Tuanku Muhriz solat Jumaat di Masjid Negeri
Oleh ainol amriz ismail
SEREMBAN 2 Jan. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, di sini hari ini.
Baginda tiba di perkarangan masjid pada pukul 1 tengah hari disambut oleh imam, pegawai Masjid Negeri serta beberapa ketua jabatan dan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Turut berangkat mengiringi baginda ialah anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin.
Tuanku Muhriz dimashyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember lalu berikutan kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember di Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, baginda bersalaman dengan sebahagian jemaah yang menunggu di luar masjid dan antara mereka termasuklah pemimpin negeri, ketua jabatan, pelajar dan rakyat jelata.
Turut sama mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Kerajaan negeri yang baru, Datuk Mat Ali Hassan, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan pegawai Istana Besar Seri Menanti.
Buku "Negeri Yang Sembilan" karangan Allahyarham Norhalim Ibrahim yang memaparkan antara lain kewujudan pemerintahan Beraja di negeri adat perpatih Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz akan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selepas tempoh berkabung kerabat diraja selama 100 hari yang dijangka berakhir April depan. (Dipetik daripada Utusan Malaysia Online, 3 Januari 2008).
Allahyarham Norhalim Ibrahim (kanan) ketika bersama anggota Lembaga Adat di Chengkau Tengah, 2001).
Komen:
Semoga Allah panjangkan usia DYMM Tuanku Muhriz. Sementara itu alangkah baiknya jika Baginda Tuanku menambaikkan lagi sistem Adat Perpatih yang menjadi teras induk kewujudan adat istiadat istieewa dan satu-satunya yang ada di negara ini untuk keturunan masyarakat Melayu Negeri Sembilan. Dan alangkah baiknya juga Baginda Tuanku menyusur galur kembali semua anak-anak buah kerabat bergelar sejak keturunan Raja Melewar, Raja Hitam dan sekalian yang pernah memerintah negeri beradat itu.
Himpunkan semuanya dan mana tahu mungkin dalam kalangan kerabat itu masih ada anggota kerabat yang selama ini hilang terpisah, terpinggir atau telah menukar nama gelaran kepada nama biasa sahaja kerana merasakan mereka ditinggalkan dan tersisih. Mana tahu barangkali pula ada dalam kalangan anggota kerabat itu ingin mengharapkan keadilan dan kesaksamaan agar mereka merasa diri mereka "dihargai, dan mencari jalan pulang ke pangkuan kerabat."
Kadang-kadang apabila sesekali melintasi kompleks Raja Melewar di Istana Raja, Rembau, teringat kisah "pengusiran" Raja Melewar dari istana di Penajih ke Sri Menanti. Bayangkanlah betapa sangsaranya Raja Melewar dan pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara dan merentas bukit-bukau untuk menyelamatkan diri ke Seri Menanti.
No comments:
Post a Comment