Papers on Negeri Sembilan History: Notes on Rembau and Naning - A glimpse into the life - the past, the present and the future - of Negeri Sembilan dwellers, particularly Rembau and Naning, the cradle of Adat Perpateh culture.
Sunday, January 11, 2009
PENGARUH DUA ADAT DALAM DIRI TUN GHAFAR
Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika ditemui di kediamannya di Bangsar dua bulan sebelum meninggal dunia (gambar dirakam A.F.Yassin).
GHAFAR: ANTARA TEMENGGUNG DAN PERPATIH
Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba lahir dan dibesarkan sehingga berusaia 13 tahun di wilayah Adat Perpatih, Luak Ulu Muar dalam Daerah Kuala Pilah. Ibu bapanya telah dikadimkan menjadi pengikut Adat Perpatih, ketika kedua orang tuanya, Baba dan Saodah berhijrah dan berkahwin di Kuala Pilah. Walaupun pandangan umum hari ini meletakkan kedudukan Ghafar sebagai orang Melaka, berdasarkan ayahnya, Baba, berasal dari Kampung Sungai Udang, Melaka dan ibunya Saodah Salleh yang berasal dari Kampung Bemban, Jasin. Namun setelah Baba dan Saodah berhijrah ke Kampong Jawa di Kuala Pilah untuk menyertai abangnya, Cikgu Hitam dan isterinya Peah, mereka telah dikadimkan, iaitu “masuk suku” yang membawa makna menjadi ahli keluarga dijadikan anggota suku Peah.
Hitam yang bertugas sebagai guru di kampung itu telah berkahwin dengan Peah, anak tempatan dari Suku Biduanda. Kampung Peah yang bernama Kampong Jawa kemudian ditukar namanya kepada Kampong Tebat (Tobek) Kering seperti yang diceritakan Haji Jamaluddin Ali dan isterinya Hajah Khadijah Yunus yang menetap di Kampong Sawah Lebar. Haji Jamaluddin adalah rakan sekolah Ghafar sewaktu kecilnya.
Sebagai anggota suku dalam Adat Perpatih, apatah lagi Suku Biduanda, Peah mewarisi sebidang tanah dan rumah di Kampung Tebat Kering itu. Ini dinyatakan dengan panjanag lebar oleh jiran terdekat Peah yang mewarisi rumah dan tanah yang dimiliki Peah, Cikgu Othman Haji Samah. Cikgu Othman berasal dari Kampong Mayon, Chengkau Hulu, Rembau dan bersemenda dengan suku Biduanda, seperti halnya Cikgu Hitam, abang Baba.
Melalui sistem Adat Perpatih, baik di Kuala Pilah, mahpun di Alor Gajah (Naning), orang luar (orang semenda) yang berasal dari luar sistem adat ini, jika mahu berkahwin dengan anggota dari dalam sistem adat (tempat semenda) akan mengiukuti adat perkahwinan mengikut Adat Perpatih. Orang lelaki dari luar yang ingin berkahwin dengan wanita dari suku perempuan (orang adat) mestilah terlebih dahulu mengikut proses kadim supaya wujud konsep orang tempat semenda. Inilah yang terjadi kepada Hitam yang berkahwin dengan Peah. Hitam dari Sungai Udang, Melaka (orang luar Adat Perpatih) dikadimkan sebagai anggota Suku Biduanda (orang semenda), iaitu suku Peah (tempat semenda).
Haji Jamaluddin dan Cikgu Othman sekata dengan kedudukan Baba dan Saodah suami isteri ketika menetap di Kg. Tebat Kering. Baba dan isterinya telah dikadimkan atau “masuk suku” dan menjadi anggota kepada suku keluarga Peah, walaupun hal ini agak berbeza dengan apa yang ditulis Ghafar dalam memoirnya Penitianku. Dalam memoir ini Ghafar menganggap ibu bapanya adalah dari Suku Mungkal (Penitianku, 2006). Dengan demikian pengakuan itu menunjukkan bahawa Ghafar sendiri adalah dari suku Mungkal sehingga beliau pindah ke kampung bapanya di Sungai Udang. Dan ini sebenarnya tidak menjejaskan pengakuan Ghafar bahawa beliau dan ibu bapanya telah “masuk suku” dan dengan demikian mengamalkan sistem Adat Perpatih di Kuala Pilah.
Dalam pada itu ada pula yang mempertikaikan kesahihan suku ibu bapa Ghafar. Umumnya pengamal Adat Perpatih mengetahui bahawa orang lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dalam suku yang sama. Misalnya Baba bin Kassim, bapa Ghafar tidak boleh berkahwin dengan Saodah bte Salleh, ibu Ghafar. Penitianku ada menyebut bahawa kedua-dua ibu bapa Ghafar berkahwin di Kuala Pilah, mungkin di rumah abang Baba, iaitu Cikgu Hitam. Oleh kerana mereka datang dari Melaka, Baba dari Sungai Udang dan Saodah dari Kampung Bemban, maka mereka berdua mungkin telah dikahwinkan sebelum dikadimkan (masuk suku) ke suku Mungkal.
Hanya, Cikgu Hitam, abang Abdullah tidak dinyatakan sukunya atau dari mana asalnya. Mungkinkah Cikgu Hitam ini lahir di Kuala Pilah atau berhijrah dari Sungai Udang, Melaka dan kemudian memilih masuk ke Suku Mungkal sesudah dikadimkan. Setelah itu beliau berkahwin dengan Peah dari Suku Biduanda dan dengan itu Cikgu Hitam menjadi orang semenda di suku Biduanda. Tetapi ini tidak pula menjawab masalah Baba dan Saodah, kecuali jika Baba dan Saodah memilih untuk dikadimkan ke dalam suku abang Baba, Cikgu Hitam. Jika ini yang terjadi maka masalah Baba dikadimkan ke Suku abangnya Cikgu Hitam Mungkal tidak timbul lagi. Yang masih menjadi tanda tanya ialah ke suku mana Saodah dikadimkan? Sebabnya, seperti lazim, tidak ada sepasang suami isteri yang boleh dikadimkan ke dalam suku yang sama.
Budayawan Norhalim melihat kemungkinan bahawa Saodah dikadimkan ke dalam Suku lain daripada suaminya Baba. Mungkin ke Suku Biduanda atau ke suku-suku yang lain yang ada di Kuala Pilah. Biasanya terdapat sejumlah suku yang bernaung di bawah satu luak, bergantung dari mana kelompok suku itu datang. Kuala Pilah adalah termasuk dalam Luak Ulu Muar. Luak ini diperintah oleh ketua aadat Datuk Bendahara Setia Maharaja Setia Maharaja Lela Perkasa dari Suku Biduanda Waris Lantai Kulit. Jumlah suku dalam Luak ini ialah 18 termasuk 13 suku asal dan selebihnya suku tambahan.
Suku-suku itu ialah Anak Aceh, Batu Belang, Batu Hampar, Biduanda Sungai Ujong, Biduanda Waris, Mungkal, Paya Kumbuh, Seri Lemak Minangkabau, Seri Lemak Pahang, Seri Melenggang, Tanah Datar, Tiga Batu dan Tiga Nenek. Suku-suku Tambahan pula terdiri daripada suku-suku yang nama asalnya diambil dari nama-nama suku asal, iatu Biduanda Jawa, Mungkal, Seri Lemak Minangkabau, Seri Lemak Pahang Baginda Raja dan Tanah Datar.
Menurut Norhalim, pengikut-pengikut suku-suku tamabahan ini tidak menganggotai mana-mana suku asal kerana mereka dianggap kelompok yanag asing dan merupakan pendatang-pendatang dari luar kawasan Ulu Muar. Mereka adalah orang adat tetapi dari suku-suku luar di luak-luak lain. Pendatang dari Suku Mungkal Luak Rembau, misalnya, akan mengaadakan komuniti adatnya sendiri di Luak Ulu Muar (Kuala Pilah) dan menamakannya Suku Mungkal Tambahan. Begitu juga dengan pendatang dari Suku Batu Hampar di Rembau akan meneroka di Ulu Muar dan menamakan adat komunitinya dengan nama Suku Batu Hampar Tambahan.
Maka dalam proses pengkadiman Baba dan Saodah di Kuala Pilah atau dalam lingkungan adat Luak Ulu Muar ini, suku setiap orang yang terlibat ini perlulah dijelaskan. Pada prinsipnya, mereka berdua tidak dibenarkan satu suku yang sama kerana seperti yang dijelaskan Norhalim tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada kekeliruan. Dalam hal ini sama ada Baba “masuk suku” Mungkal atau Saodah, jika Memoir Ghafar mahu diambil kira. Dalam pada itu pula oleh kerana suku anak adalah didasarkan kepada suku ibu, maka jika Ghafar lahir dalam suku Mungkal, maka ibunya Saodah menjadi pengikut Suku Mungkal, sedangkan isteri Cikgu Hitam, abang Baba adalah pengikut Suku Biduanda.
Jalan penyelesaian yang ada ialah Saodah memilih untuk dikadimkan ke dalam Suku Mungkal dan berkahwin dengan Baba yang memilih untuk dikadimkan ke dalam salah satu yang lain seperti Biduanda, yang pengiukutnya Peah dan dengan suaminya Cikgu Hitam sebagai orang semenda. Dengan demikian Ghafar adalah dari Suku Mungkal, mengiukut suku ibunya sehingga beliau berumur 13 tahun apabila beliau berpindah ke kampung asal bapanya di Sungai Udang.
Di Melaka, masalah suku dan kadim-mengkadim tidak wujud. Ghafar dan saudara-maranya bernasib baik kerana tidak termasuk dalam wilayah Adat Perpatih Naning, walaupun Sungai Udang hampir sahaja dengan wilayah adat Alor Gajah, bersempadankan Mesjid Tanah. Wilayah bukan Adat Perpatih Naning ini menganjur ke utara, mengiukuti Pantai ke Port Dickson, satu-satunya daerah yang di luar lingkungan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Port Dickson berada dalam lingkungan yang dpimpin oleh Ketua Adat yang disebut Datuk Muda Linggi dan bernaung di bawal Luak Sungai Ujong. Walaupun bukan penganut Adat Perpatih, tetapi Ketua Adatnya mendapat “tidak perintah” daripada Undang Luak Sungai Ujong dan mempunyai adatnya sendiri.
Demikianlal, Ghafar selama 13 tahun berada di bawah pengaruh Adat Perpatih. Pengaruh ini telah membentuk jiwa dan raganya menjadi seorang penganut Adat Perpatih dalam lingkungan adat Ulu Muar di Kuala Pilah. Seperti halnya pengikut adat yang lain di daerah itu Ghafar tidak dapat tidak bersikap dan bertindak sebagai seoarang penganut Adat Perpatih, walaupun beliau masih berada dalam alam remaja.
Tidak jelas apa yang terjadi setelah penghijrahan (balik kampung) Ghafar ke Sungai Udang. Ghafar hanya dikatakan menyambung persekolahannya di Sekolah Melayu Tangga Batu, tidak berapa jauh dari Sungai Udang. Letaknya antara Pekan Mesjid Tanah dan Sg. Udang. Oleh kerana Ghafar tinggal bersama-sama keluarga Baba, maka bermulalah penghijrahan adat. Jika di Kuala Pilah Ghafar tinggal di rumah keluarga sebelah ibu dan bersifat matrilenal, kini Ghafar mula menjalani hidup di bawah pengarah patrilineal, kelaziman bagi pengikut Adat Temenggung. Pengaruh adat ini mulai menguasai diri Ghafar dan semakin dewasa Ghafar maka semakin matang cara berfikirnya. Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (MPSI) menjadi ibu bapa kedua bagi Ghafar.
Pengaruh matrilineal menguasai sikap dan pendirian Ghafar baik semasa kecil mahupun setelah beliau dewasa. Sebagai contoh, ketika beliau diminta adik-beradiknya meninggalkan Kuala Pilah pulang ke kampung bapanya di Sungai Udang, Ghafar lebih suka tinggal di Kuala Pilah. Walaupun dalam memoirnya, beliau menyebut hendak menjaga kubur kedua-dua orang tuanya, tetapi jauh di sudut hatinya, beliau dipengaruhi rasa sayang kepada ibunya yang telah pergi dahulu. Lazimnya seorang anak akan lebih dekat kepada ibu yang mendambakan kasih sayang, lebih daripada seorang bapa, terutama jika bapa Ghafar dilihat garang olehnya (Lihat Penitianku). Walaupun tidak dinafikan setiap anak di mana sahaja, baik dia berada dalam pengaruh Adat Perpatih atau Adat Temenggung, akan lebih dekat kepada ibu tetapi suasana dan latar belakang kehidupan Ghafar sebagai anak yang lahir dalam lingkungan Adat Perpatih dengan hubungan kekeluargaan yang rapat di kalangan saudara-saudara sebelah ibu.
Seperti katanya, “Hanya saya seorang sahaja yang tidak mahu berhijrah ke Melaka. Saya buat keputusan mahu menetap di Kuala Pilah kerana saya mencintai tempat tumpah darah saya itu walaupun saya tidak ada tem[pat hendak bergantung lagi. Kemudian Ghafar memberi sebab lagi mengapa beliau mahu terus menetap di Kuala Pilah. “Siapa lagi yang kan membersihkan tanah perkuburan itu kalau saya juga turut berpindah ke Melaka?” fikirnya.
Kalimullah Hassan dalm artikelnya “In Memprium Abd. Ghafar Baba”, tersiar dalam New Straits Times, sehari setelah meninggalnya Ghafar menulis “kesetiaan Ghafar kepada Umno dan negara, dapat dilihat melalui perjalanan karir politiknya. Pada saat ia menjabat sebagai wakil inti presiden dalam partai Umno, dan ketika Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 1976, lalu digantikan oleh Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ghafar tidak dilantik sebagai wakil Perdana Menteri.
Jabatan tersebut diberikan kepada Datuk Seri (kini bergelar Tun) Dr Mahathir Mohamad. Menurut cerita, penyebab Ghafar tidak diangkat sebagai wakil Perdana Menteri karena tidak memiliki kelayakan akademik. Ghafar, kalau mau, bisa saja menjadikan hal tersebut sebagai isu yang bisa diangkat dan meminta dukungan masyarakat untuk dirinya seperti yang dilakukan oleh pemimpin politik lain. Sebaliknya, almarhum malah melepaskan jabatannya dalam Kabinet, dan memberi dukungan penuh kepada Hussein dan Dr Mahathir, serta tetap menjadi pendukung setia partai. Malah, ia tidak pernah mengeluarkan pernyataan yang bernada protes.”
Noralim memberi tafsiran bahawa kesetiaan yang diberikan Ghafar adalah kesan pengaruh kejiwaannya terhadap keadaan dan suasana hidup yang dialaminya ketika tinggal di Kuala Pilah pada waktu usia yang relative muda. Disiplin kesetiaan adalah hasil bibit-bibit adapt yang ditanam ibunya Saodah membimbing dan mengajar anaknya tentang hidup dan kehidupan serta pergaulan dengan masyarakat sekeliling, iaitu hidup dalam suasana adapt dan budaya yang paa waktu itu sangat menebal di tempat Ghafar dilahirkan.
Bukan tidak mungkin ramai pula mempersoalkan keputusan Ghafar untuk terus tinggal di Melaka itu tidak ada kaitannya dengan sama ada beliau terpengaruh dengan Adat Perpatih atau Adat Temengung. Adat Perpatih hanya secara kebetulan menjadi ikutan keluarga Ghafar kerana mereka berada dalam lingkungan adat itu. Namun, seorang anak yang masih muda remaja (13 tahun) enggan mengikuti tiga orang adik beradiknya, Rahmah, Jamiah dan Zakaria kembali ke kampung bapanya di Melaka menunjukkan renggangnya pengaruh kebapaan berbanding pengaruh keibuan, terutama apabila bapanya sendiri turut dikebumikan di tempat yang sama di Kampung Gemuruh, kira-kira tiga kilometer (1.8 batu) dari rumahnya.
Cara berfikir Ghafar seaktu usia yang begitu muda mengakui tidak mahu meninggalkan kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehingga berusia 13 tahun. Barangkali pula tempat barunya itu, walaupun kampung bapanya, begitu asing baginya walaupun beliau mengikuti adik-beradiknya memperkuat keputusannya untuk tidak mahu berpindah. Hbungan mesra antara Ghafar dengan bapa saudaranya, Ahmad Awang jauh lebih intik berbanding hubungan mesra dengan seorang lagi bapa saudrana, Cikgu Hitam di Sungai Udang. Ahmad Awang yang telah dikadimkan mempunyai tanggungjawab dalam adat untuk menjaga Ghafar.
Akhirnya, pengaruh adik-beradik tidak begitu memberi kesan kepada Ghafar untuk mengikuti mereka pulang ke Melaka. Ternyata Ghafar lebih rela tinggal dengan bapa saudara di Kuala Pilah daripada pulang mengikut adik-beradiknya, walaupun Ghafar akan tinggal bersama seorang lagi bapa saudaranya di tempat barunya itu. Dari sudut kemesraan ini jelas bahawa Ghafar lebih mesra dengan Ahmad Awang berbanding Cikgu Hitam dan ketiga-tiga adik Ghafar sendiri. Maka secara tidak langsung faktor kemesraan ini memperkuat hujah bahawa pengaruh adat turut memberi perangsang kepada Ghafar untuknya tinggal di Kuala Pilah dan ini diperakukan oleh Norhalim.
Norhalim berpendapat sekiranya Ghafar terus tinggal di Kuala Pilah sehingga akhir hayatnya, beliau yakin bahawa semangat matrilineal yang menjiwainya sejak lahir akan terus diperkukuh, terutama jika kedua-dua orang tuanya boleh “bertahan hidup” sehingga Ghafar menyelesaikan masalah pendidikannya dan meneruskan kerjayanya. Satu contoh lain yang memperkuat hujah pengaruh adat ini dalam diri Ghafar ialah ketika berlakunya peristiwa Undang Luak yang empat di Negeri Sembilan enggan menerima pencalonan Tan Sri Mohd. Isa dato’ Abd. Samad sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas pilihanraya umum tahun ...
Dr. Mahathir telah meminta jasa baik Ghafar untuk menyelesaikan masalah itu dan untuk menunjukkan rasa kesetiaannya Ghafar berusaha menyelesaikan maslah itu setelah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dengan cara baik. Sesetengah penganlisis politik mengaitkan masalah itu dengan hubungan Ghafar dengan Mohd Isa yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan. Ada pula yang melihat latar belakang Ghafar sebagai anak Kuala Pilah dari Luak Ulu Muar bersukukan ibunya, iaitu Mungkal dan mengetahui sedikit sebanyak tentang Adat Perpatih dan fungsinya memperkuat komitmen Dr.Mahathir bahawa Ghafar boleh menyelesaikan masalah itu.
Hal ini menunjukkan peranan Ghafar dalam menyelesaikan masalah politik di negeri beradat itu dikaitkan dengan sistem adat dan penglibatan Ghafar amat diperlukan. Sebenarnya Dr. Mahathir boleh sahaja mengenepikan penolakan Undang luak yang empat berkenaan kerana kuasa politik adalah terletak di tangan Perdana Menteri sebagai ketua parti yang memerintah, tetapi secara moral dan etika, Dr.Mahathir lebih selesa jika masalah pencalonan Mohd Isa itu diselesaikan secara baik dan mengikut adat dan kebiasaan di negeri itu. Dan Ghafar mampu menyelesaikan masalah itu dengan baik.Tidak dapat dinafikan unsur tatasusila adat secara langsung atau tidak langsung memainkan peranan dalam kamelut jawatan Menteri Besar itu terutama ia melibatkan ketua adat setinggi Undang Luak yang peranannya amat penting dalam menentukan jawatan Yang Dupertuan Negeri Sembilan.
Dari sudut kerjaya politiknya pula, Ghafar, misalnya dapat digambarkan melalui tindakannya memenuhi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) untuk melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 setelah Datuk Musa Hitam (sekarang Tun) menarik diri keluar daripada Kabinet Dr. Mahathir. Ghafr menunjukkan kesetiaannya kepada Mahathir ketika Tengku Razaleigh dan Musa dalam peristiwa Team A dan team B dalam Plihanraya UMNO tahun 1987. Kesediaan dan kesetiaan Ghafar kepada Dr. Mahathir ini bertepatan dengan sikap pengikut setia adat. Seperti yang disentuh Norhalim dan diperkuat oleh Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, salah seorang Lembaga Tiang Balai daripada Suku Mungkal, Luak Ulu Muar, di mana ibu Ghafar, Saodah dikadimkan berdasarkan Memoir Ghafar (Penitianku).
Kesediaan dan ketaatan Ghafar adalah seperti kata perbilangan Adat Perpatih “disuruh pergi dipanggil datang.” Kebiasaannya amat jarang seseorang yang setokoh Ghafar, mahu kembali aktif dalam politik setelah hampir sebelas tahun meninggalkan Kabinet sejak bermulanya era Perdana Menteri Dato’ Hussein Onn pada tahun 1976. Walaupun ada faktor-faktor lain yang menyebabkan Ghafar mahu kembali aktif, namun pada prinsipnya naluri hati Ghafar masih mahu membuat keputusan yang mungkin bertentangan dengan hati kecilnya. Hal ini dapat ditafsirkan ketika Ghafar pernah menyatakan hasratnya kepada Tun Abd. Razak untuk mengundurkan diri daripada kerajaan apabila Tun Abd. Razak berhenti menjadi Perdana Menteri.
Seperti yang dicatatkan Abd. Latif Bakar dalam “Penderitaan dan Perjuangan” dlam buku Ghafar Baba, “Bila Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976, Ghafar melihat itulah kesempatan paling baik untuk beliau meninggalkan kabinet.” Ketika itu usia Ghafar baru berusia 51 tahun yang dianggap tahap usia yang sedang menuj puncak dalam kerja politiknya. Akhirnya niat persaraannya terus dalam poltik tidak kesampaian apabila Dr. Mahathir mintanya aktif semula dalam kerajaan untuk jawatan orang nombor dua dalam Kabinet. Walaupun ketika beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada kabinet Tun Hussein, banyak spekulasi yang diberikan tentang keputusan Ghafar itu. Beliau menyertai kerajaan semula sepuluh tahun kemudian.
Apa yang menyebabkan Ghafar mahu kembali aktif selepas bersara politik, terutama selepas satu dekad berada di luar kerajaan. Jawabannya mngkin terletak kepada keputusannya untuk tidak meninggalkan jawatan politiknya. Ghafar terus aktif dalam UMNO dan mempertahankan jawatan anggota parlmennya sehingga pilihanraya umum 1999. Ketika itu beliau adalah calon BN Batu Berendam, Melaka dan memegang rekod sebagai anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 Pilihanraya Umum sejak tahun 1959. Umumnya, penganalisis politik sependapat bahawa penerusan kerjaya Ghafar dalam politik melalui UMNO adalah ibarat manik penyambung kepada kerjaya politik dan tidak semestinya beliau terlibat dalam kerajaan. Apakah manik ini dianggap sebagai Ghafar sebagai masih mempunyai harapan dalam kerjaya politik dan kerajaan pada masa hadapan hanya Ghafar yang dapat menjawabnya.
Tetapi mengikut tafsiran adat, ia mungkin dapat dikaitkan kepada kesetiaan Ghafar dalam memegang prinsip adat Perpatih seperti dalam perbilangan “sekali raja berganti sekali adat berkisar yang membawa makna perubahan dalam sistem adat boleh dan akan berlaku tanpa merosakkan dasar-dasar utamanya. Ghafar menganggap sesuatu akan berubah dan beliau optisis bahawa sesuatu itu tidak kekal tinggal dalam keadaan statik (beku).
Apapun jua, sikap dan tingkah laku Ghafar sepanjang yang membabitkan kehidupan dan kerjaya politiknya secara langsung dan tidak langsung dipengaruhi kedua-dua adat ini, Hanya Ghafar yang boleh menentukan yang mana satu di antara kedua-dua yang banyak mempengaruhi. Dan Ghafar pun tidak akan menyedari yang mana satu adat yang menjadi kiblat utamanya. Atau beliau enggan mengakui bahawa pengaruh kedua-dua adat itu menguasai dirinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment