Allahyarham TS Abd. Samad Idris (kanan), mantan menteri dalam kabinet Persekutuan, juga pengarang buku tentang Adat perpatih yang gigih. Beberapa tokoh pengarang yang saling beliau hubungi ketika hayatnya ialah Allahyarham Dharmawijaya, Dharmala NS dan Norhalim Ibrahim.
Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk
Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar
Ruyung pergi ke tanah seberang
(Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang
telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu meliputi Negeri Sembilan,
Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini
diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling terkenal ialah apa yang
disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini
penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995), Norhalim Haji. Ibrahim telah
memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar.
Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan
masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata
seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu
versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa
tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan
Sungai Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.”
Anggapan versi mana yang lebih tepat dan
betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka adat
itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang mendakwa mereka dari
keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih tinggi
berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut. Sesetengah
kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah,
maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan
pembukaannya.”
Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih
tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi
yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi
terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan
“calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung
Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah
pencabar terdekatnya.
Menurut terombo versi Kuala Pilah yang
dicatat Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri
Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Rombongan
meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar
ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan
terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan
terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa
ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan
akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah.
Ketua rombongan Datuk Perpatih mula
menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat
Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami
orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian
bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli
di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong
dan Jelebu. Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah,
pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di
tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk-penduduk asli
tempatan.
Pada tahun 1372, dan setelah berada selama
20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan besar di
Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk Perpatih
melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua kawasan yang
telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah pelantikan itu Datuk
Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk-penduduk di kaki gunung itu
mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah mengambil sempena nama Datuk Perpatih
Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya
Gunung Rembau.
Terombo versi Naning pula membawa sedikit
kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang
meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak rombongan
belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang Selat
Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan
perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin
dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun
di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan
anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat
itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar
Datuk Naning.
Datuk Naning pertama mewujudkan Suku
Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan
Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang
Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke
Lubok Kepong.
Terombo versi Naning mendakwa Datuk
Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat,
Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan
Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang
kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu
dari Datuk Perpatih di Naning.
Maka jelas melalui kedua-dua versi ini
terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan
Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan lebih
diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi
kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera. Dalam hal ini
kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang
pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu
atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman.
Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang
disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya
tidak melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan
kilometer di pedalaman, hatta Sungai
Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan
jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa
rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah
pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang
Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah
terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka.
Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian.
Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi
Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim. Menurut Norhalim, yang
memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang
hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja
Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke
Rembau pada tahun 1490an Raja untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang
menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut
Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendiling dan bersukukan Caniago.
Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar
sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam.
Mereka sampai di muara sungai yang hari ini
disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang
Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan
bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin
dengan datuk batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan
Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur system masyarakat
orang Minangkabau sehampir mungkin dengan system adat di tanah asalnya. Sistem
ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana
kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal.
Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk
Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada,
Chengkau. Datuk Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap
di Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk
Bungkal, dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat
Datuk Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan
anak Datuk Batin Skudai anak angkatnya.
Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi
pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira
yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang,
Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang,
juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk
membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk
Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk
Leteh mendapat wilayah “kiri mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang
wilayah “kanan mudik.” Datuk Leteh
menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok
perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan
dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau
hari ini.
Walaupun terombo versi Rembau ini tidak
menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang
diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem
adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan
Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk
Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang
menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang
yang sama.
Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan.
Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik
undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di
Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula
bersempadankan Naning. Sedangkan Kuala
Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki
Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk. Andainya Datuk
Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau
naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu
untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki
gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke
puncak.
Kedua, titah perintah raja Minangkabau
kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk
Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya
untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di
seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui
pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara
Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai
Linggi (versi Rembau). Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan
Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak
menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah
tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala
Linggi. Setidak-tidaknya adan proses penyemendaan antara orang Minang dengan
penduduk tempatan.
Ketiga dan dianggap lebih penting ialah
kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala
Pilah memperlihatkan satu perjalan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum
membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembari
dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan
Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah.
Secara geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua
negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa
berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan
Rembau adalah lebih rasional.
Demikianlah, tiga versi terombo yang
kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut
adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim
barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh
peneroka dengan daerah tempat tinggalnya. (A.F.Yassin, Utusan Melayu Mingguan suatu ketika dahulu. )
No comments:
Post a Comment