Tuesday, July 29, 2008

KUALA KELAWANG DAN RENTETAN SEJARAHNYA

ARKIB : 24/03/2008
Kuala Klawang kaya peninggalan sejarah

Mukadimah
MENJENGAH khazanah yang belum terungkap di bumi beradat di Jelebu, Negeri Sembilan mempunyai banyak kisah menarik, malahan setiap yang diperinci itu menceritakan pelbagai kelainan dalam penceritaan sejarah silam.

Melihatkan senario itu, ternyata kawasan di Jelebu ini kaya dengan peninggalan sejarah dan ada juga yang tidak diteroka secara mendalam untuk dikisahkan kepada umum, sebagai koleksi berharga untuk generasi masa hadapan.

Wartawan HUSSAINI AMRAN menjejaki gelombang sejarah di bumi Jelebu ini untuk diketengahkan kepada umum, sekali gus menggerakkan minat pengkaji sejarah, khususnya di kalangan pelajar dan penuntut universiti untuk membuat penyelidikan di kawasan taburan sejarah lampau ini.

Ikutilah laporan khas ini.
JELEBU – Kuala Klawang mempunyai banyak lokasi bersejarah yang berpotensi untuk dimajukan sebagai tarikan pelancongan namun usaha membangunkannya memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
Kurator Muzium Adat, Prof. Norhalim Ibrahim berkata, antara tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi di sini adalah Masjid Kuala Dulang dan Makam Datuk Moyang Salleh yang terletak berhampiran dengan pekan Kuala Klawang.
‘‘Mungkin ramai orang termasuk penduduk Jelebu sendiri yang tidak tahu apakah keistimewaan tempat-tempat tersebut.
‘‘Oleh itu, satu usaha yang serius diperlukan untuk memulihara dan mempromosi tempat-tempat seperti Masjid Kuala Dulang dan Makam Datuk Moyang Salleh supaya nilai sejarahnya tidak terus pupus ditelan zaman,” ujar beliau di sini kelmarin.
Di samping itu, tambah Norhalim, kajian yang mendalam perlu dijalankan bagi membongkar warisan peninggalan sejarah yang berharga demi memastikan generasi akan datang mendapat gambaran yang sebenar.
Jelas beliau, contohnya, ada pihak yang mengaitkan Datuk Moyang Salleh sebagai tokoh yang terlibat dengan sejarah Rembau keluar dari pemerintahan Johor sedangkan peristiwa itu berlaku 50 tahun sebelum tempoh hayat Almarhum.”
Kedua-kedua kawasan itu memang penting dalam sejarah kerana Masjid Kuala Dulang dipercayai terletak dalam kawasan penempatan awal pendatang Minangkabau di Jelebu manakala Makam Datuk Moyang Salleh merupakan tempat persemadian Undang Luak Jelebu yang pertama.
Satu lagi lokasi bersejarah yang perlu dibongkar adalah ‘Pita Serambai’ yang dipercayai tapak istana Yamtuan Muda Jelebu yang pertama.
‘‘Pita Serambai dipercayai terletak di dalam kawasan Ulu Klawang namun lokasi yang sebenar masih belum dikenalpasti,” kata Norhalim.
Memandangkan usaha membangun dan mempromosi lokasi-lokasi peninggalan sejarah memerlukan kos yang tinggi, beliau berharap agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta sama-sama berganding bahu ke arah ini.
‘‘Mungkin agensi-agensi kerajaan mempunyai peruntukan yang terhad, oleh itu syarikat-syarikat swasta yang beroperasi di negeri ini boleh menyalurkan sebahagian dana untuk membangunkan kawasan peninggalan sejarah sebagai satu cara mereka menyumbang kepada masyarakat setempat.
‘‘Mereka boleh menyumbang untuk pengindahan landskap dan menambah kemudahan awam di kawasan-kawasan tersebut,” kata Norhalim.
Selain itu, beliau berpendapat individu-individu yang terlibat dalam kerja membangun dan mempromosi kawasan-kawasan bersejarah ini perlu memiliki kepakaran dalam bidang ini dan berpengetahuan luas dalam sejarah tempatan. Beliau percaya, kawasan-kawasan peninggalan sejarah di sini mempunyai potensi yang tinggi untuk memancing kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara jika semua pihak bersikap proaktif dan prihatin tentang kepentingan sejarah kepada masyarakat.
‘‘Jika Melaka berjaya melakukannya, mengapa kita di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu tidak boleh melakukan perkara yang serupa?,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.