Sunday, May 15, 2011

MAJLIS BERADAT YANG PERLU DIURUS DAN TERUSKAN BAGI PENGAMAL ADAT PERPATIH

Allahyarham Dharmawijaya banyak menulis puisi bersandarkn penghayatannya tentang adat perpatih di negeri beradat itu.

Istiadat Menyalang Unik, Istimewa

Rembau - Keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk negeri ini terserlah dalam Istiadat Menyalang yang berlangsung di kediaman rasmi Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman.
Istiadat untuk meraikan penyandang pusaka yang baru dilantik berikutan kematian penyandang lama itu memerlukan penyandang pusaka berkenaan merafak sembah kepada penyandang pusaka lebih tinggi seperti Buapak dengan menghadap Datuk Lembaga atau Datuk Lembaga menghadap Undang Luak Rembau.

Selain itu, istiadat ini juga bertujuan mengisytiharkan secara rasmi kepada masyarakat berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga serta istiadat terakhir pelantikan mereka.

Pada majlis itu, empat penyandang baru yang dilantik bersama isteri menghadap Datuk Undang Rembau dengan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sirih diiringi nasi besar (panco) berisi telur, wajik, dodol dan dulang berisi kuih manakal Datuk Undang Rembau membalas dengan songkok serta sebilah keris.

Ketika berucap, Muhamad berkata, istiadat ini yang menjadi pelengkap kepada penyandang pusaka baru adalah warisan nenek moyang yang berpegang teguh kepada adat. "Kekeliruan orang luar terhadap Adat Perpatih berpunca akibat kurang pengetahuan nilai adat dan diharap anak-anak di luak ini dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dengan adat. Penyandang pusaka baru yang dilantik juga diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, terutama membabitkan tanah pusaka," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Melayu Negeri, Datuk Razi Kail dan Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Rawi Baharom.
Sementara itu, Mohamad Razi berkata, istiadat yang kali terakhir diadakan pada 1999 adalah di antara keistimewaan di negeri itu dan boleh menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa. Beliau berkata, kerajaan akan terus mempromosikan Adat Perpatih kepada pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri serta tidak wujud di negeri lain. Sumber : Berita Harian.

Ulasan :
Saya mengucapkan tahniah kepada semua penyandang pusaka Dato' Lembaga yang baru. Tanggungjawab sebagai penyandang pusaka adat amat berat dan besar sekali. Ia bukan sekadar berkisar mengenai tanah adat ataupun berkaitan harta pusaka di mana ia meliputi semua perkara di dalam kehidupan seharian.

Sebagai Anak Rembau, saya memohon jasa baik Dato'-Dato' Lembaga yang baru dilantik, agar dapat mengeratkan dan memperbaiki hubungan di kalangan anak-anak buah. Sebagaimana diketahui, semasa proses pemilihan Dato'-Dato' Lembaga, terdapat ramai calon yang layak. Jadi berlakulah ketidakpuasan hati sehingga menyebabkan bermasam muka antara satu sama lain di kalangan anggota suku. Mungkin juga ada yang berasa kecil hati ataupun kecewa kerana tidak dipilih sebagai Dato' Lembaga. Oleh yang demikian, tugas pertama yang harus dilakukan oleh setiap Dato' Lembaga, memperbaiki hubungan sesama anak buah dan rapat semula perhubungan tali persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Hormati setiap anak buah kerana tanpa sokongan anak buah, Dato' Lembaga tidak bermakna. Luangkan masa dengan melawat mana-mana anak-anak buah yang kurang berupaya, sakit mahupun kurang kemampuan. Tidak menjadi kesalahan Dato' Lembaga mengumpul maklumat anak-anak buah yang memerlukan bantuan dan diserahkan kepada Pengerusi JKKK untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan oleh semua penyandang pusaka adat, ia akan memartabatkan lagi kedudukan Dato' Lembaga dan anak-anak buah akan lebih hormat.

Komen:
Yalah, benda yang baik itu perlu dijadikan amalan. Istiadat menyalang, istilah yang digunakan di Negeri Sembilan itu akan menjdi lebih meriah jika seluruh warga adat di Negeri Sembilan mengikutinya secara tradisi. Istilah menyalang ini kalau di negeri lain yang mengamalkan adat temenggung dipanggil bertandang kan? Tetapi awas jangan salah kaprah makna dan pengertian istilah menyalang itu. Jangan ada yang kata menyalang itu berasal daripada perkataan "jalang" yang mempunyai konotasi negatif.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.