Adat Perpatih
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
(Dipetik pada 23 Jun 2009)
Wanita Minangkabau. Masyarakat Minangkabau secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum hawa dari sudut harta pusakaAdat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.
[sunting] Struktur Masyarakat Adat Perpatih
Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu [[Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.
Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.
Prinsip-prinsip Adat Perpatih
Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.
Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.
Pembahagian harta
Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih.
Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).
Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_Perpatih"
Laman ini diubah buat kali terakhir pada 15:40, 8 Ogos 2008. Kandungan disediakan dengan GNU
Komen:
Masih ramaikah penduduk Melayu Negeri Sembilan serius mengamalkan sistem ini, memandangkan sejumlah besar anak-anak mudanya kurang pengetahuan asas tentang adat ini? Dua tokoh budaya Negeri Sembilan, Tan Sri Abd. Samad Idris dan Norhalim Ibrahim telah meninggal dunia. Dan tidak ramai lagi yang masih berminat meneruskan perjuangan memartabatkan adat ini di Negeri Sembilan, kecuali mungkin sejumlah kecil Lembaga dan Buapak.
Dan bukan tidak mungkin mereka yang bergelar itu lebih mementingkan status dan ganjaran yang mengiringi perlantikan berbanding pertumbuhan dan kemajuan sistemnya. Wallahua'lam!
tidak kah? cara ini kejam.sebab kerana adat begini..ramai lelaki di luar akan menolak gadis negeri sembilan kerana adat2 kita ni.kerana saya salah seorang dari keturunan belah buapak..bagaimana tu?
ReplyDeletebelah buapak atau belah bapak. dua makna yang berbeza
ReplyDelete