Tuesday, May 3, 2011

HUBUNGAN LELA BALANG DENGAN LAUT DALAM DI REMBAU



Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Abdul Isa Samad, tengah, membelek-belek buku Negeri Yang Sembilan, susunan Norhalim Ibrahim, kanan, sambil diperhatikan Cikgu Yaakob Idrus. Kelihatan Cikgu Nordin Hassan di belakang. 


DAERAH  Rembau, tidak akan wujud seperti adanya hari ini tanpa penglibatan dua tokoh pembesar Minangkabau yang bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam. Menurut buku Negeri Yang Sembilan, terbitan 1985)  susunan Norhalim Ibrahim (Allahyarham), kedua-dua tokoh ini adalah pendatang dari kerajaan Minangkabau yang meneroka Rembau , daerah baruh yang telah ramai  didiami penduduk tempatan. Komuniti tempatan ini berasimilasi dengan pendatang dari seberang. Komuniti tempatan ini diketuai oleh Batin Skudai yang tinggal di Relong dan kemudian pindah ke Kampung Lada, Chengkau, sebelum menjadikan Datuk Lela Balang menantunya dan tinggal sementara di Kota Lama.

Menurut Norhalim, Datuk Lela Balang berasal dari Batu Hampar bersukukan Caniago. Ada yang mendakwa Datuk Lela Balang adalah dari Suku Batu Hampar  Paya Bidara. Ada pula yang yakin bahawa Datuk Lela Balang ini berasal dari daerh istana Pagar Ruyung, yang terletak dalam Suku Tanah Datar dan datang bersama Batin Pak Tinjau dengan isterinya, Mak Inan. Datuk Lela Balang masih bujang ketika berhijrah. Sebelum sampai di Kampong Kota Lama mereka ke Sungai Barat di Sungai Sayong. Mereka menghadap Sultan Melaka yang ketika itu bersemayam di Sungai Sayong setelah berundur dari Melaka akibat serangan Portugis.

Sebahagian daripada pengikut Datuk Lela Balang dari Suku Mungkal bermukim di kaki Gunung Datuk (Rembau) sementara Datuk Lela Balang sendiri tinggal di Kampung Kota Lama bersama Datuk Leteh, yang datang lebih awal. Hari ini Kampung Mungkal itu berjiran dengan Kampong Api-Api yang terletak di sebelah hulu.

Datuk Lela Balang kemudian berkahwin dengan Datuk Bungkal, anak Batin Skudai. Atas persetujuan bersama Datuk Lela Balang dan isteri menetap terus di Kota Lama di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kiri, sementara Datuk Leteh berpindah ke Kampong Perah, di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kanan. Kawasan baru Datuk Leteh ini dinamakan Kampong Perah kerana terdapat banyak pokok perah atau dalam bahasa latinnya disebut Elateriospermum Tapos di kawasan itu

Menurut Sejarahwan C.W.C Parr dan W.H. Mackray, dalam bukunya Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs, 1910, Datuk Lela Balang berhijrah ke Rembau bersama seorang lagi pembesar Minangkabau bernama Datuk Laut Dalam yang telah beristerikan seorang wanita berketurunan Jawa. Dikatakan kedua-dua pembesar ini bersama-sama menghadap Sultan di Johor untuk mendapatkan apa yang disebut hari ini sebagai watikah perlantikan bersama pembesar daerah yang diberi gelar Datuk Penghulu.  

Datuk Laut Dalam berasal dari Paya Kumbuh dari suku Tiga Nenek. Datuk Laut Dalam membuka Kampung Lekok kira-kira 500 meter ke hilir Kampong Kota Lama, di mana Datuk Lela Balang bermukim. Tidak dijelaskan nama isteri Datuk Laut Dalam. Namun perkahwinan mereka meberikan empat orang puteri, iaitu Datuk Sitimah, Datuk Shamsiah, Datuk Natimah dan Datuk Samadidi. Sementara perkhwinan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal menghasilkan lima orang anak (empat perempuan dan seorang lelaki. Anak-anak perempuan diberi nama Datuk Pandung, Datuk Siti,  Datuk Lijah dan Dtuk Makraman. Anak lelakinya (mungkin anak bongsu)  dinamakan Datuk Si Rama.

Bagi melaksanakan titah perlantikan Sultan di Johor dan mengelak daripada timbulnya sebarang pertikaian politik dan pentadbiran, maka dipersetujuilah supaya Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam memanfaatkan sistem perkhwinan dengan hidup berbesan. Ini bermakna anak Datuk Lela Balang yang bernama Datuk Si Rama dikahwinkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam yang bernama Datuk Siti Hawa. Perkahwinan Si Rama dengan Siti Hawa ini melahirkan seorang anak lelaki bernama Datuk Amba, yang kemudian dilantik sebagai  Penghulu atau Undang Rembau ke-2 dengan gelaran Datuk Sedia Raja. Ketika itu Penghulu atau Undang Rembau ialah Datuk Si Rama yang memakai gelaran Datuk Lela Maharaja.

Maka di sini jelaslah bahawa kedua-dua pembesar dari Minangkabau ini tidak mempunyai apa-ap hubungan kekeluargaan pada mulanya dan hanya menjalin hubungan melalui perkahwinan setelah bermastautin di Rembau. Datuk Lela Balang membuka kawasan di Kota Lama dan Datuk Laut Dalam di Kampung Lekok, sementara peneroka awal, Datuk Leteh membawa diri ke Kampong Perah. Luas daerah lingkungan pentadbiran tiga kampung ini sekitar satu km radius.

Ahli Prlimen Rembau hari ini, YB Khairy Jamaluddin adalah daripada waris keturunan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal daripada nisab Datuk Undang Rembau Ke-17, Haji Sulong Miah Lela Maharaja yang berasal dari Suku Biduanda Lela Maharaja Kampong Gadong Darat. Namun berdasarkan sistem matrileneal yang diamalkan Adat Perpatih (bersukukan sebelah ibu), bapa Khairy, Datuk Jamaludin Abu Bakar adalah sah dari waris Biduanda Lela Maharaja, sementara Khairy yang beribukan seorang wanita di luar lingkungan Adat Perpatih tidak masuk suku.

7 comments:

  1. Anak Cucu Tiga NenekMay 4, 2011 at 8:15 AM

    Sepatutnya MB Negeri Sembilan memanfaatkan peluang menjadikan Negeri Sembilan, yang kaya dengan Adat Perpatihnya sebagai sebuah negeri pelancongan seperti Melaka. Banyak produk pelancongan dari sudut sejarah boleh diketengahkan.Janganlah asyik memikirkan projek-projek besar sahaja, seperti Kompleks Makam Melewar di Istana Raja. Salah satu yang boleh dilakukan ialah dengan menjadikan bahagian Sungai Rembau yang bercabang dua di Kampong Kota Lama dijadikan objek pelancongan.

    ReplyDelete
  2. Saya bersetuju dengan pendapat Sdr Anak Cucu Tiga Nenek. Kita mempunyai segala sumber/rencah untuk diramu.

    Namun,produk yang akan hihasilkan sedapat mungkin hendaklah bercirikan 'diri kita sebenar', Orang Negeri Sembilan, bukannya replika Minangkabau.

    Tidak dinafikan bahawa dalam diri kita mengalir darah nenek moyang kita orang Minangkabau. Namun, samada kita sengaja atau pun terlupa, bahawa dalam diri kita juga mengalir darah penduduk asal Negeri Sembilan.

    Pengaruh Minangkabau telah diasilimasikan dan 'dijinakkan' oleh pengaruh penduduk asal Negeri Sembilan.

    Di antara contoh,dialek Minangkabau telah 'diubahsuai' dan menjadi dialek Negeri Sembilan atau Lidah Minang telah menjadi Lidah Negeri Sembilan.

    Fenomena ini tidak berlaku kepada saudara Minangkabau kita di Beranang atau Gombak.Mereka masih bercakap dalam dialek Minangkabau.

    Saya berkesempatan bertemu dengan saudara kita Orang Lukut di Kota Tinggi, Johor. Keturunan mereka yang telah bermastautin ke Kota Tinggi, Johor pada 1889 masih bercakap 'sebiji' dialek Negeri Sembilan.

    Ini cuma pandangan saya. Terima kasi.

    ReplyDelete
  3. Memang pun. Kalau diteliti pandangan Allahyarham Norhalim Ibrahim dan Yaakob Idrus, dua pengkaji adat Negeri Sembilan dan Naning itu nescaya kita lihat kaitan atau tiada kaitannya antara adat perpatih di Negeri Sembilan dan Naning dengan yang di Sumatera Barat.

    Betul kita di Negeri Sembilan dan Naning punya adat mengambil banyak pengaruh daripada adat Minngkabau, tapi khususnya di Rembau dan Naning lebih banyak pengruh adat setempat yang meresap. Lihat sahaja dalam petuturan dan persekitaran budaya. Orang Rembau, misalnya tak pandai bercakap Minangkabau, rata-ratanya. Bentuk rumah Rembau lebih mirip bentuk rumah Siak, bukan rumah di Padang. Orang rembau tak pernah kata "urang" tapi "orang". Orang Rembau jarang sebut "waang". Orang Padang mungkin tak reti sebut "ese". Macam-macam lagi. Coba bezakan dialek orang Rembau dengan orang Jelebu atau Kuala Pilah. Banyak bezanya dalam sebutan. pengaruh sekitaran dan budaya setempat banyak meresap masuk.

    Dan ketika saya di Siak beberapa tahun 2000 saya teruja mendengar dua wanita bercakap-cakap seolah-olah saya sedang mendengar orang bersembang dalam loghat Rembau. Terfikir juga apakah saya sedang mimpi atau benar-benar orang bercakap begitu. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Rumah tumpangan tempat saya menginap itu berhampiran dengan Muzium Kesultanan Siak.Tiba-tiba saja saya rasa begitu dekat dengan kmpung saya di Rembau.

    ReplyDelete
  4. Kalau KJ dari keturunan datuk Balang,handal aku lagi !!! aku anak jati dan berasal dari kampung Relong,mak aku orang Relong,moyang aku bernama Skudai,aku tidak malu kalau orang cakap aku keturunan Orang Asli,penduduk asal Rembau yang berasal dari Kampung Relong dan aku bersuku Biduanda,keturunan KJ tidak berasal dari Kampung Relong.Tapi persamaan aku dengan KJ ialah aku dan die TIDAK AKAN MENJADI UNDANG KERANA AKU DAN DIE KAWIN DENGAN PEREMPUAN LUAR DARI Negeri Sembilan.Lagi satu aku keturunan Undang PERTAMA Rembau dan ini disahkan oleh mak-mak saudara aku.

    ReplyDelete
    Replies
    1. skang nih dah boleh dah cik eizal....isteri tuh boleh dimasukkan kedlm (diKedinkan) mane2 suku mengikut salah satu suku2 yg ade kt rembau..tu pon dgn kebenaran suku2 tersebut...

      Delete
  5. Den org kampung relong , omak den moyang den semua orang relong negeri sembilan...suku biduanda....bakal undang kut den ni....

    ReplyDelete
  6. Rindu ayah. Emmm...tetibo sobak hati ni a..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.