Tuesday, August 16, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa Oleh Nagari Nan Tuo...

Kenangan...14 Ogos 2011
Posted: 14 Aug 2011 05:23 PM PDT
Hari ini merupakan hari ke 15 umat Islam menunaikan puasa di bulan Ramadhan dan ini merupakan posting saya ke 2 di dalam bulan Ramadhan. Saya agak sibuk menyiapkan kajian mengenai Adat dan Budaya Bugis Negeri Sembilan. Minggu lepas saya dan rakan-rakan telah melawat Muzium Bugis di Pontian bagi mendapatkan maklumat. Bulan puasa ini merupakan bulan bagi kami menyelesaikan kajian kami kerana hanya tinggal 3 bulan untuk menyiapkannya.

Namun di dalam waktu yang sama, saya tidak ketinggalan menghadiri sebarang bengkel yang diadakan walaupun di dalam bulan Ramadhan. Berdiskusi dan berbengkel di dalam bulan Ramadhan memang menyeronokkan kerana kita tidak perlu memikirkan pasal makan mahupun minum. Sabtu yang lalu (13hb Ogos 2011) saya telah menghadiri tazkirah adat di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah. Kehadiran tidak begitu ramai tetapi banyak perkara baru dan isu-isu yang timbul mengenai adat. Tazkirah bertajuk "Kepimpinan Pemimpin Adat" disampaikan oleh Prof Dato' Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, Ketua Jabatan Kesusasteraan UPSI di mana beberapa isu yang diperbincangkan seperti tanah, kerjan dan berkodin.

Isu tanah adat merupakan salah satu isu yang paling sensasi dan terhangat di Kuala Pilah ketika ini. Untuk pengetahuan semua, tanah-tanah adat telah diambil bagi projek melebarkan jalan dari Ulu Bendul - Tanjong Ipoh. Saya difahamkan bahawa terdapat beberapa pampasan yang telah diambilalih pengurusannya oleh Amanah Raya. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, perkara ini berlaku apabila penama-penama tanah tidak membuat pindah milik nama terhadap tanah tersebut. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila penama telah meninggal dunia. Di samping itu pula, Dato'-Dato' Lembaga tidak dipanggil di dalam mesyuarat di antara penama (pemilik tanah), pejabat daerah dan kontraktor menyebabkan perkara ini bertambah kelam kabut. Sepatutnya, pembesar-pembesar adat dipanggil di dalam sebarang urusan tanah adat kerana khidmat nasihat dan tandatangan mereka diperlukan. Di samping itu, mereka boleh memberi nasihat kepada anak-anak buah mengenai duit pampasan yang diperolehi. Bagaimana pembahagiannya dan apa jua sebarang masalah yang timbul.

Harus diingat, apabila sekiranya tanah adat telah bertukar bentuk kepada duit (dijual atau pengambilan semula), duit tersebut harus dibahagikan mengikut faraid. Perkara ini tidak ramai yang mengetahuinya dan kebiasaannya, penama tanah tersebut akan ambil kesemua duit tersebut. Malah terdapat di kalangan Dato'-Dato' Lembaga tidak mengetahuinya.

Isu yang paling hangat di dalam perbincangan ialah isu anak angkat mendapat 2/3 bahagian tanah adat manakala individu yang berhak tidak mendapat sebarang bahagian. Di dalam Adat Perpatih, anak angkat hanya berhak mendapat bahagiannya sebanyak 1/3 jika beliau telah diterima sebagai kodin iaitu menjalankan adat berkodin aur serumpun. Di dalam isu ini, waris mengatakan adat berkodin tidak dijalankan secara sempurna dan hairan bagaimana tandatangan mereka ada di dalam surat berkodin. Isu ini telah dibawa kepada Dato' Lembaga suku tersebut dan Tiang Balai Penghulu namun tiada tindakan yang diambil. Saya merasa hairan bagaimana perkara ini berlaku kerana Dato' Lembaga seharusnya amanah dan jujur di dalam menjalankan tugasnya sebagai pembesar adat. Saya berpendapat perkara ini merupakan salah satu dari sumbang dua belas dan terpulang kepada anak-anak buah mengadakan kerapatan bagi membincangkannya.

Ada juga yang mempertikaikan kenapa anak lelaki tidak mendapat bahagian terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai anak perempuan. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya keluarga tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki boleh diberi hak sebagai pemilik sepanjang hayat di mana ia boleh duduk di tanah tersebut sepanjang hayatnya. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut perlu dipulangkan kepada waris-waris yang ada. Salah seorang peserta mempertikaikan perkara ini dengan menyatakan ia tidak adil kerana anak lelaki terpaksa menjaga ayahnya dan meminta semua berfikir di luar kotak. Bagi saya sungguh malang kerana yang berkata begitu berstatus Buapak dan persoalan yang timbul bukan masalah berfikir di luar kotak. Saya cuba menerangkan namun agak sukar kerana beliau beranggapan perlu berfikir di luar kotak.

Persoalan saya bagi masalah ini :
1. Tanah adat ini siapa yang punya. Ketika peneroka asal atau ketua suku yang pertama membuka tanah atau kawasan, beliau mengamanahkan tanah tersebut kepada anak-anak perempuan atau waris perempuan. Tanah tersebut hanya diwariskan kepada perempuan namun anak lelaki masih mempunyai hak di situ iaitu hak memakai di mana sebarang hasil boleh diambil dan dimakan oleh anak lelaki. Apa jua keputusan yang ingin diambil terhadap tersebut perlu mendapat persetujuan semua. Sekiranya apa-apa berlaku terhadap anak lelaki, anak perempuan perlu mengambil semula menjaga saudara lelakinya. Sekiranya tiada anak perempuan, anak lelaki boleh diberikan hak sepanjang hayat. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut akan diserahkan kepada waris perempuan sama ada sepupu perempuan ataupun anak buah perempuan. Dahulu tanah adat dimiliki bersama oleh ahli-ahli suku di mana ia bukan hanya dimiliki oleh seorang individu. Setelah kemasukan Inggeris, sistem cukai tanah dan sistem pemilikan diperkenalkan maka setiap tanah perlu dinamakan kepada pemilik bagi memudahkan Inggeris mengutip cukai. Hakikatnya, walaupun tanah tersebut dinamakan kepada mana-mana individu, ia masih milik bersama suku.
2. Beliau juga mempersoalkan sekiranya tanah tersebut diberikan kepada waris perempuan yakni sepupu beliau, adakah mereka akan menjaga bapanya. Bagi beliau adalah wajar sekiranya anak lelaki menjaga bapa maka tanah tersebut harus diberikan kepada anak lelaki. SUNGGUH MEMALUKAN. Perasaan ini timbul di dalam hati saya. Dimanakah tanggungjawab anak menjaga ayahnya? Adakah beliau mengharap balasan harta di atas tanggungjawab tersebut?
3. Apabila lelaki berkahwin dengan perempuan Adat Perpatih, bermaksud bersemenda dengan keluarga perempuan. Memang benar, orang semenda mempunyai hak di tempat semenda namun ada batasan-batasannya. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya isteri meningal dunia maka suami akan dijemput oleh waris perempuannya kerana ketika berkahwin beliau telah diserahkan kepada keluarga perempuan. Jadi adakah wajar tanah tersebut diberikan kepada lelaki. Sekiranya boleh, bagaimana dengan pembahagian tanah tersebut sekiranya beliau meninggal dunia. Siapakah Dato' Lembaga yang akan bertanggungjawab dan menandatangani surat pindah milik.
Ini sekadar persoalan saya timbulkan bagi kita fikirkan bersama. Mari kita hayati pantun yang sering diucapkan oleh orang-orang tua mengenai anak lelaki.....
Ko ghantau madang kek ulu
Bobuah bobungo bolun
Moghantau bujang dulu
Kek ghumah boguno bolun


Hayati dan fahami juga maksud perbilangan ini :-
Apo guno eh kobau botali
Usah dipaut kek pomatang
Paut an jo kek tongah padang
Apo guno kito moncaghi
Buek pomogang sawah samo ladang
Nan mombolo sanak sodagho



Oh ya....sebagai seorang pembesar adat janganlah menyalahkan orang lain kerana tidak mengetahui haknya. Pembesar adat harus mengetahui bahawa secara undang-undangnya mereka terletak di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1957 melalui Dewan Undang dan Keadilan. Ada yang meminta supaya ada pekeliling. Seharusnya sebagai pembesar adat, mereka harus rajin mencari dan mengetahui apa jua hak mereka bukan menunggu orang lain memberitahu mereka. Sekarang ini ramai pembesar adat hanya menunggu orang lain memberitahu mereka dan bukan mencari. Apabila diberitahu dengan sombong mengatakan ia salah. Namun, bukan semua pembesar adat tidak mengetahui hak mereka. Bagi yang bersungguh-sungguh dan sanggup mencari dan berkongsi, saya amat hargai dan hormati.

------------------------------------

Setelah selesai sesi tazkirah, saya menuju ke Seri Menanti dengan tujuan ziarah makam Tok Pandak di Kampung Juar. Saya masuk melalui jalan Kg Tanjung dan seterusnya ke Kg Juar. Saya tidak menjumpai makam tersebut di mana saya tersesat sehingga ke Ulu Pilah. Namun setelah beberapa lama mencari, barulah saya temui makam tersebut. Apabila saya ingin memasuki kawasan makam, saya dapati ia berada di dalam kawasan rumah orang. Saya mengambil keputusan untuk membaca Al-Fatihah dari jauh saja. Tiba-tiba kelihatan tuan rumah datang dengan membawa kunci pagar. Rupa-rupanya tuan rumah seorang perempuan dan beliau menunjukkan pintu kecil untuk ke makam. Saya merasa gembira kerana dapat memasuki kawasan makam Tok Pandak. Sempat juga saya menziarahi surau Tok Pandak dan masih digunakan sehingga kini.

Ketika saya ingin balik, tuan rumah memanggil saya masuk. Banyak cerita yang menarik saya perolehi mengenai Tok Pandak dan juga mengenai surau tersebut. Kami bercerita mengenai keluarga beliau, bagaimana kehidupannya dan suami sebagai askar dan kehidupan ketika zaman darurat sehinggalah anak cucunya. Rupa-rupanya menantu tuan rumah adalah Pegawai Latih saya (Kapten Nazri) ketika saya menjadi kadet PALAPES di UPM. Saya diberitahu bahawa Kapten Nazri (dinaikkan pangkat Mejar) telah meninggal dunia kerana kanser mulut dalam tahun 2006 yang lalu. Ia telah mengimbau kembali kenangan saya ketika di zaman kadet PALAPES dan barulah saya teringat bahawa saya dan rakan-rakan pernah ke rumah tersebut ketika majlis perkahwinan Kapt. Nazri.

Saya lihat jam tangan saya menunjukkan jam 5 petang dan saya meminta izin untuk balik. Saya sampai di rumah lebih dalam jam 6.30 petang. Walaupun penat saya berasa puas hati kerana banyak perkara saya perolehi.

-----------------------------------------

P/S :

Buat Allahyarham Kapt. Nazri, semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Buat rakan semua Intake ke 11 PALAPES UPM, kalau ada kesempatan dan ruang waktu marilah kita beramai-ramai menziarahi keluarga Allahyarham Kapt. Nazri pada hari raya Aidil Fitri yang akan datang. Keluarga Allahyarham menetap di Taman Bukit Kepayang, Seremban. Anak sulong Allahyarham (lelaki) sekarang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.

Komen: Saya salin sepenuhnya "Kenangan" bloger Nagari Nan Tuo untuk rujukan peminat adat perptih Negeri Sembilan khasny dan pembaca umum di seluruh tanah air amnya.





Thursday, July 14, 2011

Bila Lagi Galeri Undang Luhak Rembau Di Istana Raja Mahu Dibuka Semula?

Di pintu masuk ke Muzium Istana Melewar di Istana Raja: Masih belum dibuka semula untuk dikunjungi pelancong.

Tanya blog Nagari Nan Tuo "Bila Mahu Siap?" pada 13 Julai 2011? terhadap
Projek naik taraf galeri Undang Luak Rembau terbengkalai enam bulan

Rembau : Projek menaik taraf membabitkan galeri Undang Luak Rembau di Muzium Replika Istana Raja di sini, yang terbengkalai sejak enam bulan yang lalu bukan saja menimbulkan kemusykilan di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung malah boleh menjejaskan imej muzium berkenaan.

Muzium itu menempatkan pelbagai khazanah sejarah negeri ini termasuk asal usul Raja Melewar yang menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama.

Sumber Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, projek menaik taraf galeri itu yang menelan belanja kira-kira RM70,000 bermula pada Julai tahun lalu dan sepatutnya siap Disember tahun sama.

"Bagaimanapun, projek itu sehingga kini terbengkalai sekaligus menyebabkan galeri berkenaan tidak dapat dikunjungi kerana terpaksa ditutup. Malah, sejak awal tahun ini, tiada kerja bagi menyiapkan projek itu dijalankan pihak kontraktor dilantik manakala sistem pendawaian elektrik dalam galeri berkenaan didapati berterabur. Pengunjung yang datang hanya dibenarkan melawat bahagian lain daripada keseluruhan muzium berkenaan dan tidak berpeluang melawat galeri Undang Luak Rembau kerana ditutup selepas kerja menaik taraf bahagian itu terbengkalai," katanya.

Kata sumber itu, kerja menaik taraf galeri berkenaan sudah mencapai 60 peratus siap sebelum ia terhenti pada Disember tahun lalu.

Seorang kakitangan LMNS yang enggan disiarkan namanya berkata, kerja menaik taraf galeri itu sudah terbengkalai lebih enam bulan lalu.

Menurutnya, punca sebenar keadaan itu tidak diketahui namun ramai pengunjung termasuk dari luar negeri ini yang datang melahirkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang melawat galeri berkenaan.

"Mereka berpendapat lawatan tidak lengkap kerana tidak dapat melawat keseluruhan galeri berkenaan termasuk galeri terbabit yang memaparkan pelbagai sejarah khususnya mengenai latar belakang Undang Luak Rembau iaitu sebahagian sejarah mengenai sistem Adat Perpatih, " katanya.

Sementara itu, Pengarah LMNS, Dr Shamsudin Ahmad ketika dihubungi berkata, gangguan najis kelawar menyebabkan sistem pendawaian elektrik di galeri itu terjejas walaupun secara keseluruhannya projek menaik taraf galeri berkenaan sudah siap.

"Sistem pendawaian elektrik perlu dibuat semula dan dikemas kini hingga selesai sebelum galeri itu boleh dibuka kepada orang ramai. Saya jangkakan galeri berkenaan dibuka pada Isnin atau Selasa minggu depan kerana secara keseluruhannya kerja menaik taraf galeri itu sudah siap," katanya.




Sumber : Harian Metro - 13hb Julai 2011 (Rabu)
_____________________________________________

Ulasan :-

Malang sungguh nasib LMNS di mana pada saat dan ketika Pesta Persukuan Adat Perpatih akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini, LMNS digemparkan satu lagi berita sensasi mengenai Galeri Undang Rembau di Muzium Replika Istana Raja Melewar di Astana Raja, Rembau. Perkara yang sama berlaku ketika Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2011 berlangsung di Seremban, kita digemparkan dengan berita Teratak Za'aba. Adakah ia bertujuan untuk merosakkan nama LMNS? Jawapannya.........

Sebenarnya isu Galeri Undang Rembau telah lama berlaku. Sebelum proses menaik taraf dilakukan, galeri sentiasa ditutup atas alasan tahi kelawar. Memang saya bersetuju kerana struktur pembinaan muzium tersebut mengundang kelewar beristirehat di kawasan bumbung muzium. Banyak perkara yang boleh dipersoalkan mengenai muzium ini.

Saya malas untuk komen perkara ini. Bagi saya LMNS, perlu proaktif mengembalikan nama baik LMNS di mata masyarakat. Pengerusi LMNS perlu melakukan penstrukturan semula tanpa mengira apa jua keadaan bagi menyelamatkan LMNS.

Cuma ada beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh LMNS terutamanya pihak pengurusan :-
1. Projek ini telah bermula sejak dari Julai 2010 dan dijangkakan selesai dalam bulan Disember 2010 dan ia ditutup sejak proses menaikkan taraf. Namun begitu, sehingga kini ia masih ditutup. Sekarang bulan Julai 2011, ini bermakna ia telah ditutup hampir setahun.
2. Dimanakah peranan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini memantau perjalanan menaik taraf berlangsung?
3. Menurut Pengarah LMNS, proses menaikkan taraf telah selesai tetapi agak pelik apabila pendawaian elektrik ada masalah. Ini bermakna proses menaik taraf tersebut belum selesai sepenuhnya.
4. Adakah kontraktor telah dibayar sepenuhnya?. Jika telah dibayar, siapakah yang menandatangani Letter of Acceptance dan mengesahkan ia selesai.
5. Jika telah dibayar, bagaimana pembayaran dilakukan sedangkan projek belum selesai sepenuhnya?
6. Akhir sekali, boleh ke galeri tersebut dibuka semula minggu depan. Saya berharap Pengarah tidak menjawab semata-mata kerana perlu menjawab. Secara logiknya, semua kakitangan LMNS sibuk untuk menguruskan persiapan Pesta Persukuan Adat Perpatih di Muzium Diraja Istana Lama, Seri Menanti. Oleh yang demikian, siapakah yang akan memantau kerja-kerja yang akan dilakukan oleh kontraktor.



-------------------------------------

Saturday, June 25, 2011

Istana Lama Di Seri Menanti Menggamit Pengunjung


Istana Lama Seri Menanti

Istana Lama Seri Menanti merupakan salah sebuah istana lama Malaysia yang indah dari segi bentuk senibina tradisional. Dibina dalam tahun 1931 oleh dua orang tukang kayu yang mahir dan terkenal iaitu Kahar dan Taib. Senibinanya empat tingkat, mempunyai 99 batang tiang kayu cengal dan pembinaannya tidak menggunakan paku. Struktur atas bumbungnya menggunakan kayu cengal dan bentuknya menjadi inspirasi struktur bumbung bangunan Muzium Negara. Tingkat pertama merupakan Balai Rong Seri, iaitu tempat mengadap. Bilik beradu keluarga diraja terletak di tingkat dua manakala tingkat tiga dikhaskan untuk Yang DiPertuan Besar. Tingkat menara iaitu 'Tingkat Gunung' menempatkan khazanah dan tempat berehat diraja (Dengan ehsan fb Persatuan Sejarah NS, 22 Jun 2011).

Tuesday, May 31, 2011

DI LUAR ADAT PERPATIH MAJLIS MENYALANG ITU BERTANDANG NAMANYA


Dato' Sedia Raja Undang Rembau yang ke-18, Haji Abdullah Dahan. Mungkinkah istiadat menyalang perkhwinannya diadkan di rumah telapak, milik ibunya di Kg. Tanjung, Kota?

Kalau di luar lingkungan Adat Perpatih, istiadat menyalang ini dipanggil bertandang, terutama yang menyangkut majlis perkahwinan. Lazimnya majlis menyalang ini dilakukan oleh pihak pengantin lelaki dan diadakan selepas majlis perkahwinan di sebelah pihak pengantin perempuan. Kalau majlis itu melibatkan institusi Undang, itu lain ceritanya. Untuk mengetahui lebih lanjut majlis menyalang yang melibatkan Undang ini ikutilah cerita menarik yang dilaporkan BERNAMA seperti yang disiarkan Utusan Malaysia, 20 Mei 2011 yang lalu. Saya kutip berita daripada blog Nagari Nan Tuo seperti berikut:


Keunikan istiadat menyalang UM 20 mei 2011

PEPATAH Tak lapok dek hujan, tak lekang dek paneh seringkali diungkapkan apabila membicarakan mengenai Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan. Istiadat menyalang Datuk Lembaga dan Buapak delapan kampung Suku Biduanda Luak Rembau yang diadakan di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau di Rembau baru-baru ini menyerlahkan keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk Negeri Sembilan.
Istiadat Menyalang ini adalah adat istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru mengadap dengan penuh beradat dan istiadat.
Istiadat kali kelima ini yang diadakan di kediaman rasmi Undang Luak Rembau sejak tahun 1999 menyaksikan empat orang penyandang pusaka yang baru dilantik merafak sembah kepada penyandang pusaka yang lebih tinggi yang juga sebagai pelengkap atau istiadat terakhir pelantikan mereka.
Mereka ialah penyandang Pusaka Lembaga iaitu Datuk Putih Khairol Nizam Yahya (Suku Batu Hampar Petani) dan Datuk Panglima Dagang Ruslan Nunet (Suku Seri Melenggang Minangkabau) serta Pusaka Buapak iaitu Datuk Juan Mohd Ros Mohd Yunus (Buapak Suku Biduanda Kampung Tebat) dan Datuk Samaraja Dzulkefli Ismail (Buapak Suku Biduanda Kampung Kota).
Majlis itu turut menyaksikan rombongan penyandang pusaka sukunya bersama dan anak buah mengadap dengan beradat dan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sireh, serta iringan seperti nasi besar (panco) yang berisi telur, wajik, dodol dan boko atau dulang yang berisi kuih muih.
Mengikut adat kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail.
Perlantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau adalah amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu. Ia adalah tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih atau dipilih.
Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan kematian dan "memuntahkan" pusaka dan sebagainya. Di Luak Rembau, penyandang pusaka adat akan diganti selepas 100 hari kekosongan berlaku.
Kebulatan mengikut pepatah "Bulat air dek pembetong, bulat kata dek muafakat" akan diadakan untuk mencari "benih" dalam menentukan "perut" mengikut giliran.
Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman berkata istiadat ini menjadi teras dalam mendirikan adat bagi penyandang pusaka adat yang baru.
Adat istiadat itu dizahirkan (diamalkan) daripada nenek moyang terdahulu dan sehingga kini masih dipegang teguh kepada sistem adat dan seterusnya memakmurkan institusi adat itu sendiri.
"Keindahan adat kita sungguh jelas. Istiadat ini bertujuan memasyhur dan mengisytiharkan secara rasmi kepada anak buah berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga.
"Kehadiran mereka dengan rombongan menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat itu," katanya pada majlis Istiadat Menyalang itu. - Bernama

Sunday, May 15, 2011

MAJLIS BERADAT YANG PERLU DIURUS DAN TERUSKAN BAGI PENGAMAL ADAT PERPATIH

Allahyarham Dharmawijaya banyak menulis puisi bersandarkn penghayatannya tentang adat perpatih di negeri beradat itu.

Istiadat Menyalang Unik, Istimewa

Rembau - Keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk negeri ini terserlah dalam Istiadat Menyalang yang berlangsung di kediaman rasmi Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman.
Istiadat untuk meraikan penyandang pusaka yang baru dilantik berikutan kematian penyandang lama itu memerlukan penyandang pusaka berkenaan merafak sembah kepada penyandang pusaka lebih tinggi seperti Buapak dengan menghadap Datuk Lembaga atau Datuk Lembaga menghadap Undang Luak Rembau.

Selain itu, istiadat ini juga bertujuan mengisytiharkan secara rasmi kepada masyarakat berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga serta istiadat terakhir pelantikan mereka.

Pada majlis itu, empat penyandang baru yang dilantik bersama isteri menghadap Datuk Undang Rembau dengan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sirih diiringi nasi besar (panco) berisi telur, wajik, dodol dan dulang berisi kuih manakal Datuk Undang Rembau membalas dengan songkok serta sebilah keris.

Ketika berucap, Muhamad berkata, istiadat ini yang menjadi pelengkap kepada penyandang pusaka baru adalah warisan nenek moyang yang berpegang teguh kepada adat. "Kekeliruan orang luar terhadap Adat Perpatih berpunca akibat kurang pengetahuan nilai adat dan diharap anak-anak di luak ini dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dengan adat. Penyandang pusaka baru yang dilantik juga diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, terutama membabitkan tanah pusaka," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Melayu Negeri, Datuk Razi Kail dan Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Rawi Baharom.
Sementara itu, Mohamad Razi berkata, istiadat yang kali terakhir diadakan pada 1999 adalah di antara keistimewaan di negeri itu dan boleh menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa. Beliau berkata, kerajaan akan terus mempromosikan Adat Perpatih kepada pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri serta tidak wujud di negeri lain. Sumber : Berita Harian.

Ulasan :
Saya mengucapkan tahniah kepada semua penyandang pusaka Dato' Lembaga yang baru. Tanggungjawab sebagai penyandang pusaka adat amat berat dan besar sekali. Ia bukan sekadar berkisar mengenai tanah adat ataupun berkaitan harta pusaka di mana ia meliputi semua perkara di dalam kehidupan seharian.

Sebagai Anak Rembau, saya memohon jasa baik Dato'-Dato' Lembaga yang baru dilantik, agar dapat mengeratkan dan memperbaiki hubungan di kalangan anak-anak buah. Sebagaimana diketahui, semasa proses pemilihan Dato'-Dato' Lembaga, terdapat ramai calon yang layak. Jadi berlakulah ketidakpuasan hati sehingga menyebabkan bermasam muka antara satu sama lain di kalangan anggota suku. Mungkin juga ada yang berasa kecil hati ataupun kecewa kerana tidak dipilih sebagai Dato' Lembaga. Oleh yang demikian, tugas pertama yang harus dilakukan oleh setiap Dato' Lembaga, memperbaiki hubungan sesama anak buah dan rapat semula perhubungan tali persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Hormati setiap anak buah kerana tanpa sokongan anak buah, Dato' Lembaga tidak bermakna. Luangkan masa dengan melawat mana-mana anak-anak buah yang kurang berupaya, sakit mahupun kurang kemampuan. Tidak menjadi kesalahan Dato' Lembaga mengumpul maklumat anak-anak buah yang memerlukan bantuan dan diserahkan kepada Pengerusi JKKK untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan oleh semua penyandang pusaka adat, ia akan memartabatkan lagi kedudukan Dato' Lembaga dan anak-anak buah akan lebih hormat.

Komen:
Yalah, benda yang baik itu perlu dijadikan amalan. Istiadat menyalang, istilah yang digunakan di Negeri Sembilan itu akan menjdi lebih meriah jika seluruh warga adat di Negeri Sembilan mengikutinya secara tradisi. Istilah menyalang ini kalau di negeri lain yang mengamalkan adat temenggung dipanggil bertandang kan? Tetapi awas jangan salah kaprah makna dan pengertian istilah menyalang itu. Jangan ada yang kata menyalang itu berasal daripada perkataan "jalang" yang mempunyai konotasi negatif.

Tuesday, May 10, 2011

PEPATAH-PETITIH ADAT PERPATIH DALAM GLOSARI ADAT

 
 
Allahyarham Norhalim Ibrahim, dari warga suku Batu Hampar, rembau ini bukan calang-calang  penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Allahyarham menyusun buku glosari perbilangan adat perpatih yng diterbitkan sembilan tahun yang lalu. Sebelum buku ini Allhyarham melahirkan sejumlah buku adat, antaranya, Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998).

Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996). Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat

Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah  oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.

Buku Glosari yang disusunnya  bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat  masih memerlukan satu bahan rujukan yang  “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.”  Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan.

Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu  mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun  masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang  sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga. 

Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan  peranan pembesar adat yang sebelumnya  berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah  “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai  saksi dan penasihat.

Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek  kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”

Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an,  ramai orang tua di negeri itu berpendapat  bahawa perbuatan merakamkan  segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk  “mengkanunkan” adat Perpatih.

Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan  dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”

Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta  adat. Hampir seluruh kehidupan  beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan  apa yang disebut  “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu.

Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti  peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud  peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi  keperluan  hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.

Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di  Naning berbeza sedikit  daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?

Cuma yang dijelaskan adat Naning  diamalkan oleh 25 buah mukim di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus.

Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah  lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam glosari ini. Tanpa penjelasan lanjut  istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.

Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah  “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.

Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol.

Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.

Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca.

Tuesday, May 3, 2011

HUBUNGAN LELA BALANG DENGAN LAUT DALAM DI REMBAU



Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Abdul Isa Samad, tengah, membelek-belek buku Negeri Yang Sembilan, susunan Norhalim Ibrahim, kanan, sambil diperhatikan Cikgu Yaakob Idrus. Kelihatan Cikgu Nordin Hassan di belakang. 


DAERAH  Rembau, tidak akan wujud seperti adanya hari ini tanpa penglibatan dua tokoh pembesar Minangkabau yang bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam. Menurut buku Negeri Yang Sembilan, terbitan 1985)  susunan Norhalim Ibrahim (Allahyarham), kedua-dua tokoh ini adalah pendatang dari kerajaan Minangkabau yang meneroka Rembau , daerah baruh yang telah ramai  didiami penduduk tempatan. Komuniti tempatan ini berasimilasi dengan pendatang dari seberang. Komuniti tempatan ini diketuai oleh Batin Skudai yang tinggal di Relong dan kemudian pindah ke Kampung Lada, Chengkau, sebelum menjadikan Datuk Lela Balang menantunya dan tinggal sementara di Kota Lama.

Menurut Norhalim, Datuk Lela Balang berasal dari Batu Hampar bersukukan Caniago. Ada yang mendakwa Datuk Lela Balang adalah dari Suku Batu Hampar  Paya Bidara. Ada pula yang yakin bahawa Datuk Lela Balang ini berasal dari daerh istana Pagar Ruyung, yang terletak dalam Suku Tanah Datar dan datang bersama Batin Pak Tinjau dengan isterinya, Mak Inan. Datuk Lela Balang masih bujang ketika berhijrah. Sebelum sampai di Kampong Kota Lama mereka ke Sungai Barat di Sungai Sayong. Mereka menghadap Sultan Melaka yang ketika itu bersemayam di Sungai Sayong setelah berundur dari Melaka akibat serangan Portugis.

Sebahagian daripada pengikut Datuk Lela Balang dari Suku Mungkal bermukim di kaki Gunung Datuk (Rembau) sementara Datuk Lela Balang sendiri tinggal di Kampung Kota Lama bersama Datuk Leteh, yang datang lebih awal. Hari ini Kampung Mungkal itu berjiran dengan Kampong Api-Api yang terletak di sebelah hulu.

Datuk Lela Balang kemudian berkahwin dengan Datuk Bungkal, anak Batin Skudai. Atas persetujuan bersama Datuk Lela Balang dan isteri menetap terus di Kota Lama di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kiri, sementara Datuk Leteh berpindah ke Kampong Perah, di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kanan. Kawasan baru Datuk Leteh ini dinamakan Kampong Perah kerana terdapat banyak pokok perah atau dalam bahasa latinnya disebut Elateriospermum Tapos di kawasan itu

Menurut Sejarahwan C.W.C Parr dan W.H. Mackray, dalam bukunya Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs, 1910, Datuk Lela Balang berhijrah ke Rembau bersama seorang lagi pembesar Minangkabau bernama Datuk Laut Dalam yang telah beristerikan seorang wanita berketurunan Jawa. Dikatakan kedua-dua pembesar ini bersama-sama menghadap Sultan di Johor untuk mendapatkan apa yang disebut hari ini sebagai watikah perlantikan bersama pembesar daerah yang diberi gelar Datuk Penghulu.  

Datuk Laut Dalam berasal dari Paya Kumbuh dari suku Tiga Nenek. Datuk Laut Dalam membuka Kampung Lekok kira-kira 500 meter ke hilir Kampong Kota Lama, di mana Datuk Lela Balang bermukim. Tidak dijelaskan nama isteri Datuk Laut Dalam. Namun perkahwinan mereka meberikan empat orang puteri, iaitu Datuk Sitimah, Datuk Shamsiah, Datuk Natimah dan Datuk Samadidi. Sementara perkhwinan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal menghasilkan lima orang anak (empat perempuan dan seorang lelaki. Anak-anak perempuan diberi nama Datuk Pandung, Datuk Siti,  Datuk Lijah dan Dtuk Makraman. Anak lelakinya (mungkin anak bongsu)  dinamakan Datuk Si Rama.

Bagi melaksanakan titah perlantikan Sultan di Johor dan mengelak daripada timbulnya sebarang pertikaian politik dan pentadbiran, maka dipersetujuilah supaya Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam memanfaatkan sistem perkhwinan dengan hidup berbesan. Ini bermakna anak Datuk Lela Balang yang bernama Datuk Si Rama dikahwinkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam yang bernama Datuk Siti Hawa. Perkahwinan Si Rama dengan Siti Hawa ini melahirkan seorang anak lelaki bernama Datuk Amba, yang kemudian dilantik sebagai  Penghulu atau Undang Rembau ke-2 dengan gelaran Datuk Sedia Raja. Ketika itu Penghulu atau Undang Rembau ialah Datuk Si Rama yang memakai gelaran Datuk Lela Maharaja.

Maka di sini jelaslah bahawa kedua-dua pembesar dari Minangkabau ini tidak mempunyai apa-ap hubungan kekeluargaan pada mulanya dan hanya menjalin hubungan melalui perkahwinan setelah bermastautin di Rembau. Datuk Lela Balang membuka kawasan di Kota Lama dan Datuk Laut Dalam di Kampung Lekok, sementara peneroka awal, Datuk Leteh membawa diri ke Kampong Perah. Luas daerah lingkungan pentadbiran tiga kampung ini sekitar satu km radius.

Ahli Prlimen Rembau hari ini, YB Khairy Jamaluddin adalah daripada waris keturunan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal daripada nisab Datuk Undang Rembau Ke-17, Haji Sulong Miah Lela Maharaja yang berasal dari Suku Biduanda Lela Maharaja Kampong Gadong Darat. Namun berdasarkan sistem matrileneal yang diamalkan Adat Perpatih (bersukukan sebelah ibu), bapa Khairy, Datuk Jamaludin Abu Bakar adalah sah dari waris Biduanda Lela Maharaja, sementara Khairy yang beribukan seorang wanita di luar lingkungan Adat Perpatih tidak masuk suku.

Friday, April 15, 2011

MEMPERBETUL KEKELIRUAN TERJEMAHAN DALAM NEGERI YANG SEMBILAN TUGAS SIAPA?

Buku Negeri Yang Sembilan karya Norhalim Ibrahim yang diterbitkan pada tahun 1995.

Dalam Bibliografi buku Negeri Yang Sembilan karangan Norhalim Hj.Ibrahim (Allahyarham), terbitan Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam, 1995 ada ditulis nama Cikgu Abas Ali dan Abdullah Dahan. Cikgu Abas adalah penterjemah buku Rembau: Sejarah Perkembangan Adat dan Istiadatnya, terbitan  Jabatan Undang dan Perlembagaan Adat dan Istiadat Melayu Rembau, 1953, tetapi ada bahagian terjemhannya dipertikaikan ketepatannya oleh Dato' Undang Rembau, Haji Abdullah Dahan dalam satu memorandumnya memperbiki kekeliruan itu..

Abas Ali menterjemahkan buku sejarah ini daripada versi asalnya dalam bahasa Inggeris berjudul Parr, C.W.C, and Mackray, W.H. Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs; in JSBRAS,56:1-57, 1910.

Abas Ali adalah seorang guru bertauliah dan pernah berkhidmat di Sekolah King George Ke-V (KGV), Seremban. Beliau berasal dari Chengkau dan berkahwin dengan seorang wanita di Kampong Gadong daripada suku Biduanda Lela Maharaja. Salah seorang daripada anak pasangan ini ialah Dato' Kamarul Baharin Bin Abas, kini Ahli Parlimen Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Yang dipertikaikan ialah tentang perkataan  Brother Chiefs dan joint leaders yang ditulis Parr dan Mackray. Norhalim berpendapat "Abas Hj. Ali semasa menterjemahkan karya Parr dan Mackray telah membuat kesilapan fakta, yang mungkin disengajakan atau mungkin tidak (Lihat halaman 64 Negeri Yang Sembilan). Antara Cikgu Abas dan Dato' Undang Abdullah terdapat kekeliruan terjemahan yang mungkin boleh memesongkan ketepatan dalam makna.
Dua kekeliruan dapat dikesan. Pertama berkaitan dengan masa pembukaan dua kampung , iaitu Kota dan Padang Lekok dan kedua tentang konsep brother chiefs.
Abdullah dalam terjemahannya menggunakn perkataan chief sebagai ketuaan dan brother sebagai saudara. Mnakala Abas langsung menghilngkan dua perkataan brother chiefs dan  menggntikannya dengan perkataan saudaranya sahaja.

Terjemhan yang mengelirukn ini telah terus-menerus digunakan oleh penyelidik yang lain seperti Tan Sri Abdul Samad Idris yang menyatakan bahawa Datuk Laut Dalam itu adik kepada Datuk Lela Balang bagi brother chiefs (Lihat kalimat asal dripada Parr and Mackray:: Sailing up the Rembau River, the earliest band of immigrants planted two settlements in the low country at Kota under Tuk Lela Balang and Padang Lekok under his brother chief, Tuk Laut Dalam.

Ini hanyalah  dua contoh bagaimana penterjemahan hasil sejarah zaman lalu  boleh mengelirukan dan kurang tepat. Tugas ahli sejarah hari ini adalh memastikan penterjemah sekarang memiliki ketrampilan yang lebih canggih supaya hasil terjemahan lebih tepat dan mengelakkan kekeliruan  Apapun jua, jasa Cikgu Abas dan Dato' Undang Abdullah Dahan, seperti yang diungkapkan Norhlim Ibrahim dalam Negeri Yang Sembilan itu tetap amat bermakna dalam kita mengenali sejarah bangsa kita.
.

Tuesday, March 22, 2011

BETUL KE, KHAIRY JAMALUDDIN BUKAN ORANG REMBAU?

Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin dikatakan bukan anak Rembau? Benarkah?

Khairy bukan orang Rembau
25 feb 2008
Kalau kita jumpa orang tua-tua di Rembau , terutamanya di Kg Gadong , Kg Tanjung , Kg Seberang Paya , Kg Mungkal , Kg Memperah dan lain-lain kampung yang berdekatan , mereka akan katakan Khairy sebenarnya bukan orang Rembau.

Menurut adat orang Rembau , keturunan adalah mengikut asal keturunan ibu. Dalam kes Khairy , orang tua-tua Rembau mengatakan Khairy bukan orang Rembau tetapi ialah orang Pulau Pinang , kerana ibu Khairy ialah orang Pulau Pinang , hanya arwah ayahnya saja orang Rembau.

Begitu juga dalam kes melantik Undang Rembau. Mestilah dilihat dari keturunan sebelah emak. Hanya dua suku yang layak menjadi Undang di Rembau ini , iaitu suku Dato Sedia Raja dan suku Lela Maharaja. Jika ayah suku Dato Sedia Raja dan emak adalah orang bukan dari dua suku tadi , maka secara otomatik , anak tidak layak untuk menjadi Undang.

Selamat Datang ke Rembau , Tanah Beradat (Petikan rembau hari ini http://www.rembau-hari-ini.blogspot.com 28 Februri 2008)

Komen:
Benarlah kalau mengikut adat perpatih di Negeri Sembilan. Penduduk di negeri itu, tidak terkecuali Daerah Rembau adalah mengikuti sistem matrilineal, iaitu nisab keturunan sebelah ibu. Jadi semua anak yang lahir akan mengikut suku ibunya, bukan suku bapa. Lainlah di tempat atau negeri yang penduduknya mengikuti adat Temenggung di mana anak akan mengikuti sistem patrilineal, iaitu nisab sebelah bapa.

Inilah yang membuatkan adat di Negeri Sembilan ini sedikit unik. Adatnya diasaskan kepada Adat Minang di Sumatera Barat. Sistem matrilineal menjadi penentu suku ank-anak yang lahir. Bagi Khairy Jamaluddin, memang benarlah kalau berdasarkan adat Temenggung beliau semestinya anak orang utara, atau pun Pulau Pinang seperti kata bloger ini. Bapanya, Dato' Jamaluddin Abu Bakar adalah orang Gadong, bersukukan Biduanda Gadong Lela Maharaja. Sama ada Khairy yang katanya mengikut suku bapanya dapat mewarisi jawatan Undang Rembau, itu kita kurang jelas.

Yang lebih penting untuk mempastikan dalam suku mana Khairy Jamaluddin berada ditentukan oleh anggota keluarganya. Dan kalau mahu diikutkan tempat lahirnya, Khairy tidak dilahirkn di Gadong, atau di Pulau Pinang atau di Kedah (katakanlah Kedah negeri kelahiran ibunya). Khairy khabarnya dilahirkan di London.

Maka jika ada orang yang mendakwa bahawa Khairy bukan orang Rembau itu belum tentu tepat juga. Masih boleh dibincangkn, terutama oleh sanak keluarga dan sepupu-sepupunya di Rembau. Salah seorang yang dapat memberi penjelasan tentang suku Khairy ini mungkin sepupunya sendiri, Dato' Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerjaraya. Shaziman berbapakan Abu Mansor, abang kepada Jamaluddin. Cobalah kita tanya Shaziman tentang perkara ini supaya lebih jelas kedudukan Khairy.

Khabarnya Shaziman sendiri pernah diberitakan berasal dari Perak. Tetapi kalau mengikut sejarah orang tuanya, Shaziman ini memang lahir di Ipoh, ketika itu bapanya bertugas dengan KTM di Ipoh. Bapa kepada Abu Mansor, Hj. Abu Bakar, ialah
bekas penghulu dan ibunya adalah dari suku Tanah Datar, Gadong.

Monday, March 14, 2011

TANAH PESAKA: "ESE ORANG BETINO PUNYO ORANG JANTAN TAK ADO HAK!"

Senarai Aktiviti Adat Perpatih di Seremban dan Jelebu 13 Mac 2011

Allahyarham Norhalim Ibrahim banyak menulis tentang adat perpatih

sekumpulan anggota masyarakat adat perpatih di Rembau meraikan perkahwinan salah seoarag anak buah mereka di Suku Biduanda Lela Maharaja.


TIGA hari berturut-turut Negeri Sembilan mengadakan kegiatan Adat Perpatih, terutama di Seremban dan Jelebu. Ada seminar dan persembahan. Bicara Ilmiah bertajuk "Kepelbagaian Adat 1 Malaysia di Negeri Sembilan" dan ada pula seminar "Memartabatkan Institusi Adat Perpatih di Negeri Sembilan." Kegiatan terakhir ini berlangsung di auditorium RTM di Sungai Gadot, Seremban pada 13 Mac.

Bagi yang hadir dalam dua pertemuan intelek itu pasti akan banyak menerima pendedahan tentang sejarah dan perkembangan adat itu mengikut zamannya. Maklumlah sudah lebih 600 tahun adat itu betapak di negeri beradat ini. Mungkin juga berlaku pertentangan pendapat pro dan kontra tentang sistem adat itu yang tentunya meriuhkan. Dan kalaulah Allahyarham Norhalim Ibrahim hadir Allahyarham sudah tentu akan memberikan pandangan yang sama seperti apa yang banyak ditulisnya dalam jurnal, buku dan media tempatan dan luar negeri. Masih ingatkan bukunya Negeri Yang Sembilan yang dihasilkannya pada tahun 1996. Atau buku Perkahwinan Adat pada tahun 1996 . Atau Glosari Adat Negeri Sembilan pada tahun 2003.Buku Negeri Yang Sembilan menerima resensi yang super wahid daripada Profesor Ulung UKM, Prof. Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebulan sesudah buku itu diedarkan.Begitu juga halnya dengan tanggapan positif Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dalam satu seminar ilmiah di Hotel Allson Kelana Seremban ketika buku itu dilancarkan.

Bagaimanakah impak dan hasil kegiatan ilmiah adat tiga hari ini kepada penganut adat di Negeri Sembilan? Kegiatan kali ini entah yang ke ratus berapa kali diadakan, semuanya mahu memartabatkan adat ini. Dua hal pokok menjadi pergonjengan mungkin dalam wacana intelek ini, iaitu tanah adat dan nikah kahwin. Masalah tanah adat menyangkut pewaris sementara masalah nikah kahwin menyangkut larangan kahwin sesuku (sedarh-sedaging).

Masalah kedua itu mungkin boleh ditanggapi positif kerana dari sudut genetik dan sahsiah pun perkahwinan yang melibatkan hubungan bersaudara dalam satu-satu suku menghasilkan baka yang kurang serasi dan kurang baik. Bagaimana dengan masalah pertama, iaitu tentang tanah adat dan warisan pemiliknya. Semua orang tahu sitem matrilineal (bersebelhan ibu) menyebabkan tanah pesaka hendaklah dimiliki oleh anak perempuan. Anak lelaki tidak berhak menerima. Cuma mereka boleh "makan" hasilnya seumur hidup.

Apabila sistem ini diteruskan turun-temurun apa akan jadi dengan anak lelaki? Kalau dulu tujuan mewariskan tanah pesaka ini kepada anak perempuan adalah untuk menjaga kepentingan mereka sebab kononya mereka kaum yang lemah dan patut dibela. Tetapi dalam keadaan sekarang dengan wanita hari ini sama mendapat hak dalam semua aspek ekonomi, politik, pendidikan dan sosial, apakah kelemahan untuk dilndungi itu masih relevan?

Tak pasti apakah masalah ini dibincangkan dalam seminar di Seremban itu? Dan kalau ada apakah rumusannya akan diserahkan kepada pihak berkuasa Adat, terutama kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sebagai pelindung utama adat perpatih? Rata-rata anak muda generasi baru di Negeri beradat itu mahukan satu perubahan yang amat radikal dan menyeluruh kepada sistem pewarisan adat yang berkait dengan tanah pesaka ini.

Menurut mereka Adat dicipta oleh manusia dan sesuatu yng dicipta manusia itu boleh disesuaikan mengikut rentak zaman. Kalau sistem politik boleh dirombak secara radikal, kalau sistem ekonomi boleh ditransformasi secara radikal, kenapa adat tidak boleh?

Yang perlu ialah keazaman politik.Dalam hal ini keazaman sosio-budaya. Tak perlulah mengadakan lebih banyak seminar dan bicara ilmiah. Apa yang boleh mendatangkan kesan baik kepada masyarakat adat lakukanlah. Tak salahkan. Para ilmuan adat perpatih dan para pemimpin adat di Negeri Sembilan patut sangat memikirkan hal ini.

Sekarang ini masalahnya, sampaikan tanah adat banyak yang tinggal terbiar tak terurus. Hanya kerana "Tanah itu posako ese orang betino yang punyo, kau orang jantan tak ado hak! Payah....Payah!!

Wednesday, February 23, 2011

TARIAN TERINAI DAN DIKIR REBANA DI MAJLIS KAHWIN ADAT PERPATIH

Pada 20 Februari 2011 baru-baru ini, terima jemputan kahwin daripada seorang sahabat lama, Bahari bd. Rahman. Sahabat lama ini mantan pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan. Lama sungguh tak dengar cerita daripada sahabat ini. Beliau mengirim jemputan melalui facebook. Jemputannya berbunyi: "Selamat bertemu setelah sekian lama. Saya nak menjemput sdr ke Majlis Perkahwinan anak saya FARAH SYAFINA pada 13.3.2011. Ahad di Dewan Perdana Felda,KL. Majlis bermula jam 8.00 mlm. Sebelum itu majlis pernikahannya akan diadakan pada 11.3.2011 Jumaat di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Seri Rampai. Kedatangan sdr sangat saya harapkan sbb dah lamo bona tak jumpo. Sambutan ala Tradisi Adat Pepatih pulak akan diadakan pada 26.3.2011, di A FAMOSA Resort, Melaka mulai 8.00 mlm. ok ???.

Yang menariknya sahabat lama ini ingin memperagakan acara tarian tradisi adat perpatih di A Farmosa. Dalam keterangan lanjutnya, sahabat saya ini menjelaskan: "Adat Pepatih itu kulit jo sbb nak bona nak bokanda mcm dulu2. Lopeh tu nak torinai, tari piring. Kalau ada maso nak bungo api sekali."

Mengadakan tarian tradisi begini bukan kulit lagi. Malah apa yang ingin dilakukan oleh sahabat lama ini memng patut diberi pujian. Pling-paling sahabat lama ini ingin meneruskan tarian orang Melayu di Negeri Sembilan, khususnya di Rembau.

Biasanya apabila adat perkahwinan memasukkan acara tarian dalam majlisnya, maka tarian terinai dan tarian piring tidak ditinggalkan. Dalam tarian terinai, misalnya, terdapat unsur mengibur dalam bentuk lawak jenaka dengan menggunakan bahasa badan. Gerak tari penari, biasanya seorang lelaki, akan membuatkan penonton ketawa bagaikan menyaksikan lakonan seoarang pelawak di atas pentas. Gerak badannya cukup menyoronokkan (hilarious).

Alat bunyi-bunyian yang mengiringi tarian hanyalah satu gong (tetawak) dan satu rebana dengan piring. Penari akan mengetuk piring mengikut rentak lagu dengan cincin dilekatkan di salah satu jari kanannya. Memang mengasyikkan.

Sekarang ini acara seperti ini jarang sekali diadakan. Penduduk di sekitar daerah Rembau, terutama di Kampung Lada, Chengkau dan Gadong mungkin masih ingat cara penari Abu Bakar "Sontel" melakukan tarian ini dengan lenggok badannya yang menggelikan hati pada tahun-tahun 1960an dahulu. Lemah gemalai gerak badannya tiada taranya pada zaman itu.

Dalam majlis ini biasanya juga acara dikir rebana tidak ditinggalkan dan kumpulan dikir ini akan bermain sepanjang malam sehingga subuh diiringi lirik panjang memuji kebesaran Illahi.Dikir ini dimulakan dengan rentak perlahan dan berakhir dengan tempo kecepatan yang tinggi. Setiap dikir akan mengambil masa selama sejam.Dua kumpulan dikir yang begitu popular pada ketika itu adalah dari Kumpulan Dikir Kampong Batang Nyamor, Gadong dan Kumpulan Dikir Kampong Lada, Chengkau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.