJUNG: ANTARA PERLANTIKAN DAN PENGIKTIRAFAN

Othman ditabal Undang Luak Sungai Ujong baru
Oleh Siti Nor 'Ain Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
Istiadat Kerjan dipersoal berikutan Mubarak penyandang rasmi

SEREMBAN: Kedudukan penyandang Undang Luak Sungai Ujong yang sah kini menjadi persoalan, berikutan Istiadat Kerjan yang menabalkan Othman Ismail, sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru di sini, semalam.

Ini kerana jawatan itu secara rasmi disandang oleh Datuk Klana Putra Mubarak Dohak, 48, yang dilantik sejak 29 Disember 1993.

Istiadat Kerjan yang diadakan di Kampung Gedang, Pantai dekat sini, dikatakan mematuhi peraturan Luak Sungai Ujong serta mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Sri Maharaja Diraja Zulkepley Dahalan, berkata Othman dilantik sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru pada 8 Februari lalu.

"Istiadat hari ini (semalam) adalah kemuncak bagi mengesahkan Othman dari Perut Hilir Waris di Darat sebagai Undang Luak Sungai Ujong," katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu, semalam.
Zulkepley berkata, pemilihan Othman dibuat oleh Ibu Soko dari Perut Hulu dan Hilir Waris di Darat serta diperkukuhkan Ibu Soko dari Waris di Air.

Beliau mendakwa Mubarak kini bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong kerana dipecat selepas didapati melakukan 13 kesalahan adat luak itu.

Bagaimanapun setakat ini, kerajaan negeri hanya mengiktiraf Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang sah dan mengeluarkan kenyataan bahawa Istiadat Kerjan semalam tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.

Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan juga sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan Mubarak adalah sah mengikut adat istiadat Luak Sungai Ujong.
Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Datuk Jemal Zainal Kasim, berkata Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada mesyuarat khas 19 Ogos 2002 membincangkan isu pelantikan itu dan membuat keputusan Mubarak kekal menyandang pusaka Datuk Klana Petra Ke-10.

Zulkepley berkata, keputusan kerajaan negeri hanya mengiktiraf Mubarak mempunyai kebenarannya dengan mendakwa Dewan Keadilan dan Undang masih belum membuat keputusan mengenai kedudukan penyandang Undang luak itu.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, supaya membawa perkara itu ke Dewan Keadilan dan Undang untuk menerima Othman sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru.

Beliau berkata keputusan memecat Mubarak dan melantik Othman perlu diterima oleh semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

"Tidak ada pihak lain boleh campur tangan dalam urusan pelantikan Undang Luak Sungai Ujong dan saya meminta kerajaan negeri menerimanya," katanya. (Dipetik daripada akhbar Berita Harian, Jun 2009)

Komen:
Yang penting perlantikan ini direstui Kerajaan Negeri Sembilan kerana ia melibatkan soal kewangan dan kemudahan penyandang. Bagaimana pula dengan perkenan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan? Nampaknya jalan perlantikan semakin menjadi berliku-liku!

Tuesday, June 2, 2009

MENGENANG ARWAH PENULIS YEOP JOHARI YAAKOB

PAS N.Sembilan telah kehilangan seorang sasterawan dan pejuang veteran dengan pemergian ke rahmatullah Drs Yeop Johari Yaakob pada pagi Jumaat 10 Mac 2006 yang lalu.

Drs Yeop atau lebih dikenali dengan Cikgu Yeop dikalangan rakan-rakan yang tidak menunjukkan sebarang penyakit sebelum ini meninggal dunia di rumahnya di Taman Paroi Jaya , Seremban semasa tidur pada usia 60an.

Beberapa pimpinan PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan telah menziarahi jenazah beliau antaranya Dr Rosli Yaakop Pesuruhjaya PAS N.Sembilan, Us Kassim Ketua Dewan Ulamak PAS N.Sembilan, Hj Abd Taufek Timbalan Ketua Pemuda PAS N.Sembilan.

Cikgu Yeop terkenal di kalangan para sasterawan ketika beliau berkhidmat bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Semasa hayat beliau , beliau telah memberikan khidmat di peringkat badan perhubungan PAS N.Sembilan, PAS Kawasan Tampin, serta PAS Cawangan Astana Raja serta PAS Cawangan Kota.

Malah rumah beliau di Kg Bongek dijadikan Markas PAS serta kegiatan PASTI DUN Kota sedikit masa dahulu. Cikgu Yeop juga turut aktif memberikan khidmat masyarakat terutamanya kepada golongan pelajar miskin yang mendapat khidmat tuisyen serta kelas tambahan.

Disamping itu Cikgu Yeop sering memperjuangkan Adat Perpatih yang berlandaskan hukum syarak, sesuai dengan kata adat Adat Bersendikan Hukum, Hukum Bersendikan Kitab Allah, Syarak Mengata Adat Menurut.

Sesungguhnya PAS N.Sembilan telah kehilangan seorang pejuang yang unik serta sukar untuk ditukar ganti. Semoga Allah merahmati roh beliau serta melahirkan lebih ramai lagi pejuang Islam yang meperjuangkan sasterawan Melayu Islam serta Adat Perpatih dari kacamata Islam di negeri yang penuh beradat ini.
Posted by NS at 3/13/2006

Komen:
Maha suci Illahi Azawajalla lebih menyayanginya. Amin ya Rabul Alamin!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.