Papers on Negeri Sembilan History: Notes on Rembau and Naning - A glimpse into the life - the past, the present and the future - of Negeri Sembilan dwellers, particularly Rembau and Naning, the cradle of Adat Perpateh culture.
Wednesday, April 30, 2008
ADAT PERPATIH DALAM GLOSARI
Penyusun buku Glosari Adat Negeri Sembilan, Prof. Norhalim Ibrahim (kanan) dalam satu majlis muafakat adat di Kg. Tengah, Chengkau,2001.
CATATAN A.F.YASSIN
Perbilangan Adat Perpatih Dibukukan
Sekali lagi Norhalim Ibrahim, mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang menunjukkan bahawa dia bukan calang penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Warga suku Batu Hampar Rembau ini menambah sebuah lagi buku tentang adat yang bakal menemui pembaca di pasaran Ogos depan. Dengan bantuan Kerajaan Negeri Sembilan, terutama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar, Norhalim mengusahakan Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan. Katanya, “Saya mengambil masa dua tahun lebih mengkaji setiap istilah yang ada kaitannya dengan adat Perpatih.” Norhalim sejak bersara dari UPM dilantik sebagai Karyawan Tamu kerajaan negeri. Tugas utamanya mengusahakan penyusunan gloasari perbilangan adat perpatih.
Menteri Besar yakin Norhalim mampu melakukannya berdasarkan sejumlah buku tentang adat perpatih yang telah ditulisnya. Sejak satu dekad lalu, Norhalim berjaya menerbitkan Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998). Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996).
Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat, walaupun katanya akan ada beberapa buah buku lagi bakal disiapkan. Semuanya tentang adat di tanah-tanah luak seperti Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Tampin dan Naning. Katanya, “Sedang dirancang. Insya Allah, kalau tak ada haral, semuanya akan diusahakabn. Doa sahajalah supaya badan saya sihat walafiat.” Ini kata-katanya ketika saya mengunjunginya di Seremban baru-baru ini.
Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.
Buku Glosari yang disusunnya bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat masih memerlukan satu bahan rujukan yang “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.” Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan. Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga.
Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan peranan pembesar adat yang sebelumnya berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai saksi dan penasihat.
Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”
Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an, ramai orang tua di negeri itu berpendapat bahawa perbuatan merakamkan segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk “mengkanunkan” adat Perpatih. Tidak pula dinyatakan sebab-sebabnya. .
“Saya harap tidak ada siapa nak cuba tentang usaha saya menyusun istilah adat ini,” kata Norhalim. “Walaupun saya rasa apa yang saya hasilkan ini belum lengkap dan masih mempunyai kelemahan. Saya terpaksa mulakan. Kalau tak ada oragn lain berbuat apakah salah saya membuatnya?” Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”
Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta adat. Hampir seluruh kehidupan beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan apa yang disebut “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu. Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi keperluan hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.
Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di Naning berbeza sedikit daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?
Cuma yang dijelaskan adat Naning diamalkan oleh 25 buah mukin di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus. Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam gloasri ini. Tanpa penjelasan lanjut istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.
Barangkali pula Norhalim menganggap keterangan ringkas itu bukan satu kelemahan. Ia mungkin satu muslihat sekedar memperkenalkan istilah adat dengan catatan bahawa yang berminat akan sabar menunggu kelahiran buku Sejarah Tampin yang sedang diusahakan Nurhalim selanjutnya. Jika demikian halnya, maka fungsi sampingan glosari ini ialah “menjadi alat menggeletek pembaca” untuk menunggu dengan sabar penerangan lanjut tentang ‘Adat Tampin” dan sebagainya. Masih ada istilah-istilah seperti “Adat Jelebu”, “Adat Sungai Ujung”, “Adat Rembau” Adat Johor” dan Adat Temenggung.”
Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.
Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol. Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.
Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca. Dalam lampiran ini disenaraikan satu-persatu nama gelaran, jawatan dan lokasi luak. Glosari diterbitkan hanya dalam edisi kulit tebal dengan harga senaskhah tidak dicatatkan. (Utusan Zaman, 28 Julai 2002)
Komen:
Amat baik bagi mereka yang meminati sistem adat yang berasal dari Minangkabau ini. Mesti dibaca dan perlu! Hubungi Perpustakaan Negeri Sembilan di Seremban atau A.F.Yassin (tel: 019-3211599) untuk mendapatkan senaskhah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
buuuu!!
ReplyDelete