Thursday, October 18, 2012

REMBAU, SEJARAH DAN PERLEMBAGAAN: PERLUNYA EDISI RUMI


 
Buku ini, Rembau, Sejarah dan perlembagaan (terbitan 1953) ditulis dalam Jawi. Ia   diterjemah, dipinda dan dpadankan oleh Abbas bin Haji Ali, Guru Kanan di Sekolah Menengah King George V, Seremban. Cikgu Abbas berasal dari Chengkau, Negeri Sembilan. Buku ini dipadankan daripada karangan C.W.C Parr dan W.H. Mackerry yang tersiar dalam jurnal "Straits Branch Roral Asiatic Society, Bilangan 56," Disember tahun 1910 dan dikeluarkan oleh Jabatan Undang Dan Perlembagaan Adat dan Istiadat Melayu Rembau.

 Buku ini menggambarkan sejarah pentadbiran dan sistem Adat Perpatih di Rembau. Tujuan buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi adalah untuk melihat konsep, falsafah dan pelaksanaan adat ini dengan segala keunikan dan keistimewaannya. Juga buku ini ingin menunjukkan kepada masyarakat umum, terutama golongan muda dari negeri beradat itu bahawa adat yang dibawa dari Tanah Minangkabau (Sumatera Barat) sejak 350 tahun dahulu begitu serasi dan berjaya meningkatkan tahak tamadun penduduk Rembau, khususnya dan Negeri Sembilan amnya. Sejarah yang dipaparkan dalam buku ini mengikat erat hbungan antara penduduk Rembau dengan masyarakat zaman lampau yang berpusat di Melaka dan kemudian berhijrah ke Johor.

 Buku ini juga meninjau  bagaimana negeri ini telah maju dan mempunyai peradaban dan kebudayaan , semenjak runtuhnya  Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Para warga Rembau menghormati dan memandang undang-undang dan adat mereka. Bagi mereka  adat dan undang-undang  berjalan bagaikan “membujur lalu, melintang patah”  yang membawa erti adat tetap berjalan lurus mengikut matlamatnya. Seperti kata orang tua-tua, “Biar mati anak, asalkan jangan mati adat.” Falsafah perbilangan ini memberi kesan yang mendalam. Secara harafiahnya sahaja, jika anak hidup tapi tidak mahu mengikut adat dan undang-undang, maka dia tidak akan dihargai dan dihormati.

 Menurut pengkaji adat perpatih, Norhalim Bin Haji Ibrahim Adat Perpatuh yang berasal dari Minangkabau itu disesuaikan dengan adat dan peraturan tempatan. Sistem matriakal yang ditunjangi adat itu kebetulan bersamaan dengan amalan matriakal orang tempatan. Hal ini menyebabkan adat ini semakin dirasakan sesuai dengan jiwa dan kehidupan orang tempatan yang menerima persemendaan dengan perantau-perantau dari Alam Minangkabau.

 Buku ini asalnya diterbtkan dalam rulisan Jawi. Tujuan penterjemah yang diwakili warisnya meminta buku ini diterbitkan semula dalam versi Rumi untuk mengelak daripada tuduhan bahawa adat itu kononnya tidak relevan dan bersalahan dengan hukum syarak zaman ini. Dalam Kata Pengantarnya, Cikgu Abbas  menulis, “Pada masa yang akhir ini, didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan dengan berbagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya, mengatakan pada beberapa perkara, maka adat ini adalah kononnya telah tidak bersesussian lagi dengan zaman sekarang.” (CatatanA.F.Yassin).


 

Wednesday, July 25, 2012

GLOSARI ADAT NEGERI SEMBILAN


(Dipetik daripada akhbar mingguan, Utusan Zaman, 28 Julai 2002)


 


CATATAN A.F.YASSIN


Perbilangan Adat Perpatih Dibukukan



Sekali lagi Norhalim Ibrahim, mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang  menunjukkan bahawa dia bukan calang penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Warga suku Batu Hampar Rembau ini menambah sebuah lagi buku tentang adat yang bakal menemui pembaca di pasaran Ogos depan. Dengan bantuan Kerajaan Negeri Sembilan, terutama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar, Norhalim mengusahakan Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan. Katanya, “Saya mengambil masa dua tahun lebih mengkaji setiap istilah yang ada kaitannya dengan adat Perpatih.”  Norhalim sejak bersara dari UPM dilantik sebagai Karyawan Tamu kerajaan negeri. Tugas utamanya mengusahakan penyusunan gloasari perbilangan adat perpatih.



Menteri Besar yakin Norhalim mampu melakukannya berdasarkan sejumlah buku tentang adat perpatih yang telah ditulisnya. Sejak satu dekad lalu, Norhalim berjaya menerbitkan Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998). Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996).



Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat, walaupun katanya akan ada beberapa buah buku lagi bakal disiapkan. Semuanya tentang adat di tanah-tanah luak seperti Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Tampin dan Naning. Katanya, “Sedang dirancang. Insya Allah, kalau tak ada haral, semuanya akan diusahakabn. Doa sahajalah supaya badan saya sihat walafiat.” Ini kata-katanya ketika saya mengunjunginya di Seremban baru-baru ini.



Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah  oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.



Buku Glosari yang disusunnya  bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat  masih memerlukan satu bahan rujukan yang  “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.”  Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan. Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu  mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun  masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang  sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga. 



Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan  peranan pembesar adat yang sebelumnya  berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah  “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai  saksi dan penasihat.



Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek  kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”



Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an,  ramai orang tua di negeri itu berpendapat  bahawa perbuatan merakamkan  segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk  “mengkanunkan” adat Perpatih. Tidak pula dinyatakan sebab-sebabnya. .



“Saya harap tidak ada siapa nak cuba tentang usaha saya menyusun istilah  adat ini,” kata Norhalim. “Walaupun saya rasa apa yang saya hasilkan ini belum lengkap dan masih mempunyai kelemahan. Saya terpaksa mulakan. Kalau tak ada oragn lain berbuat apakah salah saya membuatnya?”  Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan  dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”



Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta  adat. Hampir seluruh kehidupan  beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan  apa yang disebut  “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu. Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti  peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud  peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi  keperluan  hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.



Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di  Naning berbeza sedikit  daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?



Cuma yang dijelaskan adat Naning  diamalkan oleh 25 buah mukin di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus. Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah  lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam gloasri ini. Tanpa penjelasan lanjut  istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.



Barangkali pula Norhalim menganggap keterangan ringkas itu bukan satu kelemahan. Ia mungkin satu muslihat sekedar memperkenalkan istilah adat dengan catatan bahawa yang berminat akan sabar menunggu kelahiran buku Sejarah Tampin yang sedang diusahakan Nurhalim selanjutnya. Jika demikian halnya, maka fungsi sampingan glosari ini ialah “menjadi alat menggeletek pembaca” untuk menunggu dengan sabar penerangan lanjut tentang  ‘Adat  Tampin” dan sebagainya. Masih ada istilah-istilah seperti “Adat Jelebu”, “Adat Sungai Ujung”, “Adat Rembau” Adat Johor” dan Adat Temenggung.”



Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah  “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.



Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol. Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.



Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca. Dalam lampiran ini disenaraikan satu-persatu nama gelaran, jawatan dan lokasi luak. Glosari diterbitkan hanya dalam edisi kulit tebal dengan harga senaskhah  tidak dicatatkan. -ends






Wednesday, April 25, 2012

ADAT PERPATIH DI REMBAU DAN NANING: ADA APA-APA PERBEZAAN?


Allahyarham TS Abd. Samad Idris (kanan), mantan menteri dalam kabinet Persekutuan, juga pengarang buku tentang Adat perpatih yang gigih. Beberapa tokoh pengarang yang saling beliau hubungi ketika hayatnya ialah Allahyarham Dharmawijaya, Dharmala NS dan Norhalim Ibrahim.


Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar Ruyung pergi ke tanah seberang  (Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995), Norhalim Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar.

 Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.”

 Anggapan versi mana yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut. Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan pembukaannya.”

 Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan “calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah pencabar terdekatnya.

 Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Rombongan meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah.

 Ketua rombongan Datuk Perpatih mula menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu. Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk-penduduk asli tempatan.

 Pada tahun 1372, dan setelah berada selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau.

 Terombo versi Naning pula membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai  hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun  di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk Naning.

 Datuk Naning pertama mewujudkan Suku Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke Lubok Kepong.

 Terombo versi Naning mendakwa Datuk Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka”  dan memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di Naning.

 Maka jelas melalui kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera. Dalam hal ini kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman.

 Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan kilometer  di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan  jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka. Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian.

 Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim. Menurut Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke Rembau pada tahun 1490an Raja untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendiling dan bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam.

 Mereka sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur system masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan system adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal.

 Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin Skudai anak angkatnya.

 Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah “kiri mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kanan mudik.”  Datuk Leteh menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau hari ini.

 Walaupun terombo versi Rembau ini tidak menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang yang sama.

 Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula bersempadankan Naning. Sedangkan  Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk. Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak.

 Kedua, titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau). Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya adan proses penyemendaan antara orang Minang dengan penduduk tempatan.

 Ketiga dan dianggap lebih penting ialah kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala Pilah memperlihatkan satu perjalan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembari dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah. Secara geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan Rembau adalah lebih rasional.

 Demikianlah, tiga versi terombo yang kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh peneroka dengan daerah tempat tinggalnya. (A.F.Yassin, Utusan Melayu Mingguan suatu ketika dahulu. )






Monday, April 16, 2012

RISIKO "MEMBUNUH" ADAT DEMI MEMPERTAHANKAN ANAK!

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz dalam satu majlis santapan Diraja di Negeri Sembilan.


RISIKO MEMBUNUH ADAT DEMI MEMPERTAHAN ANAK
Oleh A.F.Yassin

Seorang pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Seremban menyifatkan isyarat kurang sopan seorang pembesar adat (Undang Luak) Mei 2005 lalu dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri sebagai kurang sopan dan tak beradat. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah melanggari adat yang menaikkan darjat dan martabatnya. Kadang-kadang pembesar adat ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada pembesar adat yang terang-terang mahu mematikan adat itu sendiri.”

Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakan kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.

Pandangan penyelidik Adat Perpatih itu menunjukkan keprihatinannya tentang sikap dan tingkah laku orang Melayu, khususnya terhadap adat kebiasaan yang sejak dahulu kala mengawal kehidupan sehari-harian mereka. Barangkali pandangannya bahawa “adat sudah mati” sedikit keterlaluan, namun jika pembesar adat sendiri yang tidak menghormati adat, tidak ada jaminan orang ramai atau anak buah pembesar adat ini tidak akan mengikuti perbuatannya. Ibarat kata bidalan “bapak borek anak rintik.”

Pandangan penyelidik adat ini mengingatkan kita kepada kata-kata Datuk Onn Jaafar ketika memimpin orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dahulu. Datuk Onn dalam buku Biografi Dato’ Onn Jaafar (Penerbit Fajar Bakti, 1984), menyeru orang Melayu menerima konsep “biar mati adat jangan mati anak” sebagai satu anjakan paradigma. Bagi Dato’ Onn adat yang mengatur kehidupan harian orang Melayu yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai perlu disisihkan sahaja. Pemerhati politik menilai seruan Datuk Onn ini mulai memberi kesan positif kepada perlakuan dan pemikiran orang Melayu umumnya. Yang paling ketara, orang Melayu telah mula berjiwa korporat, bukan lagi petani, orang Melayu sudah mula berfikir global tidak lagi lokal.

Seruan Datuk Onn dan pandangan penyelidik Adat Perpatih tentang “adat telah mati dan mahu dimatikan” bagaikan membawa kesan negatif dan positif. Jelas dua kes berasingan ini memperlihatkan pemahaman tentang adat yang berbeza-beza. Pendek kata istilah “adat” yang dimkasudkan oleh Datuk Onn dan penyelidik Adat Perpatih mempunyai definisi berlainan. Ertinya juga adat dan pengertiannya perlu dilihat secara terpisah-pisah, yang satu berbeza dengan yang lain.

Ada yang akan bertanya, “Sebenarnya adat itu apa?” Jawaban kepada pertanyaan yang sederhana ini boleh juga sederhana, iaitu peraturan hidup sehari-hari. Kalau hidup tidak berperaturan, namanya hidup “tak beradat”. Maka aturan itulah yang dinamakan adat. Bak kata orang Minang: Duduk tagak beradat. Berbicara beradat. Berjalan beradat. Makan minum beradat. Bertamu beradat. Bahkan menguap dan batuk pun beradat.
Tetapi dalam pengertian biasa ini adat mungkin apa yang disebut sopan santun dan tatasusila dalam pergaulan sehari-hari. Masih banyak lagi pengertian lain. Masih banyak aturan lain yang sangat mendasar dan mengikat, termasuk hal yang dikaitkan dengan landasan berfikir, nilai-nilai dan falsafah hidup dan hokum yang perlu dipatuhi. Pemikir adat merangkumi seluruh aturan hidup bermasyarakat itu ke dalam empat kategori, iaitu adat yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.

Manakala ramai ahli sejarah menyamakan adat dengan undang-undang, berdasarkan kepada pengertian “aturan hidup harian”. Jika pengertian ini dipakai maka seruan Datuk Onn akan memakan diri sendiri. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu jika “adat dimatikan untuk menyelamatkan anak”? Kacau-bilau dan kehidupan tak menentu dan hukum rimba akan mengambil alih peranan adat. “Anak-anak” yang hidup dan tidak lagi “beradat” akan berkelakuan lebih rendah berbanding haiwan.

Penerhati politik menyifatkan seruan Datuk Onn itu ditujukan, khususnya kepada tiga kategori adat, iaitu adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat. Kesemua kategori adat ini membabitkan tingkah laku, kebiasaan, landasan berfikir dan falsafah orang Melayu. Sesetengah kalangan menilai seruan Datuk Onn itu sebagai meninggalkan kebiasaan dan pemikiran orang Melayu yang tidak lagi relevan dengan kehendak zaman dan mencari kebiasaan dan pemikiran baru. Seperti kata seorang ahli veteran UMNO yang diminta pendapatnya, “Datuk Onn mahu orang Melayu lebih pragmatic, dinamik dan berdaya maju, kalau kita masih mahu kekalkan slogan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia.”

Katanya lagi, “Jadi jangan kita salah anggap seruan Datuk Onn itu. Dia mahu kita orang Melayu buang semua kebiasaan dan aturan hidup yang merugikan dan fikirkan survival Melayu seribu tahun lagi. Bagi saya itu satu seruan ikhlas dan kasihnya Datuk Onn kepada orang Melayu. Adat yang merugikan Melayu itu dibuang sajalah. Saya setuju adat adat kebiasaan yang boleh kita teruskan seperti yang sering kita laungkan, iaitu tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Malah ada adat yang mengekalkan jati diri kita orang Melayu dan survival nama Melayu bergantung kepada selama lama mana ia dapat bertahan.”

Adat yang dimaksudkan veteran UMNO itu ialah adat yang sebenar adat. Ia telah menjadi institusi dan menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau masyarakat. Termasuk dalam adat ini boleh dilihat dalam sesuatu kelompok masyarakat Melayu. Di Negeri Sembilan, misalnya, silsilah keturunan mengikut garis ibu atau apa yang desebut sebagai matrilineal merupakan adat yang menjadi identity Melayu negeri itu. Adat itu dikatakan berasal dari Minangkabau. Ada pula mendakwa ia adalah warisan adat asetempat (orang asli) yang diadunkan dengan adat pendatang dari Sumatera Barat.

Ada pula adat yang dikaitkan dengan larangan berkahwin sesuku. Larangan ini ada kaitannya dengan system matrilineal bahawa masyarakat sesuku itu sebenarnya bersaudara di garis ibu. Lazimnya anak-anak dari dua wanita adik-beradik kandung tidak dibenarkan berkahwin sesama sendiri. Ini mungkin menjadi alasan mengapa diadakan larangan berkahwin sesuku itu.

Di peringkat nasional, ada yang melihat sistem beraja yang diamalkan Malaysia hari ini adalah lanjutan daripada adat zaman dahulu, walaupun dalam keadaan yang telah diubah suai mengikut kehendak zaman. Jika satu waktu dahulu raja adalah kuasa dan titahnya adalah undang-undang mengikut adat, hari ini raja adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Kekuasaan yang pernah dimilikinya berpindah ke pihak lain melalui dasar dan amalan demokrasi.

Jika adat yang sebenar adat ini “dimatikan” maka identiti orang Melayu; khususnya dan Malaysia amnya tercalar, malah boleh hilang. Seperti yang dikatakan bijak pandai adat, “Dianjak layu dicabut mati.” Ada yang mempersoalkan Melayu tidak akan hilang jika adat mati. Memang benar secara raga (fizikal) dan darah daging Melayu tidak akan hilang, tetapi identiti, semangat dan jiwa yang bernama Melayu tetap akan mati. Orang Melayu boleh mamtikan adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat-istiadat dan identity dan jiwa Melayu tetap utuh, tetapi jika Melayu mematikan adat yang sebenar adat, maka konsep “biar mati adat jangan mati anak” dalam landasaran berfikir orang Melayu akan menyebabkan apa apa yang kita kenal sebagai identiti Melayu hari ini akan hilang digantikan dengan suatu “identity Melayu yang sama sekali baru dan serba serbi asing.”

Kemungkinan besar inilah yang dibayangkan pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Sembilan itu apabila dia berkata, “Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang.” Orang Melayu di Negeri Sembilan tidak lagi menjadikan sistem Adat Perpatih sebagai agen pengatur kehidupan sehari-hari masyarakatnya. Malah adat itu sendiri telah dimatikan. Tidak ada lagi institusi undang, lembaga dan buapak. Lebih parah lagi pembesar adat, terutama yang bertingkah menyalahi adat dan yang selama ini mendapat rezeki melalui kedudukannya di sisi adat akan lonco dan uceh. Dia kehilangan segala-galanya. (tersiar dalam Mingguan Utusan Zaman dalam ruangan 'Sembang-Sembang" 3 Jun 2005

A.F.Yassin
3 Jun 2005

Tuesday, August 16, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa Oleh Nagari Nan Tuo...

Kenangan...14 Ogos 2011
Posted: 14 Aug 2011 05:23 PM PDT
Hari ini merupakan hari ke 15 umat Islam menunaikan puasa di bulan Ramadhan dan ini merupakan posting saya ke 2 di dalam bulan Ramadhan. Saya agak sibuk menyiapkan kajian mengenai Adat dan Budaya Bugis Negeri Sembilan. Minggu lepas saya dan rakan-rakan telah melawat Muzium Bugis di Pontian bagi mendapatkan maklumat. Bulan puasa ini merupakan bulan bagi kami menyelesaikan kajian kami kerana hanya tinggal 3 bulan untuk menyiapkannya.

Namun di dalam waktu yang sama, saya tidak ketinggalan menghadiri sebarang bengkel yang diadakan walaupun di dalam bulan Ramadhan. Berdiskusi dan berbengkel di dalam bulan Ramadhan memang menyeronokkan kerana kita tidak perlu memikirkan pasal makan mahupun minum. Sabtu yang lalu (13hb Ogos 2011) saya telah menghadiri tazkirah adat di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah. Kehadiran tidak begitu ramai tetapi banyak perkara baru dan isu-isu yang timbul mengenai adat. Tazkirah bertajuk "Kepimpinan Pemimpin Adat" disampaikan oleh Prof Dato' Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, Ketua Jabatan Kesusasteraan UPSI di mana beberapa isu yang diperbincangkan seperti tanah, kerjan dan berkodin.

Isu tanah adat merupakan salah satu isu yang paling sensasi dan terhangat di Kuala Pilah ketika ini. Untuk pengetahuan semua, tanah-tanah adat telah diambil bagi projek melebarkan jalan dari Ulu Bendul - Tanjong Ipoh. Saya difahamkan bahawa terdapat beberapa pampasan yang telah diambilalih pengurusannya oleh Amanah Raya. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, perkara ini berlaku apabila penama-penama tanah tidak membuat pindah milik nama terhadap tanah tersebut. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila penama telah meninggal dunia. Di samping itu pula, Dato'-Dato' Lembaga tidak dipanggil di dalam mesyuarat di antara penama (pemilik tanah), pejabat daerah dan kontraktor menyebabkan perkara ini bertambah kelam kabut. Sepatutnya, pembesar-pembesar adat dipanggil di dalam sebarang urusan tanah adat kerana khidmat nasihat dan tandatangan mereka diperlukan. Di samping itu, mereka boleh memberi nasihat kepada anak-anak buah mengenai duit pampasan yang diperolehi. Bagaimana pembahagiannya dan apa jua sebarang masalah yang timbul.

Harus diingat, apabila sekiranya tanah adat telah bertukar bentuk kepada duit (dijual atau pengambilan semula), duit tersebut harus dibahagikan mengikut faraid. Perkara ini tidak ramai yang mengetahuinya dan kebiasaannya, penama tanah tersebut akan ambil kesemua duit tersebut. Malah terdapat di kalangan Dato'-Dato' Lembaga tidak mengetahuinya.

Isu yang paling hangat di dalam perbincangan ialah isu anak angkat mendapat 2/3 bahagian tanah adat manakala individu yang berhak tidak mendapat sebarang bahagian. Di dalam Adat Perpatih, anak angkat hanya berhak mendapat bahagiannya sebanyak 1/3 jika beliau telah diterima sebagai kodin iaitu menjalankan adat berkodin aur serumpun. Di dalam isu ini, waris mengatakan adat berkodin tidak dijalankan secara sempurna dan hairan bagaimana tandatangan mereka ada di dalam surat berkodin. Isu ini telah dibawa kepada Dato' Lembaga suku tersebut dan Tiang Balai Penghulu namun tiada tindakan yang diambil. Saya merasa hairan bagaimana perkara ini berlaku kerana Dato' Lembaga seharusnya amanah dan jujur di dalam menjalankan tugasnya sebagai pembesar adat. Saya berpendapat perkara ini merupakan salah satu dari sumbang dua belas dan terpulang kepada anak-anak buah mengadakan kerapatan bagi membincangkannya.

Ada juga yang mempertikaikan kenapa anak lelaki tidak mendapat bahagian terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai anak perempuan. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya keluarga tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki boleh diberi hak sebagai pemilik sepanjang hayat di mana ia boleh duduk di tanah tersebut sepanjang hayatnya. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut perlu dipulangkan kepada waris-waris yang ada. Salah seorang peserta mempertikaikan perkara ini dengan menyatakan ia tidak adil kerana anak lelaki terpaksa menjaga ayahnya dan meminta semua berfikir di luar kotak. Bagi saya sungguh malang kerana yang berkata begitu berstatus Buapak dan persoalan yang timbul bukan masalah berfikir di luar kotak. Saya cuba menerangkan namun agak sukar kerana beliau beranggapan perlu berfikir di luar kotak.

Persoalan saya bagi masalah ini :
1. Tanah adat ini siapa yang punya. Ketika peneroka asal atau ketua suku yang pertama membuka tanah atau kawasan, beliau mengamanahkan tanah tersebut kepada anak-anak perempuan atau waris perempuan. Tanah tersebut hanya diwariskan kepada perempuan namun anak lelaki masih mempunyai hak di situ iaitu hak memakai di mana sebarang hasil boleh diambil dan dimakan oleh anak lelaki. Apa jua keputusan yang ingin diambil terhadap tersebut perlu mendapat persetujuan semua. Sekiranya apa-apa berlaku terhadap anak lelaki, anak perempuan perlu mengambil semula menjaga saudara lelakinya. Sekiranya tiada anak perempuan, anak lelaki boleh diberikan hak sepanjang hayat. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut akan diserahkan kepada waris perempuan sama ada sepupu perempuan ataupun anak buah perempuan. Dahulu tanah adat dimiliki bersama oleh ahli-ahli suku di mana ia bukan hanya dimiliki oleh seorang individu. Setelah kemasukan Inggeris, sistem cukai tanah dan sistem pemilikan diperkenalkan maka setiap tanah perlu dinamakan kepada pemilik bagi memudahkan Inggeris mengutip cukai. Hakikatnya, walaupun tanah tersebut dinamakan kepada mana-mana individu, ia masih milik bersama suku.
2. Beliau juga mempersoalkan sekiranya tanah tersebut diberikan kepada waris perempuan yakni sepupu beliau, adakah mereka akan menjaga bapanya. Bagi beliau adalah wajar sekiranya anak lelaki menjaga bapa maka tanah tersebut harus diberikan kepada anak lelaki. SUNGGUH MEMALUKAN. Perasaan ini timbul di dalam hati saya. Dimanakah tanggungjawab anak menjaga ayahnya? Adakah beliau mengharap balasan harta di atas tanggungjawab tersebut?
3. Apabila lelaki berkahwin dengan perempuan Adat Perpatih, bermaksud bersemenda dengan keluarga perempuan. Memang benar, orang semenda mempunyai hak di tempat semenda namun ada batasan-batasannya. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya isteri meningal dunia maka suami akan dijemput oleh waris perempuannya kerana ketika berkahwin beliau telah diserahkan kepada keluarga perempuan. Jadi adakah wajar tanah tersebut diberikan kepada lelaki. Sekiranya boleh, bagaimana dengan pembahagian tanah tersebut sekiranya beliau meninggal dunia. Siapakah Dato' Lembaga yang akan bertanggungjawab dan menandatangani surat pindah milik.
Ini sekadar persoalan saya timbulkan bagi kita fikirkan bersama. Mari kita hayati pantun yang sering diucapkan oleh orang-orang tua mengenai anak lelaki.....
Ko ghantau madang kek ulu
Bobuah bobungo bolun
Moghantau bujang dulu
Kek ghumah boguno bolun


Hayati dan fahami juga maksud perbilangan ini :-
Apo guno eh kobau botali
Usah dipaut kek pomatang
Paut an jo kek tongah padang
Apo guno kito moncaghi
Buek pomogang sawah samo ladang
Nan mombolo sanak sodagho



Oh ya....sebagai seorang pembesar adat janganlah menyalahkan orang lain kerana tidak mengetahui haknya. Pembesar adat harus mengetahui bahawa secara undang-undangnya mereka terletak di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1957 melalui Dewan Undang dan Keadilan. Ada yang meminta supaya ada pekeliling. Seharusnya sebagai pembesar adat, mereka harus rajin mencari dan mengetahui apa jua hak mereka bukan menunggu orang lain memberitahu mereka. Sekarang ini ramai pembesar adat hanya menunggu orang lain memberitahu mereka dan bukan mencari. Apabila diberitahu dengan sombong mengatakan ia salah. Namun, bukan semua pembesar adat tidak mengetahui hak mereka. Bagi yang bersungguh-sungguh dan sanggup mencari dan berkongsi, saya amat hargai dan hormati.

------------------------------------

Setelah selesai sesi tazkirah, saya menuju ke Seri Menanti dengan tujuan ziarah makam Tok Pandak di Kampung Juar. Saya masuk melalui jalan Kg Tanjung dan seterusnya ke Kg Juar. Saya tidak menjumpai makam tersebut di mana saya tersesat sehingga ke Ulu Pilah. Namun setelah beberapa lama mencari, barulah saya temui makam tersebut. Apabila saya ingin memasuki kawasan makam, saya dapati ia berada di dalam kawasan rumah orang. Saya mengambil keputusan untuk membaca Al-Fatihah dari jauh saja. Tiba-tiba kelihatan tuan rumah datang dengan membawa kunci pagar. Rupa-rupanya tuan rumah seorang perempuan dan beliau menunjukkan pintu kecil untuk ke makam. Saya merasa gembira kerana dapat memasuki kawasan makam Tok Pandak. Sempat juga saya menziarahi surau Tok Pandak dan masih digunakan sehingga kini.

Ketika saya ingin balik, tuan rumah memanggil saya masuk. Banyak cerita yang menarik saya perolehi mengenai Tok Pandak dan juga mengenai surau tersebut. Kami bercerita mengenai keluarga beliau, bagaimana kehidupannya dan suami sebagai askar dan kehidupan ketika zaman darurat sehinggalah anak cucunya. Rupa-rupanya menantu tuan rumah adalah Pegawai Latih saya (Kapten Nazri) ketika saya menjadi kadet PALAPES di UPM. Saya diberitahu bahawa Kapten Nazri (dinaikkan pangkat Mejar) telah meninggal dunia kerana kanser mulut dalam tahun 2006 yang lalu. Ia telah mengimbau kembali kenangan saya ketika di zaman kadet PALAPES dan barulah saya teringat bahawa saya dan rakan-rakan pernah ke rumah tersebut ketika majlis perkahwinan Kapt. Nazri.

Saya lihat jam tangan saya menunjukkan jam 5 petang dan saya meminta izin untuk balik. Saya sampai di rumah lebih dalam jam 6.30 petang. Walaupun penat saya berasa puas hati kerana banyak perkara saya perolehi.

-----------------------------------------

P/S :

Buat Allahyarham Kapt. Nazri, semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Buat rakan semua Intake ke 11 PALAPES UPM, kalau ada kesempatan dan ruang waktu marilah kita beramai-ramai menziarahi keluarga Allahyarham Kapt. Nazri pada hari raya Aidil Fitri yang akan datang. Keluarga Allahyarham menetap di Taman Bukit Kepayang, Seremban. Anak sulong Allahyarham (lelaki) sekarang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.

Komen: Saya salin sepenuhnya "Kenangan" bloger Nagari Nan Tuo untuk rujukan peminat adat perptih Negeri Sembilan khasny dan pembaca umum di seluruh tanah air amnya.





Thursday, July 14, 2011

Bila Lagi Galeri Undang Luhak Rembau Di Istana Raja Mahu Dibuka Semula?

Di pintu masuk ke Muzium Istana Melewar di Istana Raja: Masih belum dibuka semula untuk dikunjungi pelancong.

Tanya blog Nagari Nan Tuo "Bila Mahu Siap?" pada 13 Julai 2011? terhadap
Projek naik taraf galeri Undang Luak Rembau terbengkalai enam bulan

Rembau : Projek menaik taraf membabitkan galeri Undang Luak Rembau di Muzium Replika Istana Raja di sini, yang terbengkalai sejak enam bulan yang lalu bukan saja menimbulkan kemusykilan di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung malah boleh menjejaskan imej muzium berkenaan.

Muzium itu menempatkan pelbagai khazanah sejarah negeri ini termasuk asal usul Raja Melewar yang menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama.

Sumber Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, projek menaik taraf galeri itu yang menelan belanja kira-kira RM70,000 bermula pada Julai tahun lalu dan sepatutnya siap Disember tahun sama.

"Bagaimanapun, projek itu sehingga kini terbengkalai sekaligus menyebabkan galeri berkenaan tidak dapat dikunjungi kerana terpaksa ditutup. Malah, sejak awal tahun ini, tiada kerja bagi menyiapkan projek itu dijalankan pihak kontraktor dilantik manakala sistem pendawaian elektrik dalam galeri berkenaan didapati berterabur. Pengunjung yang datang hanya dibenarkan melawat bahagian lain daripada keseluruhan muzium berkenaan dan tidak berpeluang melawat galeri Undang Luak Rembau kerana ditutup selepas kerja menaik taraf bahagian itu terbengkalai," katanya.

Kata sumber itu, kerja menaik taraf galeri berkenaan sudah mencapai 60 peratus siap sebelum ia terhenti pada Disember tahun lalu.

Seorang kakitangan LMNS yang enggan disiarkan namanya berkata, kerja menaik taraf galeri itu sudah terbengkalai lebih enam bulan lalu.

Menurutnya, punca sebenar keadaan itu tidak diketahui namun ramai pengunjung termasuk dari luar negeri ini yang datang melahirkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang melawat galeri berkenaan.

"Mereka berpendapat lawatan tidak lengkap kerana tidak dapat melawat keseluruhan galeri berkenaan termasuk galeri terbabit yang memaparkan pelbagai sejarah khususnya mengenai latar belakang Undang Luak Rembau iaitu sebahagian sejarah mengenai sistem Adat Perpatih, " katanya.

Sementara itu, Pengarah LMNS, Dr Shamsudin Ahmad ketika dihubungi berkata, gangguan najis kelawar menyebabkan sistem pendawaian elektrik di galeri itu terjejas walaupun secara keseluruhannya projek menaik taraf galeri berkenaan sudah siap.

"Sistem pendawaian elektrik perlu dibuat semula dan dikemas kini hingga selesai sebelum galeri itu boleh dibuka kepada orang ramai. Saya jangkakan galeri berkenaan dibuka pada Isnin atau Selasa minggu depan kerana secara keseluruhannya kerja menaik taraf galeri itu sudah siap," katanya.




Sumber : Harian Metro - 13hb Julai 2011 (Rabu)
_____________________________________________

Ulasan :-

Malang sungguh nasib LMNS di mana pada saat dan ketika Pesta Persukuan Adat Perpatih akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini, LMNS digemparkan satu lagi berita sensasi mengenai Galeri Undang Rembau di Muzium Replika Istana Raja Melewar di Astana Raja, Rembau. Perkara yang sama berlaku ketika Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2011 berlangsung di Seremban, kita digemparkan dengan berita Teratak Za'aba. Adakah ia bertujuan untuk merosakkan nama LMNS? Jawapannya.........

Sebenarnya isu Galeri Undang Rembau telah lama berlaku. Sebelum proses menaik taraf dilakukan, galeri sentiasa ditutup atas alasan tahi kelawar. Memang saya bersetuju kerana struktur pembinaan muzium tersebut mengundang kelewar beristirehat di kawasan bumbung muzium. Banyak perkara yang boleh dipersoalkan mengenai muzium ini.

Saya malas untuk komen perkara ini. Bagi saya LMNS, perlu proaktif mengembalikan nama baik LMNS di mata masyarakat. Pengerusi LMNS perlu melakukan penstrukturan semula tanpa mengira apa jua keadaan bagi menyelamatkan LMNS.

Cuma ada beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh LMNS terutamanya pihak pengurusan :-
1. Projek ini telah bermula sejak dari Julai 2010 dan dijangkakan selesai dalam bulan Disember 2010 dan ia ditutup sejak proses menaikkan taraf. Namun begitu, sehingga kini ia masih ditutup. Sekarang bulan Julai 2011, ini bermakna ia telah ditutup hampir setahun.
2. Dimanakah peranan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini memantau perjalanan menaik taraf berlangsung?
3. Menurut Pengarah LMNS, proses menaikkan taraf telah selesai tetapi agak pelik apabila pendawaian elektrik ada masalah. Ini bermakna proses menaik taraf tersebut belum selesai sepenuhnya.
4. Adakah kontraktor telah dibayar sepenuhnya?. Jika telah dibayar, siapakah yang menandatangani Letter of Acceptance dan mengesahkan ia selesai.
5. Jika telah dibayar, bagaimana pembayaran dilakukan sedangkan projek belum selesai sepenuhnya?
6. Akhir sekali, boleh ke galeri tersebut dibuka semula minggu depan. Saya berharap Pengarah tidak menjawab semata-mata kerana perlu menjawab. Secara logiknya, semua kakitangan LMNS sibuk untuk menguruskan persiapan Pesta Persukuan Adat Perpatih di Muzium Diraja Istana Lama, Seri Menanti. Oleh yang demikian, siapakah yang akan memantau kerja-kerja yang akan dilakukan oleh kontraktor.



-------------------------------------

Saturday, June 25, 2011

Istana Lama Di Seri Menanti Menggamit Pengunjung


Istana Lama Seri Menanti

Istana Lama Seri Menanti merupakan salah sebuah istana lama Malaysia yang indah dari segi bentuk senibina tradisional. Dibina dalam tahun 1931 oleh dua orang tukang kayu yang mahir dan terkenal iaitu Kahar dan Taib. Senibinanya empat tingkat, mempunyai 99 batang tiang kayu cengal dan pembinaannya tidak menggunakan paku. Struktur atas bumbungnya menggunakan kayu cengal dan bentuknya menjadi inspirasi struktur bumbung bangunan Muzium Negara. Tingkat pertama merupakan Balai Rong Seri, iaitu tempat mengadap. Bilik beradu keluarga diraja terletak di tingkat dua manakala tingkat tiga dikhaskan untuk Yang DiPertuan Besar. Tingkat menara iaitu 'Tingkat Gunung' menempatkan khazanah dan tempat berehat diraja (Dengan ehsan fb Persatuan Sejarah NS, 22 Jun 2011).

Tuesday, May 31, 2011

DI LUAR ADAT PERPATIH MAJLIS MENYALANG ITU BERTANDANG NAMANYA


Dato' Sedia Raja Undang Rembau yang ke-18, Haji Abdullah Dahan. Mungkinkah istiadat menyalang perkhwinannya diadkan di rumah telapak, milik ibunya di Kg. Tanjung, Kota?

Kalau di luar lingkungan Adat Perpatih, istiadat menyalang ini dipanggil bertandang, terutama yang menyangkut majlis perkahwinan. Lazimnya majlis menyalang ini dilakukan oleh pihak pengantin lelaki dan diadakan selepas majlis perkahwinan di sebelah pihak pengantin perempuan. Kalau majlis itu melibatkan institusi Undang, itu lain ceritanya. Untuk mengetahui lebih lanjut majlis menyalang yang melibatkan Undang ini ikutilah cerita menarik yang dilaporkan BERNAMA seperti yang disiarkan Utusan Malaysia, 20 Mei 2011 yang lalu. Saya kutip berita daripada blog Nagari Nan Tuo seperti berikut:


Keunikan istiadat menyalang UM 20 mei 2011

PEPATAH Tak lapok dek hujan, tak lekang dek paneh seringkali diungkapkan apabila membicarakan mengenai Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan. Istiadat menyalang Datuk Lembaga dan Buapak delapan kampung Suku Biduanda Luak Rembau yang diadakan di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau di Rembau baru-baru ini menyerlahkan keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk Negeri Sembilan.
Istiadat Menyalang ini adalah adat istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru mengadap dengan penuh beradat dan istiadat.
Istiadat kali kelima ini yang diadakan di kediaman rasmi Undang Luak Rembau sejak tahun 1999 menyaksikan empat orang penyandang pusaka yang baru dilantik merafak sembah kepada penyandang pusaka yang lebih tinggi yang juga sebagai pelengkap atau istiadat terakhir pelantikan mereka.
Mereka ialah penyandang Pusaka Lembaga iaitu Datuk Putih Khairol Nizam Yahya (Suku Batu Hampar Petani) dan Datuk Panglima Dagang Ruslan Nunet (Suku Seri Melenggang Minangkabau) serta Pusaka Buapak iaitu Datuk Juan Mohd Ros Mohd Yunus (Buapak Suku Biduanda Kampung Tebat) dan Datuk Samaraja Dzulkefli Ismail (Buapak Suku Biduanda Kampung Kota).
Majlis itu turut menyaksikan rombongan penyandang pusaka sukunya bersama dan anak buah mengadap dengan beradat dan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sireh, serta iringan seperti nasi besar (panco) yang berisi telur, wajik, dodol dan boko atau dulang yang berisi kuih muih.
Mengikut adat kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail.
Perlantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau adalah amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu. Ia adalah tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih atau dipilih.
Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan kematian dan "memuntahkan" pusaka dan sebagainya. Di Luak Rembau, penyandang pusaka adat akan diganti selepas 100 hari kekosongan berlaku.
Kebulatan mengikut pepatah "Bulat air dek pembetong, bulat kata dek muafakat" akan diadakan untuk mencari "benih" dalam menentukan "perut" mengikut giliran.
Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman berkata istiadat ini menjadi teras dalam mendirikan adat bagi penyandang pusaka adat yang baru.
Adat istiadat itu dizahirkan (diamalkan) daripada nenek moyang terdahulu dan sehingga kini masih dipegang teguh kepada sistem adat dan seterusnya memakmurkan institusi adat itu sendiri.
"Keindahan adat kita sungguh jelas. Istiadat ini bertujuan memasyhur dan mengisytiharkan secara rasmi kepada anak buah berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga.
"Kehadiran mereka dengan rombongan menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat itu," katanya pada majlis Istiadat Menyalang itu. - Bernama

Sunday, May 15, 2011

MAJLIS BERADAT YANG PERLU DIURUS DAN TERUSKAN BAGI PENGAMAL ADAT PERPATIH

Allahyarham Dharmawijaya banyak menulis puisi bersandarkn penghayatannya tentang adat perpatih di negeri beradat itu.

Istiadat Menyalang Unik, Istimewa

Rembau - Keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk negeri ini terserlah dalam Istiadat Menyalang yang berlangsung di kediaman rasmi Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman.
Istiadat untuk meraikan penyandang pusaka yang baru dilantik berikutan kematian penyandang lama itu memerlukan penyandang pusaka berkenaan merafak sembah kepada penyandang pusaka lebih tinggi seperti Buapak dengan menghadap Datuk Lembaga atau Datuk Lembaga menghadap Undang Luak Rembau.

Selain itu, istiadat ini juga bertujuan mengisytiharkan secara rasmi kepada masyarakat berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga serta istiadat terakhir pelantikan mereka.

Pada majlis itu, empat penyandang baru yang dilantik bersama isteri menghadap Datuk Undang Rembau dengan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sirih diiringi nasi besar (panco) berisi telur, wajik, dodol dan dulang berisi kuih manakal Datuk Undang Rembau membalas dengan songkok serta sebilah keris.

Ketika berucap, Muhamad berkata, istiadat ini yang menjadi pelengkap kepada penyandang pusaka baru adalah warisan nenek moyang yang berpegang teguh kepada adat. "Kekeliruan orang luar terhadap Adat Perpatih berpunca akibat kurang pengetahuan nilai adat dan diharap anak-anak di luak ini dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dengan adat. Penyandang pusaka baru yang dilantik juga diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, terutama membabitkan tanah pusaka," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Melayu Negeri, Datuk Razi Kail dan Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Rawi Baharom.
Sementara itu, Mohamad Razi berkata, istiadat yang kali terakhir diadakan pada 1999 adalah di antara keistimewaan di negeri itu dan boleh menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa. Beliau berkata, kerajaan akan terus mempromosikan Adat Perpatih kepada pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri serta tidak wujud di negeri lain. Sumber : Berita Harian.

Ulasan :
Saya mengucapkan tahniah kepada semua penyandang pusaka Dato' Lembaga yang baru. Tanggungjawab sebagai penyandang pusaka adat amat berat dan besar sekali. Ia bukan sekadar berkisar mengenai tanah adat ataupun berkaitan harta pusaka di mana ia meliputi semua perkara di dalam kehidupan seharian.

Sebagai Anak Rembau, saya memohon jasa baik Dato'-Dato' Lembaga yang baru dilantik, agar dapat mengeratkan dan memperbaiki hubungan di kalangan anak-anak buah. Sebagaimana diketahui, semasa proses pemilihan Dato'-Dato' Lembaga, terdapat ramai calon yang layak. Jadi berlakulah ketidakpuasan hati sehingga menyebabkan bermasam muka antara satu sama lain di kalangan anggota suku. Mungkin juga ada yang berasa kecil hati ataupun kecewa kerana tidak dipilih sebagai Dato' Lembaga. Oleh yang demikian, tugas pertama yang harus dilakukan oleh setiap Dato' Lembaga, memperbaiki hubungan sesama anak buah dan rapat semula perhubungan tali persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Hormati setiap anak buah kerana tanpa sokongan anak buah, Dato' Lembaga tidak bermakna. Luangkan masa dengan melawat mana-mana anak-anak buah yang kurang berupaya, sakit mahupun kurang kemampuan. Tidak menjadi kesalahan Dato' Lembaga mengumpul maklumat anak-anak buah yang memerlukan bantuan dan diserahkan kepada Pengerusi JKKK untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan oleh semua penyandang pusaka adat, ia akan memartabatkan lagi kedudukan Dato' Lembaga dan anak-anak buah akan lebih hormat.

Komen:
Yalah, benda yang baik itu perlu dijadikan amalan. Istiadat menyalang, istilah yang digunakan di Negeri Sembilan itu akan menjdi lebih meriah jika seluruh warga adat di Negeri Sembilan mengikutinya secara tradisi. Istilah menyalang ini kalau di negeri lain yang mengamalkan adat temenggung dipanggil bertandang kan? Tetapi awas jangan salah kaprah makna dan pengertian istilah menyalang itu. Jangan ada yang kata menyalang itu berasal daripada perkataan "jalang" yang mempunyai konotasi negatif.

Tuesday, May 10, 2011

PEPATAH-PETITIH ADAT PERPATIH DALAM GLOSARI ADAT

 
 
Allahyarham Norhalim Ibrahim, dari warga suku Batu Hampar, rembau ini bukan calang-calang  penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Allahyarham menyusun buku glosari perbilangan adat perpatih yng diterbitkan sembilan tahun yang lalu. Sebelum buku ini Allhyarham melahirkan sejumlah buku adat, antaranya, Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998).

Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996). Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat

Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah  oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.

Buku Glosari yang disusunnya  bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat  masih memerlukan satu bahan rujukan yang  “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.”  Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan.

Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu  mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun  masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang  sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga. 

Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan  peranan pembesar adat yang sebelumnya  berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah  “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai  saksi dan penasihat.

Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek  kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”

Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an,  ramai orang tua di negeri itu berpendapat  bahawa perbuatan merakamkan  segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk  “mengkanunkan” adat Perpatih.

Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan  dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”

Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta  adat. Hampir seluruh kehidupan  beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan  apa yang disebut  “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu.

Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti  peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud  peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi  keperluan  hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.

Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di  Naning berbeza sedikit  daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?

Cuma yang dijelaskan adat Naning  diamalkan oleh 25 buah mukim di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus.

Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah  lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam glosari ini. Tanpa penjelasan lanjut  istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.

Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah  “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.

Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol.

Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.

Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca.

Tuesday, May 3, 2011

HUBUNGAN LELA BALANG DENGAN LAUT DALAM DI REMBAU



Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Abdul Isa Samad, tengah, membelek-belek buku Negeri Yang Sembilan, susunan Norhalim Ibrahim, kanan, sambil diperhatikan Cikgu Yaakob Idrus. Kelihatan Cikgu Nordin Hassan di belakang. 


DAERAH  Rembau, tidak akan wujud seperti adanya hari ini tanpa penglibatan dua tokoh pembesar Minangkabau yang bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam. Menurut buku Negeri Yang Sembilan, terbitan 1985)  susunan Norhalim Ibrahim (Allahyarham), kedua-dua tokoh ini adalah pendatang dari kerajaan Minangkabau yang meneroka Rembau , daerah baruh yang telah ramai  didiami penduduk tempatan. Komuniti tempatan ini berasimilasi dengan pendatang dari seberang. Komuniti tempatan ini diketuai oleh Batin Skudai yang tinggal di Relong dan kemudian pindah ke Kampung Lada, Chengkau, sebelum menjadikan Datuk Lela Balang menantunya dan tinggal sementara di Kota Lama.

Menurut Norhalim, Datuk Lela Balang berasal dari Batu Hampar bersukukan Caniago. Ada yang mendakwa Datuk Lela Balang adalah dari Suku Batu Hampar  Paya Bidara. Ada pula yang yakin bahawa Datuk Lela Balang ini berasal dari daerh istana Pagar Ruyung, yang terletak dalam Suku Tanah Datar dan datang bersama Batin Pak Tinjau dengan isterinya, Mak Inan. Datuk Lela Balang masih bujang ketika berhijrah. Sebelum sampai di Kampong Kota Lama mereka ke Sungai Barat di Sungai Sayong. Mereka menghadap Sultan Melaka yang ketika itu bersemayam di Sungai Sayong setelah berundur dari Melaka akibat serangan Portugis.

Sebahagian daripada pengikut Datuk Lela Balang dari Suku Mungkal bermukim di kaki Gunung Datuk (Rembau) sementara Datuk Lela Balang sendiri tinggal di Kampung Kota Lama bersama Datuk Leteh, yang datang lebih awal. Hari ini Kampung Mungkal itu berjiran dengan Kampong Api-Api yang terletak di sebelah hulu.

Datuk Lela Balang kemudian berkahwin dengan Datuk Bungkal, anak Batin Skudai. Atas persetujuan bersama Datuk Lela Balang dan isteri menetap terus di Kota Lama di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kiri, sementara Datuk Leteh berpindah ke Kampong Perah, di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kanan. Kawasan baru Datuk Leteh ini dinamakan Kampong Perah kerana terdapat banyak pokok perah atau dalam bahasa latinnya disebut Elateriospermum Tapos di kawasan itu

Menurut Sejarahwan C.W.C Parr dan W.H. Mackray, dalam bukunya Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs, 1910, Datuk Lela Balang berhijrah ke Rembau bersama seorang lagi pembesar Minangkabau bernama Datuk Laut Dalam yang telah beristerikan seorang wanita berketurunan Jawa. Dikatakan kedua-dua pembesar ini bersama-sama menghadap Sultan di Johor untuk mendapatkan apa yang disebut hari ini sebagai watikah perlantikan bersama pembesar daerah yang diberi gelar Datuk Penghulu.  

Datuk Laut Dalam berasal dari Paya Kumbuh dari suku Tiga Nenek. Datuk Laut Dalam membuka Kampung Lekok kira-kira 500 meter ke hilir Kampong Kota Lama, di mana Datuk Lela Balang bermukim. Tidak dijelaskan nama isteri Datuk Laut Dalam. Namun perkahwinan mereka meberikan empat orang puteri, iaitu Datuk Sitimah, Datuk Shamsiah, Datuk Natimah dan Datuk Samadidi. Sementara perkhwinan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal menghasilkan lima orang anak (empat perempuan dan seorang lelaki. Anak-anak perempuan diberi nama Datuk Pandung, Datuk Siti,  Datuk Lijah dan Dtuk Makraman. Anak lelakinya (mungkin anak bongsu)  dinamakan Datuk Si Rama.

Bagi melaksanakan titah perlantikan Sultan di Johor dan mengelak daripada timbulnya sebarang pertikaian politik dan pentadbiran, maka dipersetujuilah supaya Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam memanfaatkan sistem perkhwinan dengan hidup berbesan. Ini bermakna anak Datuk Lela Balang yang bernama Datuk Si Rama dikahwinkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam yang bernama Datuk Siti Hawa. Perkahwinan Si Rama dengan Siti Hawa ini melahirkan seorang anak lelaki bernama Datuk Amba, yang kemudian dilantik sebagai  Penghulu atau Undang Rembau ke-2 dengan gelaran Datuk Sedia Raja. Ketika itu Penghulu atau Undang Rembau ialah Datuk Si Rama yang memakai gelaran Datuk Lela Maharaja.

Maka di sini jelaslah bahawa kedua-dua pembesar dari Minangkabau ini tidak mempunyai apa-ap hubungan kekeluargaan pada mulanya dan hanya menjalin hubungan melalui perkahwinan setelah bermastautin di Rembau. Datuk Lela Balang membuka kawasan di Kota Lama dan Datuk Laut Dalam di Kampung Lekok, sementara peneroka awal, Datuk Leteh membawa diri ke Kampong Perah. Luas daerah lingkungan pentadbiran tiga kampung ini sekitar satu km radius.

Ahli Prlimen Rembau hari ini, YB Khairy Jamaluddin adalah daripada waris keturunan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal daripada nisab Datuk Undang Rembau Ke-17, Haji Sulong Miah Lela Maharaja yang berasal dari Suku Biduanda Lela Maharaja Kampong Gadong Darat. Namun berdasarkan sistem matrileneal yang diamalkan Adat Perpatih (bersukukan sebelah ibu), bapa Khairy, Datuk Jamaludin Abu Bakar adalah sah dari waris Biduanda Lela Maharaja, sementara Khairy yang beribukan seorang wanita di luar lingkungan Adat Perpatih tidak masuk suku.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.