Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz dalam satu majlis santapan Diraja di Negeri Sembilan.
RISIKO MEMBUNUH ADAT DEMI MEMPERTAHAN ANAK
Oleh A.F.Yassin
Seorang pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Seremban menyifatkan isyarat kurang sopan seorang pembesar adat (Undang Luak) Mei 2005 lalu dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri sebagai kurang sopan dan tak beradat. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah melanggari adat yang menaikkan darjat dan martabatnya. Kadang-kadang pembesar adat ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada pembesar adat yang terang-terang mahu mematikan adat itu sendiri.”
Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakan kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.
Pandangan penyelidik Adat Perpatih itu menunjukkan keprihatinannya tentang sikap dan tingkah laku orang Melayu, khususnya terhadap adat kebiasaan yang sejak dahulu kala mengawal kehidupan sehari-harian mereka. Barangkali pandangannya bahawa “adat sudah mati” sedikit keterlaluan, namun jika pembesar adat sendiri yang tidak menghormati adat, tidak ada jaminan orang ramai atau anak buah pembesar adat ini tidak akan mengikuti perbuatannya. Ibarat kata bidalan “bapak borek anak rintik.”
Pandangan penyelidik adat ini mengingatkan kita kepada kata-kata Datuk Onn Jaafar ketika memimpin orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dahulu. Datuk Onn dalam buku Biografi Dato’ Onn Jaafar (Penerbit Fajar Bakti, 1984), menyeru orang Melayu menerima konsep “biar mati adat jangan mati anak” sebagai satu anjakan paradigma. Bagi Dato’ Onn adat yang mengatur kehidupan harian orang Melayu yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai perlu disisihkan sahaja. Pemerhati politik menilai seruan Datuk Onn ini mulai memberi kesan positif kepada perlakuan dan pemikiran orang Melayu umumnya. Yang paling ketara, orang Melayu telah mula berjiwa korporat, bukan lagi petani, orang Melayu sudah mula berfikir global tidak lagi lokal.
Seruan Datuk Onn dan pandangan penyelidik Adat Perpatih tentang “adat telah mati dan mahu dimatikan” bagaikan membawa kesan negatif dan positif. Jelas dua kes berasingan ini memperlihatkan pemahaman tentang adat yang berbeza-beza. Pendek kata istilah “adat” yang dimkasudkan oleh Datuk Onn dan penyelidik Adat Perpatih mempunyai definisi berlainan. Ertinya juga adat dan pengertiannya perlu dilihat secara terpisah-pisah, yang satu berbeza dengan yang lain.
Ada yang akan bertanya, “Sebenarnya adat itu apa?” Jawaban kepada pertanyaan yang sederhana ini boleh juga sederhana, iaitu peraturan hidup sehari-hari. Kalau hidup tidak berperaturan, namanya hidup “tak beradat”. Maka aturan itulah yang dinamakan adat. Bak kata orang Minang: Duduk tagak beradat. Berbicara beradat. Berjalan beradat. Makan minum beradat. Bertamu beradat. Bahkan menguap dan batuk pun beradat.
Tetapi dalam pengertian biasa ini adat mungkin apa yang disebut sopan santun dan tatasusila dalam pergaulan sehari-hari. Masih banyak lagi pengertian lain. Masih banyak aturan lain yang sangat mendasar dan mengikat, termasuk hal yang dikaitkan dengan landasan berfikir, nilai-nilai dan falsafah hidup dan hokum yang perlu dipatuhi. Pemikir adat merangkumi seluruh aturan hidup bermasyarakat itu ke dalam empat kategori, iaitu adat yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.
Manakala ramai ahli sejarah menyamakan adat dengan undang-undang, berdasarkan kepada pengertian “aturan hidup harian”. Jika pengertian ini dipakai maka seruan Datuk Onn akan memakan diri sendiri. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu jika “adat dimatikan untuk menyelamatkan anak”? Kacau-bilau dan kehidupan tak menentu dan hukum rimba akan mengambil alih peranan adat. “Anak-anak” yang hidup dan tidak lagi “beradat” akan berkelakuan lebih rendah berbanding haiwan.
Penerhati politik menyifatkan seruan Datuk Onn itu ditujukan, khususnya kepada tiga kategori adat, iaitu adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat. Kesemua kategori adat ini membabitkan tingkah laku, kebiasaan, landasan berfikir dan falsafah orang Melayu. Sesetengah kalangan menilai seruan Datuk Onn itu sebagai meninggalkan kebiasaan dan pemikiran orang Melayu yang tidak lagi relevan dengan kehendak zaman dan mencari kebiasaan dan pemikiran baru. Seperti kata seorang ahli veteran UMNO yang diminta pendapatnya, “Datuk Onn mahu orang Melayu lebih pragmatic, dinamik dan berdaya maju, kalau kita masih mahu kekalkan slogan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia.”
Katanya lagi, “Jadi jangan kita salah anggap seruan Datuk Onn itu. Dia mahu kita orang Melayu buang semua kebiasaan dan aturan hidup yang merugikan dan fikirkan survival Melayu seribu tahun lagi. Bagi saya itu satu seruan ikhlas dan kasihnya Datuk Onn kepada orang Melayu. Adat yang merugikan Melayu itu dibuang sajalah. Saya setuju adat adat kebiasaan yang boleh kita teruskan seperti yang sering kita laungkan, iaitu tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Malah ada adat yang mengekalkan jati diri kita orang Melayu dan survival nama Melayu bergantung kepada selama lama mana ia dapat bertahan.”
Adat yang dimaksudkan veteran UMNO itu ialah adat yang sebenar adat. Ia telah menjadi institusi dan menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau masyarakat. Termasuk dalam adat ini boleh dilihat dalam sesuatu kelompok masyarakat Melayu. Di Negeri Sembilan, misalnya, silsilah keturunan mengikut garis ibu atau apa yang desebut sebagai matrilineal merupakan adat yang menjadi identity Melayu negeri itu. Adat itu dikatakan berasal dari Minangkabau. Ada pula mendakwa ia adalah warisan adat asetempat (orang asli) yang diadunkan dengan adat pendatang dari Sumatera Barat.
Ada pula adat yang dikaitkan dengan larangan berkahwin sesuku. Larangan ini ada kaitannya dengan system matrilineal bahawa masyarakat sesuku itu sebenarnya bersaudara di garis ibu. Lazimnya anak-anak dari dua wanita adik-beradik kandung tidak dibenarkan berkahwin sesama sendiri. Ini mungkin menjadi alasan mengapa diadakan larangan berkahwin sesuku itu.
Di peringkat nasional, ada yang melihat sistem beraja yang diamalkan Malaysia hari ini adalah lanjutan daripada adat zaman dahulu, walaupun dalam keadaan yang telah diubah suai mengikut kehendak zaman. Jika satu waktu dahulu raja adalah kuasa dan titahnya adalah undang-undang mengikut adat, hari ini raja adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Kekuasaan yang pernah dimilikinya berpindah ke pihak lain melalui dasar dan amalan demokrasi.
Jika adat yang sebenar adat ini “dimatikan” maka identiti orang Melayu; khususnya dan Malaysia amnya tercalar, malah boleh hilang. Seperti yang dikatakan bijak pandai adat, “Dianjak layu dicabut mati.” Ada yang mempersoalkan Melayu tidak akan hilang jika adat mati. Memang benar secara raga (fizikal) dan darah daging Melayu tidak akan hilang, tetapi identiti, semangat dan jiwa yang bernama Melayu tetap akan mati. Orang Melayu boleh mamtikan adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat-istiadat dan identity dan jiwa Melayu tetap utuh, tetapi jika Melayu mematikan adat yang sebenar adat, maka konsep “biar mati adat jangan mati anak” dalam landasaran berfikir orang Melayu akan menyebabkan apa apa yang kita kenal sebagai identiti Melayu hari ini akan hilang digantikan dengan suatu “identity Melayu yang sama sekali baru dan serba serbi asing.”
Kemungkinan besar inilah yang dibayangkan pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Sembilan itu apabila dia berkata, “Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang.” Orang Melayu di Negeri Sembilan tidak lagi menjadikan sistem Adat Perpatih sebagai agen pengatur kehidupan sehari-hari masyarakatnya. Malah adat itu sendiri telah dimatikan. Tidak ada lagi institusi undang, lembaga dan buapak. Lebih parah lagi pembesar adat, terutama yang bertingkah menyalahi adat dan yang selama ini mendapat rezeki melalui kedudukannya di sisi adat akan lonco dan uceh. Dia kehilangan segala-galanya. (tersiar dalam Mingguan Utusan Zaman dalam ruangan 'Sembang-Sembang" 3 Jun 2005
A.F.Yassin
3 Jun 2005
adat ini digunakan sebelum merdeka, sebelum ini dijajah, semua peraturan hudup mengukut adat. masa itu belum ada undang-undang.. undang2 diwujudkan selepas negara kita dijajah...samapailah sekarang ini peraturan2 negara mengikut untang,, bukan mengikut adat.
ReplyDeleteadat yg ada sekarag telah digubal dan dijadikan undang2.
adat dan undang-undang adalah sama.... adat dipakai sebelum negara kita merdeka. undang-undang dipakai satelah negara kita merdeka.
ReplyDeleteadat.... Sesoranag yg melakuna zina.. klu mengikut adat mereka yg berzina hendak lah direjam samapai mati..
ReplyDeletekalau mengikut unadan2,, meraka dibicarakan dan didenda rm3000.
adat bersendikan kitab(alquran).
ReplyDeletepelihara lah dirimu dan keluargamu dari api neraka.