Monday, May 12, 2008

ZA'BA, REMBAU DAN ANUGERAH SASTERA PEN


Buku Karisma Penulis PEN mengandungi riwayat ringkas penulis Negeri Sembilan, antaranya termasuklah Pendeta Za'ba.

ANUGERAH SASTERA PEN
CATATAN A.F.YASSIN
Anugerah Sastera NS

Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) patut dipuji kerana perjuangannya memartabatkan sastera kini sampai ke puncaknya apabila Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan Anugerah Sastera Negeri Sembilan mulai tahun ini. PEN turut mendapatkan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka yang tentunya akan menyediakan kepakaran dalam memproses anugerah berkaitan, terutama pelantikan panel penilai dan bantuan teknikal lain.

Menurut PEN, anugerah dibahagikan kepada tiga kategori A,B dan C. Tidak pula dijelaskan lebih lanjut. Karya yang layak ditandingkan adalah yang telah tersiar atau dibukukan sejak tahun 1990. Karya hendaklah dihasilkan dalam bahasa Melayu oleh “pengarang-pengarang Negeri Sembilan”.

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan barangkali akan bekerjasama sebagai pusat sumber penyediaan karya. Kerjasamanya akan menjadi lebih penting kerana penilaian sesuatu karya atau penulis amat bergantung kepada sebanyak bahan yang dapat disediakan.

Bagaimanapun pengumuman Anugerah Sastera ini yang dibuat Sabtu lalu menimbulkan beberapa persoalan. Biasanya apabila disebut Anugerah Sastera, tergambar yang akan menerima anugerah ialah penulis atau pengaranng yang telah menghasilkan karya sejak sekian tahun, dalam hal Anugerah Sastera Negeri Sembilan sejak 15 tahun yang lalu. Penulis dinilai dari sudut pengkaryaannya dan konsistensinya berkrya di samping kegiatannya memartabatkan sastera. Ini konsep yang diguna pakai oleh Anugerah Sasterawan Negara.

Pengumuman yang dibuat PEN tidak pula menjelaskan konsep ini. Yang dinyatakan ialah “Hadiah dikhususkan untuk karya yang diterbitkan dalam bentuk buku, majalah ataupun akhbar dan skrip drama yang pernah disiarkan di media elektronik atau dipentaskan sejak 1990 hingga 2004.” Sementara anugerah dibahagikan dalam tiga kategori A, B dan C.

Pembahagian mengikut kategori ini tidak dijelaskan. Yang inginkan penjelasan diminta meghubungi Urus Setia di Seremban. Mengingatkan perangai penulis yang “malas” berbuat demikian maka dirasakan wajar Urus Setia Anugerah Sastera Negeri Sembilan ini memberi penjelasan “sejelas-jelasnya” melalui media supaya penulis-penulis yang berasal di Negeri Sembilan, walau dimana jua mereka berada, hanya tinggal mengirimkan karya dan keterangan diri.

Seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika dihubungi, turut keliru dengan pengumuman itu. Katanya, “Saya tak pasti yang dinilai untuk anugerah itu karya ecerannya atau penulisnya sendiri berdasarkan konsistensinya berkarya atau kegiatannya berkarya sepanjang tempoh yang disebutkan. Juga saya ingin tahu sama ada karya sastera kanak-kanak dan remaja termasuk dalam anugerah ini.”

Menurutnya, PEN perlu berhati-hati dalam memberi nama. Katanya lagi, “Daripada pengumuman itu saya rasa lebih sesuai PEN menamakannya Hadiah Sastera Negeri Sembilan, bukan Anugerah yang biasanya diberikan kepada orangnya bukan karya. Tapi ini Cuma pandangan saya. Tidak semestinya ia betul.”

Masalah lain yang menyangkut anugerah ini ialah calon-calon yang mungkin ikut serta. Jika untuk Anugerah Sasterawan Negara calon-calonnya boleh disenaraikan daripada seluruh penulis di Malaysia, untuk Anugerah Sastera Negeri Sembilan calon-calonnya hanya mereka yang berasal di Negeri itu seperti yang disebut dalam pengumuman berkenaan.

Namun yang membezakan antara Anugerah Sasterawan Negara dengan Anugerah Sastera Negeri Sembilan ialah “Sasterawan” dan “Sastera”. Negeri Sembilan memberikan keutamaan kepada “Sastera” bukan “Sasterawan”nya. Yang sedikit mengelirukan mungkin ialah perkataan Anugerah itu sendiri. Seperti kata pegawai itu, “Anugerah biasanya diberikan kepada orangnya bukan karyanya.”

Berapa ramaikah jumlah penulis Negeri Sembilan, termasuk pengarang yang telah menyemenda ke Negeri Sembilan seperti Agoes Salim yang berasal dari Muar. Selain Agoes, ada pula SN Datuk Abdullah Hussein dan Atondra yang telah menyemenda lama ke Negeri Sembilan. Apakah sudah ada pengarang anak watan Negeri Sembilan atau karya-karya sasteranya yang layak dicalonkan untuk menerima anugerah, bukan lagi hadiah? Oleh kerana tempoh pengkaryaan dibataskan dari 1990 hingga 2004, maka pengarang dan karya juga turut terbatas.

Tokoh veteran seperti Mustapha Kamal Yassin (Kala Dewata), umpamanya, akan terkeluar daripada senarai calon kerana tidak pasti sama ada beliau mempunyai buku atau karya yang diterbitkan dalam tempoh itu.Sedangkan beliau tokoh yang boleh dianggap membanggakan negeri adat Perpatih itu untuk katehori drama.

Begitu juga halnya dengan tokoh pengarang yang sudah meninggal dunia, seperti halnya Kamaruzzaman Kadir (Dharmawijaya). Bolehkah Allahyarham ini dicalonkan kerana beliau mempunyai beberapa buah buku dan karya yang telah diterbitkan sepanjang tempoh itu. Tokoh pengarang lain yang telah pergi dan masih dianggap berwibawa ialah Ismail Hadi (Ismala),

Pegawai Dewan Bahasa itu bertanya, “Apakah karya yang dimaksudkan itu khusus yang bersifat sastera (fiksyen) atau termasuk juga yang bukan sastera? Bagaimana dengan karya akademik tetapi berkait dengan bidang kesusasteraan. Kita tahu tokoh akademik yang juga penulis seperti Shamsul Amri Baharuddin dan Norhalim Ibrahim bukan calang-calang penulis dan banyak buku mereka telah diterbitkan sepanjang tempoh 15 tahun itu.”

Pegawai itu mencadangkan untuk berlaku adil, sebaiknya Urus Setia Anugerah ini meminta kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan mencari bahan-bahan yang relevan dengan penganugerahan ini sepanjang 15 tahun yang lalu, tanpa menunggu penulis mengirimkan karya-karya mereka untuk dinilai. Ikut seperti apa yang Dewan Bahasa lakukan untuk Anugerah Sasterawan Negaranya. Apapun jua, pegawai Dewan Bahasa menyebut beberapa nama yang unggul sebagai calon antaranya Latiff Mohiddin, Dr. Zakaria Ali dan Dharmawijaya jika karya Allahyarham diberikan pertimbangan. Di kalangan orang semenda ada pula Abdullah Hussein, Atondra dan Agoes Salim. Ends

Posted by Biduanda Waris Gadong at 11:02 AM 0 comments

Za'ba: Father of modern Malay literature (?)
MELIHAT ZA'BA DARI JEMPUL
Sharing Za'aba's priceless legacy
23 Dec 2006
Rizalman Hammim
________________________________________
SEREMBAN: Even as a young man of 21, Zainal Abidin Ahmad had a way with words.

His early manuscripts showed not only a talent for writing but also an intelligence and versatility which later earned him the well-deserved title of Father of Modern Malay Literature.

Better known as Za’aba, his writings on a variety of subjects including the economy, politics and literature were highly regarded.

And now, thanks to his family, more than 200 of his early manuscripts had been handed over to a collector and researcher here to enable students and other researchers to study them.



The manuscripts, which consists of personal letters, transcripts and unpublished articles written between 1916 and 1917, are now in the possession of Wan Ahmad Arshad.

"Even though he was only 21 or 22 at the time, the way the manuscripts were written showed just how talented he was and how advanced his thinking was," said Wan Ahmad.

Among the manuscripts is a letter written by the famed scholar and educator to a publisher.

In the letter, Za’aba criticised the interpretation of an article by a Utusan Melayu editor, describing it as too narrow.

"From the manuscripts, we can also see the development of the Malay language. And we will also see why Za’aba is widely considered as the Father of Modern Malay Literature," said Wan Ahmad.

Buku Pelita Bahasa Melayu karangan Za'ba

Za’aba was born on Sept 16, 1895, in Batu Kikir, Jempol, Negri Sembilan.

He was a teacher and a writer and, in 1953, he was appointed senior lecturer with the Malay Studies Department of the University of Malaya in Singapore.

He was bestowed the title Pendita during the 3rd Malay Language and Literature Congress in Johor Baru in 1956.

He died on Oct 23, 1973, at the age of 78.

Wan Ahmad said the manuscripts handed over by Za’aba’s family were among the largest collections of the scholar’s writings and would be extremely useful to students and researchers.

In order to "share" this rich legacy with others, Wan Ahmad has published a series of 72 compact discs (CDs) containing scanned images of the manuscripts.

"This is my way of enriching Za’aba’s heritage. So far, the CDs have received the support from various quarters, including the National Library and the National Archives.

"This is a unique collection and is only available on demand," he said.

Each set of 72 CDs are priced between RM39,000 and RM52,000.

If you want one, you had better hurry as there are only 12 sets in total and Wan Ahmad has already received orders for six of them.

The CDs can be ordered directly from him by sending an email to pusakamoyang@yahoo.com.sg.

Wan Ahmad is also in the process of developing a website featuring a virtual gallery of Za’aba’s manuscripts.

"The website will further spread the heritage of Za’aba not only in Malaysia, but also to the world at large.

"It will also be useful to those who can’t afford to buy the CD collection," Wan Ahmad said, adding that he hoped to have the website ready by next year.

One thing is for sure though, Wan Ahmad has no plans to sell the priceless manuscripts.

"I consider myself the keeper of the manuscripts. I get my satisfaction from studying and collecting Za’aba’s manuscripts.

Sometimes, monetary reward is not as important as the satisfaction of getting to do what you love," he said.
Comments:
Let's create more Wan Ahmads so that history can be placed in its proper perspectives

Posted by Biduanda Waris Gadong at 10:52 AM 0 comments


REMBAU, SEJARAH DAN PERLEMBAGAAN

Nama : Rembau, Sejarah dan Perlembagaan
Terjemahan & Padanan : Abbas Bin Haji Ali
Tahun terbit : 1953 (Edisi Jawi)

Buku ini diterjemah, dipinda dan dpadankan oleh Abbas bin Haji Ali, Guru Kanan di sekolah menengah King George V, Seremban. Cikgu Abbas berasal dari Chengkau, Negeri Sembilan. Buku ini dipadankan daripada karangan C.W.C Parr dan W.H. Mackerry yang tersiar dalam jurnal Straits Branch Roral Asiatic Society, Bilangan 56, December tahun 1910 dan dikeluarkan oleh Jabatan Undang Dan Perlembagaan Adat dan Istiadat Melayu Rembau.

Buku ini menggambarkan sejarah pentadbiran dan sistem Adat Perpatih di Rembau. Tujuan buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi adalah untuk melihat konsep, falsafah dan pelaksanaan adat ini dengan segala keunikan dan keistimewaannya. Juga buku ini ingin menunjukkan kepada masyarakat umum, terutama golongan muda dari negeri beradat itu bahawa adat yang dibawa dari Tanah Minangkabau (Sumatera Barat) sejak 350 tahun dahulu begitu serasi dan berjaya meningkatkan tahak tamadun penduduk Rembau, khususnya dan Negeri Sembilan amnya. Sejarah yang dipaparkan dalam buku ini mengikat erat hbungan antara penduduk Rembau dengan masyarakat zaman lampau yang berpusat di Melaka dan kemudian berhijrah ke Johor.

Buku ini juga akan meninjau bagaimana negeri ini telah maju dan mempunyai peradaban dan kebudayaan , semenjak runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Para warga Rembau menghormati dan memandang undang-undang dan adat mereka. Bagi mereka adat dan undang-undang berjalan bagaikan “membujur lalu, melintang patah” yang membawa erti adat tetap berjalan lurus mengikut matlamatnya. Seperti kata orang tua-tua, “Biar mati anak, asalkan jangan mati adat.” Falsah perbilangan ini memberi kesan yang mendalam. Secara harafiahnya sahaja, jika anak hidup tapi tidak mahu mengikut adat dan undang-undang, maka dia tidak akan dihargai dan dihormati.

Menurut pengkaji adat perpatih, Norhalim Bin Haji Ibrahim Adat Perpatuh yang berasal dari Minangkabau itu disesuaikan dengan adat dan peraturan tempatan. Sistem matriakal yang ditunjangi adat itu kebetulan bersamaan dengan amalan matriakal orang tempatan. Hal ini menyebabkan adat ini semakin dirasakan sesuai dengan jiwa dan kehidupan orang tempatan yang menerima persemendaan dengan perantau-perantau dari Alam Minangkabau.

Buku ini asalnya diterbtkan dalam rulisan Jawi. Tujuan penterjemah yang diwakili warisnya meminta buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi untuk mengelak daripada tuduhan bahawa adat itu kononnya tidak relevan dan bersalahan dengan hukum syarak zaman ini. Dalam Kata Pengantarnya, Cikgu Abbas menulis, “Pada masa yang akhir ini, didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan dengan berbagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya, mengatakan pada beberapa perkara, maka adat ini adalah kononnya telah tidak berseusian lagi dengan zaman sekarang.”

Adalah diharapkan, dengan terbitnya versi ejaan Rumi, buku ini akan mampu menyelesaikan isu berbangkit seperti yang dikatakan Cikgu Abbas dan memperbetul pandangan serong rakyat Malaysia, amnya dan warga Negeri Sembilan khasnya terhadap sistem, sejarah dan Adat Perpatih ini.

Waris penterjemah telah membri keizinan untuk menerbitkan semula buku ini dan adalah dengan ini dicadangkan juga agar ahli warisnya diberikan ganjaran sama ada dalam bentuk sagu hati atau royalti. Untuk makluman bahawa saya adalah anak saudara (keponakan) kepada Cikgu Abbas bin Ali. Cikgu Abbas (Allahyarham) berkahwin dengan ibu saudara saya dari sebelah ayah.

Kandungan buku:

Bab 1 : Sejarah Pentadbiran dan Adat Rembau
Bab 2 : Struktur Adat Berdasarkan Raja, Undang, Lembaga, Ibu Bapa dan
Orang Besar, termasuk Suku.
Bab 3 : Harta Pesaka
Bab 4 : Perkahwinan dan Perceraian
Lampiran :
a. Perbilangan adat
b. Senarai Undang
c. Perlembagaan
d. Senarai Pentadbir Suku
e. Senarai Juak Hulubalang Undang
f. Istiadat Mengurus Pengkebumian Undang
g. Adat Menghulur Cincin

Posted by Biduanda Waris Gadong at 10:45 AM 0 comments
DEMI ADAT DAN DEMI ANAK
RISIKO MEMBUNUH ADAT DEMI MEMPERTAHAN ANAK
Oleh A.F.Yassin

Seorang pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Seremban menyifatkan isyarat kurang sopan seorang pembesar adat (Undang Luak) Mei 2005 lalu dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri sebagai kurang sopan dan tak beradat. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah melanggari adat yang menaikkan darjat dan martabatnya. Kadang-kadang pembesar adat ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada pembesar adat yang terang-terang mahu mematikan adat itu sendiri.”

Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakan kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.

Pandangan penyelidik Adat Perpatih itu menunjukkan keprihatinannya tentang sikap dan tingkah laku orang Melayu, khususnya terhadap adat kebiasaan yang sejak dahulu kala mengawal kehidupan sehari-harian mereka. Barangkali pandangannya bahawa “adat sudah mati” sedikit keterlaluan, namun jika pembesar adat sendiri yang tidak menghormati adat, tidak ada jaminan orang ramai atau anak buah pembesar adat ini tidak akan mengikuti perbuatannya. Ibarat kata bidalan “bapak borek anak rintik.”

Pandangan penyelidik adat ini mengingatkan kita kepada kata-kata Datuk Onn Jaafar ketika memimpin orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dahulu. Datuk Onn dalam buku Biografi Dato’ Onn Jaafar (Penerbit Fajar Bakti, 1984), menyeru orang Melayu menerima konsep “biar mati adat jangan mati anak” sebagai satu anjakan paradigma. Bagi Dato’ Onn adat yang mengatur kehidupan harian orang Melayu yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai perlu disisihkan sahaja. Pemerhati politik menilai seruan Datuk Onn ini mulai memberi kesan positif kepada perlakuan dan pemikiran orang Melayu umumnya. Yang paling ketara, orang Melayu telah mula berjiwa korporat, bukan lagi petani, orang Melayu sudah mula berfikir global tidak lagi lokal.

Seruan Datuk Onn dan pandangan penyelidik Adat Perpatih tentang “adat telah mati dan mahu dimatikan” bagaikan membawa kesan negatif dan positif. Jelas dua kes berasingan ini memperlihatkan pemahaman tentang adat yang berbeza-beza. Pendek kata istilah “adat” yang dimkasudkan oleh Datuk Onn dan penyelidik Adat Perpatih mempunyai definisi berlainan. Ertinya juga adat dan pengertiannya perlu dilihat secara terpisah-pisah, yang satu berbeza dengan yang lain.

Ada yang akan bertanya, “Sebenarnya adat itu apa?” Jawaban kepada pertanyaan yang sederhana ini boleh juga sederhana, iaitu peraturan hidup sehari-hari. Kalau hidup tidak berperaturan, namanya hidup “tak beradat”. Maka aturan itulah yang dinamakan adat. Bak kata orang Minang: Duduk tagak beradat. Berbicara beradat. Berjalan beradat. Makan minum beradat. Bertamu beradat. Bahkan menguap dan batuk pun beradat.
Tetapi dalam pengertian biasa ini adat mungkin apa yang disebut sopan santun dan tatasusila dalam pergaulan sehari-hari. Masih banyak lagi pengertian lain. Masih banyak aturan lain yang sangat mendasar dan mengikat, termasuk hal yang dikaitkan dengan landasan berfikir, nilai-nilai dan falsafah hidup dan hokum yang perlu dipatuhi. Pemikir adat merangkumi seluruh aturan hidup bermasyarakat itu ke dalam empat kategori, iaitu adat yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.

Manakala ramai ahli sejarah menyamakan adat dengan undang-undang, berdasarkan kepada pengertian “aturan hidup harian”. Jika pengertian ini dipakai maka seruan Datuk Onn akan memakan diri sendiri. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu jika “adat dimatikan untuk menyelamatkan anak”? Kacau-bilau dan kehidupan tak menentu dan hukum rimba akan mengambil alih peranan adat. “Anak-anak” yang hidup dan tidak lagi “beradat” akan berkelakuan lebih rendah berbanding haiwan.

Penerhati politik menyifatkan seruan Datuk Onn itu ditujukan, khususnya kepada tiga kategori adat, iaitu adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat. Kesemua kategori adat ini membabitkan tingkah laku, kebiasaan, landasan berfikir dan falsafah orang Melayu. Sesetengah kalangan menilai seruan Datuk Onn itu sebagai meninggalkan kebiasaan dan pemikiran orang Melayu yang tidak lagi relevan dengan kehendak zaman dan mencari kebiasaan dan pemikiran baru. Seperti kata seorang ahli veteran UMNO yang diminta pendapatnya, “Datuk Onn mahu orang Melayu lebih pragmatic, dinamik dan berdaya maju, kalau kita masih mahu kekalkan slogan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia.”

Katanya lagi, “Jadi jangan kita salah anggap seruan Datuk Onn itu. Dia mahu kita orang Melayu buang semua kebiasaan dan aturan hidup yang merugikan dan fikirkan survival Melayu seribu tahun lagi. Bagi saya itu satu seruan ikhlas dan kasihnya Datuk Onn kepada orang Melayu. Adat yang merugikan Melayu itu dibuang sajalah. Saya setuju adat adat kebiasaan yang boleh kita teruskan seperti yang sering kita laungkan, iaitu tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Malah ada adat yang mengekalkan jati diri kita orang Melayu dan survival nama Melayu bergantung kepada selama lama mana ia dapat bertahan.”

Adat yang dimaksudkan veteran UMNO itu ialah adat yang sebenar adat. Ia telah menjadi institusi dan menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau masyarakat. Termasuk dalam adat ini boleh dilihat dalam sesuatu kelompok masyarakat Melayu. Di Negeri Sembilan, misalnya, silsilah keturunan mengikut garis ibu atau apa yang desebut sebagai matrilineal merupakan adat yang menjadi identity Melayu negeri itu. Adat itu dikatakan berasal dari Minangkabau. Ada pula mendakwa ia adalah warisan adat asetempat (orang asli) yang diadunkan dengan adat pendatang dari Sumatera Barat.

Ada pula adat yang dikaitkan dengan larangan berkahwin sesuku. Larangan ini ada kaitannya dengan system matrilineal bahawa masyarakat sesuku itu sebenarnya bersaudara di garis ibu. Lazimnya anak-anak dari dua wanita adik-beradik kandung tidak dibenarkan berkahwin sesama sendiri. Ini mungkin menjadi alasan mengapa diadakan larangan berkahwin sesuku itu.

Di peringkat nasional, ada yang melihat sistem beraja yang diamalkan Malaysia hari ini adalah lanjutan daripada adat zaman dahulu, walaupun dalam keadaan yang telah diubah suai mengikut kehendak zaman. Jika satu waktu dahulu raja adalah kuasa dan titahnya adalah undang-undang mengikut adat, hari ini raja adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Kekuasaan yang pernah dimilikinya berpindah ke pihak lain melalui dasar dan amalan demokrasi.

Jika adat yang sebenar adat ini “dimatikan” maka identiti orang Melayu; khususnya dan Malaysia amnya tercalar, malah boleh hilang. Seperti yang dikatakan bijak pandai adat, “Dianjak layu dicabut mati.” Ada yang mempersoalkan Melayu tidak akan hilang jika adat mati. Memang benar secara raga (fizikal) dan darah daging Melayu tidak akan hilang, tetapi identiti, semangat dan jiwa yang bernama Melayu tetap akan mati. Orang Melayu boleh mamtikan adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat-istiadat dan identity dan jiwa Melayu tetap utuh, tetapi jika Melayu mematikan adat yang sebenar adat, maka konsep “biar mati adat jangan mati anak” dalam landasaran berfikir orang Melayu akan menyebabkan apa apa yang kita kenal sebagai identiti Melayu hari ini akan hilang digantikan dengan suatu “identity Melayu yang sama sekali baru dan serba serbi asing.”

Kemungkinan besar inilah yang dibayangkan pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Sembilan itu apabila dia berkata, “Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang.” Orang Melayu di Negeri Sembilan tidak lagi menjadikan sistem Adat Perpatih sebagai agen pengatur kehidupan sehari-hari masyarakatnya. Malah adat itu sendiri telah dimatikan. Tidak ada lagi institusi undang, lembaga dan buapak. Lebih parah lagi pembesar adat, terutama yang bertingkah menyalahi adat dan yang selama ini mendapat rezeki melalui kedudukannya di sisi adat akan lonco dan uceh. Dia kehilangan segala-galanya.

A.F.Yassin
3 Jun 2005

Posted by Biduanda Waris Gadong at 10:39 AM 0 comments
TUGAS UNDANG MENJUNJUNG ADAT
Oleh A.F.Yassin

Baru-baru ini timbul satu insiden apabila seorang undang luak di Negeri Sembilan menengkari sumpah setianya untuk menjunjung adat ketika menyandang jawatan pesaka itu. Undang ini dikatakan berkelakuan di luar peraturan adat, memberikan isyarat kurang sopan kepada pembesar negeri dalam satu majlis rasmi yang ada kaitannya dengan kesucian agama Islam.

Menteri Kebudyaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Dr Rais Yatim kurang senang dengan kelakuan undang ini. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mendisiplinkan undang yang satu ini. Kalau perlu Dewan Keadilan Negeri yang berperanan mengawal perjalanan Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mencari jalan bagaimana sebaiknya masalah kelakuan kurang sopan oleh seorang pemimpin adat ini diselesaikan. Atau menteri besar, Dato’ Mohammad Hassan turun tangan. Bagaimanapun, menteri besar awal-awal lagi menolak sebarang campur tangan kerana masalah orang besar adat, seperti undang bukan dalam bidang kuasanya untuk menylesaikannya.

Dari segi hukum adat, penolakan menteri besar ini dilihat betul dan tepat. Sememangnya menteri besar tidak punya kuasa membuat keputusan. Kuasanya hanyalah “memberi gaji dan elaun” kepada semua undang luak dan lembaga-lembaganya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri. Malah dari segi heirarki pentadbiran negeri, undang luak merupakan institusi kedua setelah Yang Dipertuan Besar. Sementara institusi menteri besar terletak setakuk di bawah.

Seorang pemerhati adat di Seremban menilai kelakuan kurang sopan undang luak ini bukan yang pertama kali. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah membuat keputusan sendiri yang menyalahi adat yang telah menaikkannya. Kadang-kadang undang luak ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan jangan mati anak jangan mati adat itu sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada undang luak yang terang-terang mematikan adat yang menaikkannya ke darjat sekarang.”

Menurutnya, pernah suatu waktu dahulu seorang undang luak memberi gelaran kepada anak buah atau individu yang disukainya. Padahal tidak ada peruntukan dalam peraturan adat seorang undang luak memberi gelaran. Juga undang luak tidak mempunyai kuasa melantik Lembaga atau buapak kerana kuasa itu terletak di tangan anak buah lembaga atau buapak. Tugas undang luak adalah menasihati dan menjaga perjalanan adat. Kuasa Undang yang utama ialah memilih Yang Dipertuan Besar dari kalangan calon-calon yang disenaraikan dari kalangan kerabat diraja.

Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakab kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.

Menurut syarat-syarat perlantikan, undang luak yang bertindak di luar batas hukum adat boleh dipecat. Tetapi tindakan memecat hanya boleh dilakukan oleh Lembaga Tiang Balai, sekumpulan datuk-datuk lembaga, yang memilih dan melantiknya dahulu. Kuasa melantik dan memecat terletak di tangan mereka.

Berdasarkan sistem pemilihan ini maka Yang Dipertuan Besar melalui Dewan Keadilan tidak mempunyai wewenang (kuasa) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana undang luak yang empat. Kuasanya terbatas kepada usaha menasihati. Menurut pemerhati adat di Seremban itu, Lembaga Tiang Balai boleh mengambil daya usaha untuk bertindak. Satu penyiasatan boleh dilakukan oleh mereka dan kemudian membuat keputusan apa cara tindakan yang paling sesuai untuk “menjinakkan” undang luak terbabit. Keputusan itu kemudian dibawa ke pengetahuan Menteri Besar atau Dewan Keadilan Negeri untuk mendapatkan restu. Hal ini penting kerana menteri besar dianggap majikan luak undang. Ia melibatkan “gaji dan elaun” undang luak.

Pernah terjadi Lembaga Tiang Balai dan Ibu sako memecat undang luak yang dilantiknya dahulu kerana salah laku adat. Tetapi menurut ceritanya menteri besar ketika itu tidak merestui pemecatan berkenaan dan akhirnya undang luak terbabit masih dianggap ketua adat yang rasmi dengan mendapat gaji dan elaun penuh setiap bulan hingga ke hari ini. Maka terlihat ada konflik kepentingan dalam kes ini. Lembaga Tiang Balai dan Ibu Sako tidak lagi mengakui undang luak berkenaan, tapi kerajaan negeri masih menganggapnya undang luak yang rasmi. Dengan perkataan lain, dari segi adat undang luak ini tidak lagi menjadi ketua, tetapi dari segi politik, beliau tetap ketua adat dan terus memegang jawatan ketua adat.

Untuk menyelesaikan krisis adat dan salah laku seorang undang luak yang menjadi kes sorotan minggu ini, ada baiknya Lembaga Tiang Balai undang luak mengambil inisiatif, bertindak membetulkan keadaan. Keberanian lembaga tiang balai bertindak akan menjamin kedaulatan undang-undang adat di luak yang terbabit. Soalnya, beranikah lembaga tiang balai bertindak? Atau dengan soalan yang lain, sanggupkan lembaga tiang balai bertindak terhadap orang yang kini menjadi ketuanya?

Kata pemerhati adat itu, “Sebenarnya sejarah berulang kembali. Kepentingan politik lebih diutamakan. Kepentingan adat tidak akan mengatasi kepentingan politik. Apatah lagi orang sekarang, teruatama anak-anak buah undang luak tidak ambil kisah lagi tentang perjalanan adat. Keadaan ini tentunya dimanfaatkan oleh sesetengah pembesar adat untuk kepentingannya. Malah ada ketua adat berlindung di bawah kepimpinan politik. Seolah-olah orang adat ditentukan nasibnya melalui kuasa politik, bukan kuasa adat.”

Jalan tengah menyelesaikan kemelut ini ialah adalah dengan membentuk satu mahkamah adat khas yang berpusat. Mahkamah ini diberi kuasa untuk membicarakan undang luak yang empat, termasuk Tengku Besar dan beberapa penghulu adat yang lain atas dasar individunya, jika mereka didapati bertindak di luar kepentingan adat. Mahkamah ini diwujudkan seperti halnya mahkamah khas untuk sultan dan raja. Hakimnya mungkin dipilih daripada anggota Lembaga Tiang Balai dari keempat-empat luak (Sungai Ujong, Jelebu, Rembau dan Johol) dan bersidang jika ada keperluan.

Ketua hakim hendaklah seorang yang mahir tentang adat, sejarah dan perkembangannya di samping mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perundangan. Pemerhati adat itu mencadangkan supaya penubuhan mahkamah khas itu dilakukan secepat mungkin dan menjadikan tindakan kurang sopan undang luak baru-baru ini sebagai kes sulungnya. Ends

Posted by Biduanda Waris Gadong at 10:34 AM 0 comments
Older Posts

2 comments:

  1. Saya teruja sangat dapat membaca biography A.F.Yassin.Selama ini saya tidak tahu nama besar ini berasal dari Kg.Gadong,Kota,N.Sembilan.Semoga Allah melindungi tuan.T.K.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Tuan kerana sudi menjenguk blog Adat Perpatih. Saya bukan nama besar seperti yang Tuan katakan, hanyalah setakat bekerja dengan DBP satu ketika dan bergaul dengan sujulmlah nama besar di institusi bahasa dan sastera. Jadi saya pun numpang semngkuk, kata orang sekarang. Apapun saya sempat juga meninjau blog Tuan dan saya harap Tuan dapat terus menulis mengikut rasa hati. Bagi saya apa yang dirakamkan itu adalah memoir kita dulu, hari ini dan akan datang. Tahniah Tuan!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.