Monday, June 15, 2009

UNDANG SUNGAI UJUNG: ANTARA PERLANTIKAN DAN PENGIKTIRAFAN

Othman ditabal Undang Luak Sungai Ujong baru
Oleh Siti Nor 'Ain Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
Istiadat Kerjan dipersoal berikutan Mubarak penyandang rasmi

SEREMBAN: Kedudukan penyandang Undang Luak Sungai Ujong yang sah kini menjadi persoalan, berikutan Istiadat Kerjan yang menabalkan Othman Ismail, sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru di sini, semalam.

Ini kerana jawatan itu secara rasmi disandang oleh Datuk Klana Putra Mubarak Dohak, 48, yang dilantik sejak 29 Disember 1993.

Istiadat Kerjan yang diadakan di Kampung Gedang, Pantai dekat sini, dikatakan mematuhi peraturan Luak Sungai Ujong serta mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Sri Maharaja Diraja Zulkepley Dahalan, berkata Othman dilantik sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru pada 8 Februari lalu.

"Istiadat hari ini (semalam) adalah kemuncak bagi mengesahkan Othman dari Perut Hilir Waris di Darat sebagai Undang Luak Sungai Ujong," katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu, semalam.
Zulkepley berkata, pemilihan Othman dibuat oleh Ibu Soko dari Perut Hulu dan Hilir Waris di Darat serta diperkukuhkan Ibu Soko dari Waris di Air.

Beliau mendakwa Mubarak kini bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong kerana dipecat selepas didapati melakukan 13 kesalahan adat luak itu.

Bagaimanapun setakat ini, kerajaan negeri hanya mengiktiraf Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang sah dan mengeluarkan kenyataan bahawa Istiadat Kerjan semalam tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.

Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan juga sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan Mubarak adalah sah mengikut adat istiadat Luak Sungai Ujong.
Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Datuk Jemal Zainal Kasim, berkata Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada mesyuarat khas 19 Ogos 2002 membincangkan isu pelantikan itu dan membuat keputusan Mubarak kekal menyandang pusaka Datuk Klana Petra Ke-10.

Zulkepley berkata, keputusan kerajaan negeri hanya mengiktiraf Mubarak mempunyai kebenarannya dengan mendakwa Dewan Keadilan dan Undang masih belum membuat keputusan mengenai kedudukan penyandang Undang luak itu.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, supaya membawa perkara itu ke Dewan Keadilan dan Undang untuk menerima Othman sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru.

Beliau berkata keputusan memecat Mubarak dan melantik Othman perlu diterima oleh semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

"Tidak ada pihak lain boleh campur tangan dalam urusan pelantikan Undang Luak Sungai Ujong dan saya meminta kerajaan negeri menerimanya," katanya. (Dipetik daripada akhbar Berita Harian, Jun 2009)

Komen:
Yang penting perlantikan ini direstui Kerajaan Negeri Sembilan kerana ia melibatkan soal kewangan dan kemudahan penyandang. Bagaimana pula dengan perkenan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan? Nampaknya jalan perlantikan semakin menjadi berliku-liku!

1 comment:

  1. Tidak berliku-liku seperti di andaikan.

    Negeri Sembilan adalah satu-satunya Negeri di Semenanjung Tanah Melayu (States of Malaya - bukan 'Malaysia Barat')yang ada termaktub dalam perlembagaan Negeri Sembilan 'undang-undang adat adalah sebahagian daripada undang-undang perlembagaan negeri. Tiada negeri lain yang mempunyai peruntukan adat seperti Negeri Sembilan. Oleh itu, undang2 adat perpatih PERLU, WAJIB DAN MESTI dipatuhi oleh Mahkamah di Malaysia apabila menyelsesaikan tuntutan waris pesaka ini, seperti kes-kes lain.

    Pakar 'Nonjusticiable'

    Undang2 Perlembagaan Negeri Sembilan menyebut adat perpatih MESTI di turuti dan dipakai. Tiada siapa boleh membengkokkan atau menokok tambah adat perpatih ini. Mahkamah pun boleh mengkaji adat ini dan melihat siapakah benar dan siapakah batil.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.