Thursday, May 8, 2008

SUKU ASAL TUN GHAFAR BABA MASIH TANDA TANYA


Tun Ghafar Baba (kiri) bersama Hasrom Haron, Penerbit UKM di kediaman Tun di Bangsar.

Tun Ghafar Baba ketika ditemu bual di kediamannya di Bangsar, dua bulan sebelum kembali ke Rahmatullah.

Dari satu sudut makam keluarga Tun Ghafar Baba.


TUN GHAFAR BABA: ANAK NEGERI SEMBILAN - SUKUNYA?

Mantan Setiausaha Politik Tun Musa Hitam, Dato’ Ruhanie Ahmad dalam satu artikelnya dalam tabloid Siasah” (7 Julai 2006) antara lain menganggap Abd. Ghafar Baba, (Tun), mantan Timbalan Perdana Menteri sebagai seorang loyalis UMNO terkemuka. (to recall in later chapter) Tulis Ruhanie, “Beliau antara pejuang kemerdekaan negara yang ulung. Oleh itu, jangan sesiapa meremehtemehkan kenyataannya. Kenyataan itu kenyataan loyalis UMNO. Kenyataan itu kenyataan pejuang kemerdekaan negara. Tun Ghaffar berkata demikian kerana beliau insaf, UMNO bukannya gunung batu yang kaku dan berhantu. Sebaliknya, beliau insaf, UMNO adalah parti yang sentiasa hidup dan mesti mara ke puncak jaya.” Tulis Ruhanie lagi, “Tun Ghaffar adalah antara pejuang dan loyalis UMNO yang disegani. Kepergian beliau ke rahmatullah mesti dicari gantinya.

Sepatah kata Allahyarham A. S. Amin, dalam puisi “Jiwa Merdeka”: ‘Tunas muda terkulai patah, tumbuh lagi benih di tanah. Api di sekam tiada kelihatan, kelak menyala membakar hutan.’ Sepatah kata Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang, dalam puisi Keyakinannya “Tidak Mati-Mati”: ‘Terdedah luka dalam pucat wajah, masih ada keteguhan di mata yang tidak pejam. Bersimbah darah meresapi bumi dipijak, semangatnya terus bersama rakan yang melanjutkan. Itulah wajah keberanian dan keyakinan kaum pejuang yang tidak terlumpuhkan!’ ”Oleh itu, loyalis dan idealis UMNO, ambillah iktibar daripada perjuangan Tun Ghaffar. Perjuangan loyalis dan idealis UMNO bukan untuk mana-mana individu atau pemimpin, waimah Presiden UMNO. Perjuangan loyalis dan idealis UMNO adalah untuk membentengi UMNO supaya tidak dimusnahkan oleh kelompok siasah dajjal, lembu kasi dan kuda kayu."

Ruhanie, bekas wartawan dan tokoh politik yang berasal dari Muar dan pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen menyanjung tinggi ketokohan dan kesetiaan Abd. Ghaffar kepada UMNO. Abd. Ghafar disamakan dengan kesetiaan seorang tokoh lagenda dan pahlawan Melaka, Hang Tuah, pada zaman kesultanan Melaka pada abad ke-15. Abd. Ghafar adalah loyalis kepada UMNO seperti Hang Tuah seorang loyalis kepada sultan. Abd. Ghafar pernah dua kali dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kali pertama apabila Tun Musa melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun …… dan kali kedua setelah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat Dr. Mahathir paada tahun 1987). Hang Tuah juga pernah dinyahkan dari istana apabila difitnah Pateh Karma Wijaya. Bagaikan ada persamaan antara watak Abd. Ghafar dan Hang Tuah tentang kesetiaan.

Hanya yang membezakan kesetiaan antara dua tokoh ini mungkin dari sudut latar belakang dan persekitaran. Hang Tuah, misalnya lahir dari satu genarsi Melayu yang berpegang kepada “Melayu tidak pernah derhaka kepada sultan”, sementara Abd. Ghafar pada generasi yang patuh kepada adat dan pantang larang. Hang Tuah berada di tengah-tengah masyarakat yang melihat sultan adalah undang-undang, sementara Abd. Ghafar melihat Melayu dan UMNO itu adalah satu. Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu, bersatu bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan.

Tetapi, begitulah agaknya apabila Ruhanie membaca saranan Abd. Ghafar supaya UMNO dilelong secara terang-terang, Ruhanie amat memahami tentang kekecewaan Abd. Ghafar apabila UMNO orang Melayu tidak lagi dapat lagi mengawal UMNO. Abd. Ghafar semakin rosak dengan gejala politik wang dan Abd. Ghafar mengandaikan bahawa orang Melayu telah membiarkan UMNO “sedang dilelong di pasar gelap.” Abd. Ghafar menyatakan rasa kecewanya ini pada 19 April 2005. Tulis Ruhanie, “Saya membina khayalan di atas untuk mendapatkan kesan saikologi kepada kenyataan Tun Ghaffar. Khayalan ini juga saya paparkan supaya setiap pembaca insaf, bahawa kenyataan Tun Ghaffar Baba, UMNO sudah kena lelong dalam gelap, adalah serius. Tun Ghaffar adalah pejuang UMNO yang sentiasa segar. Beliau berani. Kritikannya tajam. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa melangit tingginya. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa bersemarak dan membara.”

Yang tersirat daripada tulisan Ruhanie ini adalah rintihan jiwanya melihat parti yang didukungnya selama ini telah menjadi semakin dimusnahkan oleh tindak-tanduk segelintir orang dalam parti sendiri demi kepentingan agenda politik yang sempit. Abd. Ghafar ternyata “kalah” dalam usahanya menyamakan tahap kesetiaanya seperti yang ditunjukkan Hang Tuah. Inilah perbezaan yang ketara apabila dibandingkan dua tahap kesetiaan: Abd. Ghafar dengan UMNO dan Hang Tuah dengan sultan. Ternyata kesetiaan Abd. Ghafar ada batasnya, berbeza dengan kesetiaan Hang Tuah yang cinta ksihnya kepada sultan melulu dan tida tandingannya.


Apapun jua, Abd. Ghafar dilihat sebagai watak manusia yang berjejak di bumi nyata, berbanding Hang Tuah sebagai watak lagenda yang fakta sejarahnya masih boleh dipersoal. Walaupun kedua-duanya disandarkan kepada watak psikik Melayu, malah bertapak di bumi Melaka, namun Abd. Ghafar mempunyai latar kehidupan dan budaya yang sedikit berbeza. Watak Hang Tuah dikatakan berasal dari Bentan dan bersama-sama empat saudranya yang lain berhijrah ke Melaka pada usia muda, iaitu melalui pengaruh dan desakan Bendahara Melaka. Manakala Abd. Ghafar berasal dari Negeri Sembilan (Kuala Pilah) dan berhijrah ke Melaka ketika berusia 13 tahun. Penghijrahan Hang Tuah dikjaitkan dengan latar belakang kepahlawanan sedangkan penghijrahan Abd. Ghafar dikaitkan pula dengan latar belakang kemiskinan. Jika Hang Tuah beribubapakan orang Bentan, Abd. Ghafar beribubapakan orang Melaka (bapa orang Sungai Udang manakala ibu orang Sungai Bemban).

Ruhanie menilai Abd. Ghafar sebagai “pejuang UMNO yang sentiasa segar. Beliau berani. Kritikannya tajam. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa melangit tingginya. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa bersemarak dan membara.” Penilian ini selari dengan anggapan ramai tentang sifat dan sikap Hang Tuah terhadap sultan. Cinta, kasih dan sayangnya kepada sudah tentulah sentiasa melangit tingginya. Cinta, kasih dan sayangnya kepada sultan sentiasa bersemarak dan membara. Bezanya, Abd. Ghafar adalah manusia yang berpijak di bumi nyata, sementara Hang Tuah adalah watak lagenda sebuah sejarah orang Melayu.

Ruhanie adalah salah seorang yang melihat Abd. Ghafar sebagai seorang tokoh yang ideal dari sudut pemikirannya terhadap orang Melayu dan UMNO. Ramai lagi yang mempunyai pemikiran yang sama dengan Ruhanie, terutama mereka yang rapat atau yang sentiasa mengikuti kerjaya politik Abd. Ghafar, seperti mantan dua setiausaha akhbarnya, Dato’ Abd. Jalil Rahman dan Dr. Alias Mohammad. Juga tokoh politik, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mohamad, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, anak angkat politik Abd. Ghafar sendiri.

Para cendekiawan dan ahli akademik membuat penilaian positif, sesetengahnya secara berlebihan tentang Abd. Ghafar sehingga Abd. Ghafar tidak memiliki sebarang cacat-cela dalam kerjayanya sebagai tokoh politik. Dalam kalangan ahli akademik dan cendekiawan ini pemotretan tokoh Abd. Ghafar dapat dirumuskan seperti yang dilukiskan Prof. Dr. Mohd. Taib Osman dalam “Pengenalan”nya untuk buku Ghafar Baba, Kupasan oleh Profesor dan Cendekiawan Melayu”, terbitan Gateway Publishing House (1973). Mohd. Taib merumuskan Abd. Ghafar: “Sebagai orang Melayu beliau kuat berpegang kepada kepercayaan bahawa Allah s.w.t adalah berkuasa dalam serba-serbinya. Hidup manusia ditentukan oleh Tuhan, tetapi sebagai orang Islam, beliau juga percaya manusia mestilah berusaha untuk mencapai sesuatu. Imbangan antara dua pendekatan inilah yang menjadi sumber kekuatan Ghafar dalam memperjuangkan cita-cita politiknya.”

Mohd. Taib memetik kata-kata Abd. Ghafar, “Salahkah saya dari keturunan miskin, anak orang miskin, anak penarik kereta lembu ini tegak di tengah-tengah bangsa saya bagi membela dan menghapuskan kemiskinan? Salahkah saya bekerja bermati-matian sepenuh hati dan tenaga dalam memperjuangkan bangsa yang ketinggalan pada serba-serbi di tanah airnya sendiri? Daripada pandangan parti-parti pembanagkang, apakah pengkhianatan yang telah saya lakukan melalui usaha-usaha kerajaan Perikatan bagi meninggikan taraf hidup bangsa saya.”

Siapa Abd. Ghafar Baba? Soalan ini akan timbul sekiranya Abd. Ghafar bukan bekas menteri, bukan bekas pemimpin UMNO dan bukan bekas Ketua Menteri Melaka. Abd. Ghafar akan berada setaraf dengan sesiapa sahaja dalam kalangan masyarakat awam, baik beliau tukang beca, pemungut bola golf atau pemcuci kereta. Kalau pun ada sebarang memoir seperti yang ditulis Abd. Ghafar, ia tidak akan menarik perhatian umum. Siapa Abd. Ghafar Baba?

Sudah suratan takdir Abd. Ghafar Baba mempunyai dua latar kehidupan sosial yang berbeza. Sewaktu zaman kanak-kanak Ghafar dipengaruhi dengan kehidupan yang berlandaskan sistem Adat Perpatih di Kuala Pilah. Sejak berusia 13 tahun Ghafar dipengaruhi pula oleh kehidupan yanag berlatarkan sistem Adat Temenggung setelah Ghafar berhijrah ke Sungai Udang, Melaka. Oleh kerana Ghafar tidak lagi tinggal di Kuala Pilah sehinggalah beliau meninggal dunia maka latar kehidupannya dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial banyak bertunjang kepada sistem Adat Temenggung ini. Sikap dan tingkah laku Ghafar banyak dipengaruhi oleh kedua-dua sistem adat ini, terutama ketika Ghafar menetap di Kuala Pilah dan kemudian di Sungai Udang.
Kuala Pilah adalah salah sebuah pekan utama di Daerah Kuala Pilah di Negeri Sembilan, satu-satunya negeri di seluruh Malaysia yang penduduknya menghanut Adat Perpatih. Sebuah daerah di Melaka, iaitu Alor Gajah, juga menganut sistem Adat Perpatih ini. Pekan Kuala Pilah merupakan pekan tua yang menarik dengan kebanyakan kedai-kedainya adalah warisan lama yang dibina sejak zaman sebelum merdeka lagi. Seorang bekas guru, Haji Jamaluddin Ali, yang tinggal di Kampung Sawah Lebar, yang terletak di tengah-tengah Pekan Kuala Pilah, pekan ini sebenarnya, terletak di satu lembah dan kedai-kedai yang masih wujud pernah dibina pada awal-awal tahun 1930an. Katanya, “Ada beberapa buah yang telah berusia seratus tahun,” katanya.( ....)
Daerah Kuala Pilah terletak kira-kira 40 kilometer, ke timur Bandar Seremban dan pernah menjadi ibu negeri Negeri Sembilan. Terdapat perkhidmatan kereta api yang menghubungi bandar Kuala Pilah dengan Bahau sehingga tahun 1931. Ghafar dalam bukunya “Memoir” menulis perkhidmatan kereta api adalah dari Tampin ke Kuala Pilah. Konon ceritanya Kuala Pilah mendapat namanya daripada Sungai Pilah, satu cabang Sungai Muar. Nama Pilah mungkin berasal daripada perkataan Arab “Kafilah” yang bermakna “konsentrasi Penjajahan”. Ramai pedagang yang singgah di tempat ini dalam perjalanan mereka ke Melaka. Pekan ini mengandungi sebuah komuniti kaum Cina yang telah bermastautin di sini sejak zaman awal penjajahan British pada abad ke-18. Di sebuah jalan besar pekan itu terukir pintu gerbang yang didedikasikan kepada residen British pertama untuk Negeri Sembilan yang bernama Martin Lister.
Di pekan inilah Ghafar dilahirkan pada 18 Februari 1925. Bapa, Baba bin Abdullah berhijrah ke pekan ini dari Sungai Udang setelah berkahwin dengan nya yang garang tidak memberikan Ghafar kebebasan sepenuhnya untuk bermain-main dan menikmati alam remaja seperti anak-anak yang lain yang sebaya dengannya. Latar hidup keluarganya yang dianggap miskin menyebabkan Ghafar terpaksa bekerja untuk membantu orang tuanya. Dalam Memoir, Ghafar menyentuh betapa beliau membantu bapanya menoreh dan mengikutnya “berjalan kaki kira-kira tiga batu jauh.” Bapanya juga pernah menjadi pemandu kereta dan pemandu teksi di pekan itu. Bapanya juga mempunyai kebun getah seluas setengah hektar (kira-kira satu ekar).
Memoir juga bercerita tentang ibu Ghafar yang juga membantu suaminya dengan menjadi buruh di stasion kereta api Kuala Pilah. Kereta api ini mengubungkan Kuala Pilah dengan Stasion Pulau Sebang, Tampin dalam daerah Alor Gajah, Melaka (.....). Kerja ibu Ghafar ialah memilih damar. Ibu Ghafar juga terpaksa berjalan kaki sejauh tiga batu setiap hari untuk ke stasion berkenaan.
Ibu Ghafar meninggal dunia pada tahun 1932 ketika Ghafar berusia tujuh tahun. Ibu Ghafar pada masa itu berumur 38 tahun. Bapa Ghafar kemudian berkahwin dengan Puteh bin Yasin dari Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka. Ketika bapanya berusia 40n tahun, beliau meninggal dunia. Maka Ghafar pun menjadi yatim piatu setelah dua tahun ibunya pergi terlebih dahulu. Ghafar ketika itu berusia 9 tahun. Setelah perginya kedua-dua ibu bapa, tiga adik-beradik Ghafar, Rahmah, Jamiah dan Zakaria berpindah ke Sungai Udang untuk dijaga oleh abang Abdullah, Hitam , seorang guru.
Ghafar enggan pindah kerana beliau terlalu sayang meninggalkan tanah tumpah darahnya seperti yang diungkapkannya dalam Memoir. Dalam usia sembilan tahun itu Ghafar telah berfikir seperti orang dewasa. Seperti katasnya dalam Memoir, “Saya ingin berdikari dan percaya saya akan berjaya. Setiap pagi Jumaat, waktu tidak bersekolah saya ke tanah perkuburan di Kampong Gemuroh membersihkan kubur kedua-dua ibu bapa, kakak saya Zauyah, abang saya Sha’rani dan adik saya Aziz dan membaca doa untuk mereka. Bahkan itulah sebab utama mengapa saya mahu terus menetap di Kuala Pilah. Siapa lagi yang akan membersihkan tanah perkuburan itu kalau saya juga turut berpindah ke Melaka” fikir saya.” (....)
Di Kuala Pilah, Ghafar menumpang duduk di rumah bapa saudara, Ahmad Awang, yang hidupnya juga “terlalu miskin”. Ghafar hanya tumpang tidur kerana siangnya sehari suntuk beliau akan keluar, tak tahan dengan isteri Ahmad Awang yang suka berleter. Ghafar mengambil upah menjual kuih, menolong seorang Cina menjual aiskrim atau seorang Jawa menjual nasi lemak. Pada sebelah petang Ghafar menjadi kedi (ball boy).
Cikgu Othman Abu Samah, jiran sebelah rumah ibu Ghafar di Tebat Kering kurang yakin bahawa Ghafar hidup dalam serba kekurangan memandangkan penduduk Kuala Pilah “biasanya tidaklah terlalu miskin sampai tidak cukup makan.” (wawancara dengan Cikgu Othman). Hal yang serupa disuarakan seorang penduduk di Kg. Sawah Lebar, Cikgu Jamaluddin Ali yang juga seorang guru sezaman dengan Abd. Ghafar. Hajah Khadijah menafikan sekeras-kerasnya Ghafar terlalu miskin sampai kurang makan dan terpaksa pungut bola golf untuk mencari sesuap nasi. Khadijah juga menafikan yang Ghafar jarang pulang ke rumah, tidur rumah kawan-kawan kerana tidak ada siapa yang menjaganya. Menurut Khadijah, semiskin-miskin orang Kuala Pilah tidak ada yang sampai tak makan dan bekerja macam usia Ghafar. Memang betul ayah Ghafar bawa kereta lembu dan bawa teksi, tapi jarang tak makan. Bila ayah Ghafar meninggal, Ghafar adalah di bawah jagaan ibunya dan juga bapak saudaranya Hitam, yang rumahnya berdekatan dengan kawasan lekuk Sek Kebangsaan Kuala Pilah. Khadijah tidak yakin Ghafar akan ditinggalkan begitu sahaja oleh bapa saudaranya. Adat orang Kuala Pilah atau Negeri Sembilan, jarang meninggalkan anak saudaranya tak makan. Ada kemungkinan Ghafar mahu mencari duit sedikit membantu ibunya atau untuk kegunaannya sendiri maka beliau sanggup mengutip bola golf. Buku Titianku, memoir Ghafar Baba tidak pula menceritakan lebih lanjut tentang zaman kecil-kecilnya.

Rumah ibu bapa Ghafar agak besar juga. Walaupun rumahnya tidak ada lagi tetapi Cikgu Othman menunjukkan contoh rumah ibu bapa Ghafar yang terletak di Jalan Kuala Pilah-Tampin. Rumah itu seperti rumah minang yang bahagian serambinya terbuka. Atap rumbia dan bumbungnya serdikit melengkung. Kawasan tapak rumah dan tanah yang dimiliki ibu Ghafar satu ketika dahulu semak samun. Tanah ini telah dijual kepada orang lain kira-kira dua tahun dahulu. (.......wawncara dengan Jamaludin Ali).
Di Malaysia hanya Melaka sahaja yang mengamalkan dua adat, iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih Naning. Bekas guru dan budayawn dari Melaka, Jamal Shah dalam mengakui bahawa masyarakat negeri Melaka, walaupun kecil wilayahnya memiliki keistimewaan yang negeri-negeri lain di tanah air tidak ada. Melaka sebenarnya dibahagi kepada dua kelompok adat dan dianut oleh masyarakatnya secara harmoni.

Di wilayah utara Melaka bersempadankan Negeri Sembilan, terdapat 25 buah kampung yang termasuk dalam wilayah Adat Perpatih Naning. Kampung-kampung itu ialah Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina Kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Pulau Sebang, Tanjong Rimau, Padang Sebang, Gadek, Melaka Pindah, Rembia, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Taboh Naning, Pegoh, Kelemak, Sungai Petai, Kemuning, Tebong, Batang Melaka, Jus dan Nyalas. Kesemua kampung itu berada dalam Daerah Alor Gajah. Sementara semua kampung di luar Alor Gajah adalah termasuk dalam apa yang dinamakan wilayah yang mengamalkan Adat Temenggung.

Jamal Shah menyebut bahawa masyarakat yang menganut Adat Perpatih Naning di Daerah Alor Gajah dianggap beruntung dibandingkan dengan masyarakat yang berada di luar wilayah adat ini. Masyarakat ini mendapat perlindungan dari Perlembagaan Negeri (Fasal 34 (1-5), seperti mempunyai Ketua Adat yang diiktiraf oleh Kerajaan negeri dengan gelaran Datuk Penghulu Naning atau Datuk Naning sahaja dengan gelaran Orang Kaya Seri Raja Merah. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh masyarakat di luar Adat Perpatih Naning.

Penganut Adat Temenggung di luar Alor Gajah tidak mempunyai seorang ketua adat seperti yang terdapat pada Adat Perpatih Naning. Bagaimanapun, Perlembagaan Negeri tidak memberi peruntukan seperti yang terdapat untuk Adat Perpatih Naning. Sistem Adat Perpatih Naning dikaitkan dengan eniti adat itu sendiri sebagai satu sistem politik, lahir apabila sistem Adat Perpatih diperkenalkan ke wilayah Naning, seiring dengan sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Sementara Adat Temenggung tidak mengikuti sebarang tradisi untuk melantik seorang ketua adat. Hal ini tidak pernah berlaku bagi semua negeri lain di Malaysia yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Negeri-negeri lain seperti halnya Melaka di luar Daerah Alor Gajah tidak mempunyai ketua dalm sistem adat yang dianuti sekarang. Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negri yang mempunyai sultan dan raja memperuntukkan kuasa adat dan istiadat yang menyangkut kepentingan orang Melayu diketuai terletak di bawah kuasa sultan dan raja.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka, yang juga seorang budayawan, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, idea untuk negeri Melaka mewujudkan Ketua Adat Temenggung amat baik dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Katanya, “Umum mengetahui Adat Perpatih dan Temenggung merupakan gandingan seiring bagi masyarakat Melayu khususnya bagi negeri ini (Melaka) dan masing-masing mempunyai daerah penggunaan masing-masing. Antara keduanya dari segi adatnya tidak terdapat perbezaannya dan dalam banyak hal terdapat persamaan yang sering dilakukan oleh kedua-dua pengguna adat tersebut.” (Era, 8 Februari 1986).

Anehnya, Melaka merupakan negeri Melayu pertama yang mempunyai sultan pada tahun 1403. Sistem Adat Temenggung telah dilaksanakan dan menjadi adat rasmi kerajaan negeri Melaka sehinggalah Melaka dialahkan Portugis dan sultannya berundur ke Johor dan kemudian ke Riau. Maka secara tidak langsung Melaka telah mewujudkan Ketua Adat Temenggungnya lama sebelum daerah Alor Gajah mewujudkan Ketua Adat Perpatih Naningnya. Berdasarkan sejarah sistem Adat Perpatih Naning mula diamalkan di Alor Gajah yang dahulunya dikenali dengan nama Naning . Wilayah Naning yang sekarang disebut Wilayah Adat Perpatih Naning adalah sebuah negeri merdeka dan berdaulat apabila Melaka dialahkan Portugis pada tahun 1511.

Perang Naning yang bermula pada tahun 1831, ketika itu di bawah Ketua adatnya, Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Dol Said menentang East India Company di bawah pimpinan tentera Inggeris yang bernama P.J. Begbie berakhir dengan kekalahan di pihak Naning pada tahun 1832. Sejak itulah Wilayah Adat Perpatih Naning telah terjajah oleh pihak Inggeris sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957.

Menurut sejarah, Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau. Mereka itu terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku. Perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan adalah satu-satunya warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan perlantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu semuanya adalah berteraskan kepada Adat Perpatih.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilbeberapa angan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.
Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.
Pada masa ini Adat Perpatih di Negeri Sembilan hanya diamalkan pada urusan-urusan tertentu sahaja sperti nikah kahwin, pemberian pusaka dan perlantikan pemimpin. Selain daripada itu amat kurang adat ini dipraktikkan. (Lihat Internet/Wikipedia. Norhalim Ibrahim, budayawan Negeri Sembilan, Adat Perpatih telah diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan dan Naning (Alor Gajah) semenjak 600 tahun dahulu. (Lihat Glosari Adat Negeri Sembilan). Dan sepanjang enam ratus tahun itu, adat ini telah mengalami pelbagai kemajuan dan perubahan. Adat di Negeri Sembilan dan Naning ini, yang juga dipanggil Rantau Minang oleh pengamalnya di Tanah Minangkabau, bermula dari gabungan dan penyatuan dua adat, iaitu adat kaum perantau dari Sumatera, khususnya Siak dengan adat Orang Asli tempatan yang dikenali sebagai Adat Benar. Adat ini kemudian mengalami pertembungan dengan sistem Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris). Sehingga dengan demikian sistem Adat Perpatih ini banyak tergelincir dari beralih daripada landasan , ideologi dan falsafah asalnya.
Norhalim melihat amalan dan keistimewaan Adat ini semakin kurang diberikan perhatian, terutama di kalangan generasi hari ini. Seperti kata Norhalim, “Hari ini dari segi amalan hanya tinggal nama sahaja. Yang masih bertahan ialah kerangka politiknya (tetapi tidak organisasinya). Faktor-faktor penyebab kurangnya penduduk yang mengamalkan sistem ini ialah:
• Mereka tidak nampak keistimewaan dan kekuatan Adat Perpatih,
• Tidak memberi sebarang ganjaran baik dari segi status pada pandangan dunia luar wilayah adat ataupun kewaangan,
• Sistem Adat Perpatih, terutama sifat matrilinealnya sering menjadi cemuhan dan sindiran orang, dan
• Terlalu taksub dengan budaya bukan Adat Perpatih, khususnya budaya bandar dan Barat yang tidak banyak pantang larang nilai, moral dan etika, sebaliknya memberikan kebebasab yang seluas-luasnya.
Faktor-faktor yang mengekang sistem Adat Perpatih ini tidak wujud dalam apa yang disebut wilayah di luar Adat Perpatih seperti yang disebut lingkungan Adat Temenggung seperti yang disebut budayawan Melaka Aziz Tapa atau Jamal Shah. Tidak keterlaluan jika ada penduduk wialayah Adat Perpatih sendiri memberi pandangan bahawa kemegahan dan kesensitifan tentang adat ini lebih kepada emosi dan sentimen sahaja. (Lihat Norhalim dalam Glosari Adat Negeri Sembilan). Penduduk, termasuk pemimpin adat itu sendiri kurang menghayati sistem adat ini malah petunjuk mutakhir, seperti yang dijelaskan Norhalim, memperlihatkan penghakisan yang amat ketara, terutama dalam luak Sungai Ujong. Luak ini bersama-sama luak-luak lain yang tercakup dalam Daerah Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Seremban, Tampin dan Rembau. Daerah lain, iaitu Alor Gajah adalah Daerah di Melaka.
Abdul Ghafar Baba yang lahir di Daerah Kuala Pilah, secara proses neutralisasi dianggap pennganut Adat Perpatih ini. Walaupun pandangan umum hari ini meletakkan kedudukan Ghafar sebagai orang Melaka, berdasarkan ayahnya, Baba, berasal dari Kampung Sungai Udang, Melaka dan ibunya Saodah Salleh yang berasal dari Kampung Solok Ulu Duyong, Ayer Panas, Bemban, Jasin. Namun setelah Baba dan Saodah berhijrah ke Kampong Jawa di Kuala Pilah untuk menyertai abangnya, Cikgu Hitam dan isterinya Peah, mereka telah dikadimkan, iaitu “masuk suku” yang membawa makna menjadi ahli keluarga dijadikan anggota suku Peah. Abdul Ghafar dalam “Memoir”nya menulis kedua-dua orang tuanya, Baba dan Saodah menganut adat Perpatih dalam suku Mungkal. Maka terdapat sedikit perbezaan antara maklumat yang diberikan Abd. Ghafar tentang pengkadiman kedua-dua orang tuanya berbanding suku yang dianuti abang Baba dan isteri. Ini barangkali boleh dikaitkjan dengan sistem pengkadiman yang diterima pakai di Kuala Pilah bagi orang luar yang berhijrah ke daerah itu, terutama yang datang dari daerah bukat penganut Adat Perpatih. (...)
Hitam yang bertugas sebagai guru di kampung itu telah berkahwin dengan Peah, anak tempatan dari Suku Biduanda. Kampung Peah yang bernama Kampong Jawa kemudian ditukar namanya kepada Kampong Tebat (Tobek) Kering seperti yang diceritakan Haji Jamaluddin Ali dan isterinya Hajah Khadijah Yunus yang menetap di Kampong Sawah Lebar. Haji Jamaluddin adalah rakan sekolah Ghafar sewaktu kecilnya.
Sebagai anggota suku dalam Adat Perpatih, apatah lagi Suku Biduanda, Peah mewarisi sebidang tanah dan rumah di Kampung Tebat Kering itu. Ini dinyatakan dengan panjanag lebar oleh jiran terdekat Peah yang mewarisi rumah dan tanah yang dimiliki Peah, Cikgu Othman Haji Samah. Cikgu Othman berasal dari Kampong Mayon, Chengkau Hulu, Rembau dan bersemenda dengan suku Biduanda, seperti halnya Cikgu Hitam, abang Baba.
Melalui sistem Adat Perpatih, baik di Kuala Pilah, mahpun di Alor Gajah (Naning), orang luar (orang semenda) yang berasal dari luar sistem adat ini, jika mahu berkahwin dengan anggota dari dalam sistem adat (tempat semenda) akan mengiukuti adat perkahwinan mengikut Adat Perpatih. Orang lelaki dari luar yang ingin berkahwin dengan wanita dari suku perempuan (orang adat) mestilah terlebih dahulu mengikut proses kadim supaya wujud konsep orang tempat semenda. Inilah yang terjadi kepada Hitam yang berkahwin dengan Peah. Hitam dari Sungai Udang, Melaka (orang luar Adat Perpatih) dikadimkan sebagai anggota Suku Biduanda (orang semenda), iaitu suku Peah (tempat semenda).
Haji Jamaluddin dan Cikgu Othman sekata dengan kedudukan Baba dan Saodah suami isteri ketika menetap di Kg. Tebat Kering. Baba dan isterinya telah dikadimkan atau “masuk suku” dan menjadi anggota kepada suku keluarga Peah, walaupun hal ini agak berbeza dengan apa yang ditulis Ghafar dalam memoirnya Penitianku. Dalam memoir ini Ghafar menganggap ibu bapanya adalah dari Suku Mungkal (Penitianku, 2006). Dengan demikian pengakuan itu menunjukkan bahawa Ghafar sendiri adalah dari suku Mungkal sehingga beliau pindah ke kampung bapanya di Sungai Udang. Dan ini sebenarnya tidak menjejaskan pengakuan Ghafar bahawa beliau dan ibu bapanya telah “masuk suku” dan dengan demikian mengamalkan sistem Adat Perpatih di Kuala Pilah.
Dalam pada itu ada pula yang mempertikaikan kesahihan suku ibu bapa Ghafar. Umumnya pengamal Adat Perpatih mengetahui bahawa orang lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dalam suku yang sama. Misalnya Baba bin Kassim, bapa Ghafar tidak boleh berkahwin dengan Saodah bte Salleh, ibu Ghafar. Penitianku ada menyebut bahawa kedua-dua ibu bapa Ghafar berkahwin di Kuala Pilah, mungkin di rumah abang Baba, iaitu Cikgu Hitam. Oleh kerana mereka datang dari Melaka, Baba dari Sungai Udang dan Saodah dari Kampung Bemban, maka mereka berdua mungkin telah dikahwinkan sebelum dikadimkan (masuk suku) ke suku Mungkal.
Hanya, Cikgu Hitam, abang Abdullah tidak dinyatakan sukunya atau dari mana asalnya. Mungkinkah Cikgu Hitam ini lahir di Kuala Pilah atau berhijrah dari Sungai Udang, Melaka dan kemudian memilih masuk ke Suku Mungkal sesudah dikadimkan. Setelah itu beliau berkahwin dengan Peah dari Suku Biduanda dan dengan itu Cikgu Hitam menjadi orang semenda di suku Biduanda. Tetapi ini tidak pula menjawab masalah Baba dan Saodah, kecuali jika Baba dan Saodah memilih untuk dikadimkan ke dalam suku abang Baba, Cikgu Hitam. Jika ini yang terjadi maka masalah Baba dikadimkan ke Suku abangnya Cikgu Hitam Mungkal tidak timbul lagi. Yang masih menjadi tanda tanya ialah ke suku mana Saodah dikadimkan? Sebabnya, seperti lazim, tidak ada sepasang suami isteri yang boleh dikadimkan ke dalam suku yang sama.
Budayawan Norhalim melihat kemungkinan bahawa Saodah dikadimkan ke dalam Suku lain daripada suaminya Baba. Mungkin ke Suku Biduanda atau ke suku-suku yang lain yang ada di Kuala Pilah. Biasanya terdapat sejumlah suku yang bernaung di bawah satu luak, bergantung dari mana kelompok suku itu datang. Kuala Pilah adalah termasuk dalam Luak Ulu Muar. Luak ini diperintah oleh ketua aadat Datuk Bendahara Setia Maharaja Setia Maharaja Lela Perkasa dari Suku Biduanda Waris Lantaui Kulit. Jumlah suku dalam Luak ini ialah 18 termasuk 13 suku asal dan selebihnya suku tambahan.
Suku-suku adalnya ialah Anak Aceh, Batu Belang, Batu Hampar, Biduanda Sungai Ujong, Biduanda Waris, Mungkal, Paya Kumbuh, Seri Lemak Minangkabau, Seri Lemak Pahang, Seri Melenggang, Tanah Datar, Tiga Batu dan Tiga Nenek. Suku-suku Tambahan pula terdiri daripada suku-suku yang nama asalnya diambil dari nama-nama suku asal, iatu Biduanda Jawa, Mungkal, Seri Lemak Minangkabau, Seri Lemak Pahang Baginda Raja dan Tanah Datar.
Menurut Norhalim, pengikut-pengikut suku-suku tamabahan ini tidak menganggotai mana-mana suku asal kerana mereka dianggap kelompok yanag asing dan merupakan pendatang-pendatang dari luar kawasan Ulu Muar. Mereka adalah orang adat tetapi dari suku-suku luar di luak-luak lain. Pendatang dari Suku Mungkal Luak Rembau, misalnya, akan mengaadakan komuniti adatnya sendiri di Luak Ulu Muar (Kuala Pilah) dan menamakannya Suku Mungkal Tambahan. Begitu juga dengan pendatang dari Suku Batu Hampar di Rembau akan meneroka di Ulu Muar dan menamakan adat komunitinya dengan nama Suku Batu Hampar Tambahan.
Maka dalam proses pengkadiman Baba dan Saodah di Kuala Pilah atau dalam lingkungan adat Luak Ulu Muar ini, suku setiap orang yang terlibat ini perlulah dijelaskan. Pada prinsipnya, mereka berdua tidak dibenarkan satu suku yang sama kerana seperti yang dijelaskan Norhalim tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada kekeliruan. Dalam hal ini sama ada Baba “masuk suku” Mungkal atau Saodah, jika Memoir Ghafar mahu diambil kira. Dalam pada itu pula oleh kerana suku anak adalah didasarkan kepada suku ibu, maka jika Ghafar lahir dalam suku Mungkal, maka ibunya Saodah menjadi pengikut Suku Mungkal, sedangkan isteri Cikgu Hitam, abang Baba adalah pengikut Suku Biduanda.
Jalan penyelesaian yang ada ialah Saodah memilih untuk dikadimkan ke dalam Suku Mungkal dan berkahwin dengan Baba yang memilih untuk dikadimkan ke dalam salah satu yang lain seperti Biduanda, yang pengiukutnya Peah dan dengan suaminya Cikgu Hitam sebagai orang semenda. Dengan demikian Ghafar adalah dari Suku Mungkal, mengiukut suku ibunya sehingga beliau berumur 13 tahun apabila beliau berpindah ke Sungai Udang.
Di Melaka, masalah suku dan kadim-mengkadim tidak wujud. Ghafar dan saudara-maranya bernasib baik kerana tidak termasuk dalam wilayah Adat Perpatih Naning, walaupun Sungai Udang hampir sahaja dengan wilayah adat Alor Gajah, bersempadankan Mesjid Tanah. Wilayah bukan Adat Perpatih Naning ini menganjur ke utara, mengiukuti Pantai ke Port Dickson, satu-satunya daerah yang di luar lingkungan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. (Sila lihat peta). Port Dickson berada dalam lingkungan yang dpimpin oleh Ketua Adat yang disebut Datuk Muda Linggi dan bernaung di bawal Luak Sungai Ujong. Walaupun bukan penganut Adat Perpatih, tetapi Ketua Adatnya mendapat “tidak perintah” daripada Undang Luak Sungai Ujong dan mempunyai adatnya sendiri.
Demikianlal, Ghafar selama 13 tahun berada di bawah pengaruh Adat Perpatih. Pengharuh ini telah membentuk jiwa dan raganya menjadi seorang penganut Adat Perpatih dalam lingkungan adat Ulu Muar di Kuala Pilah. Oleh kerana pekan Kuala Pilah ketika itu menjadi pekan elit, iaitu tempat bersemanyamnya Yang Dipetuan Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti, maka pekan itu turut menjadi daerah elit di Negeri Sembilan. Dan Abd. Ghafar disifatkan berada dalam lingkungan masyarakat elit manakala kawasan rumah ibu Abd. Ghafar di Tebat Kering hanya kira-kira satu km dari bangunan Kelab Golf Ulu Muar, berhampiran dengan Sekolah Cina yang menghala ke jalan besar Kuala Pilah-Tampin dan Sekolah Tamil yang berdepan dengan bangunan kelab.
Berdasarkan lokasi kawasan kampung Abd. Ghafar dan kawasan sekolahnya, ternyata ada perbezaan jarak seperti yang diceritakan Abd. Ghafar dalam “Memoir”nya. Abd. Ghafar menyebut “kami semua mengaji di sekolah Melayu (sekolah rendah) Kuala Pilah, sejauh tiga batu dari rumah. Masuk sekolah Melayu percuma, tapi tidak berguna.” (...... memoir hal.6). Jarak yang dinyatakan Abd. Ghafar ini kurang tepat kerana jarak sebenarnya hanyalah satu km.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.