Tuesday, August 16, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa Oleh Nagari Nan Tuo...

Kenangan...14 Ogos 2011
Posted: 14 Aug 2011 05:23 PM PDT
Hari ini merupakan hari ke 15 umat Islam menunaikan puasa di bulan Ramadhan dan ini merupakan posting saya ke 2 di dalam bulan Ramadhan. Saya agak sibuk menyiapkan kajian mengenai Adat dan Budaya Bugis Negeri Sembilan. Minggu lepas saya dan rakan-rakan telah melawat Muzium Bugis di Pontian bagi mendapatkan maklumat. Bulan puasa ini merupakan bulan bagi kami menyelesaikan kajian kami kerana hanya tinggal 3 bulan untuk menyiapkannya.

Namun di dalam waktu yang sama, saya tidak ketinggalan menghadiri sebarang bengkel yang diadakan walaupun di dalam bulan Ramadhan. Berdiskusi dan berbengkel di dalam bulan Ramadhan memang menyeronokkan kerana kita tidak perlu memikirkan pasal makan mahupun minum. Sabtu yang lalu (13hb Ogos 2011) saya telah menghadiri tazkirah adat di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah. Kehadiran tidak begitu ramai tetapi banyak perkara baru dan isu-isu yang timbul mengenai adat. Tazkirah bertajuk "Kepimpinan Pemimpin Adat" disampaikan oleh Prof Dato' Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, Ketua Jabatan Kesusasteraan UPSI di mana beberapa isu yang diperbincangkan seperti tanah, kerjan dan berkodin.

Isu tanah adat merupakan salah satu isu yang paling sensasi dan terhangat di Kuala Pilah ketika ini. Untuk pengetahuan semua, tanah-tanah adat telah diambil bagi projek melebarkan jalan dari Ulu Bendul - Tanjong Ipoh. Saya difahamkan bahawa terdapat beberapa pampasan yang telah diambilalih pengurusannya oleh Amanah Raya. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, perkara ini berlaku apabila penama-penama tanah tidak membuat pindah milik nama terhadap tanah tersebut. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila penama telah meninggal dunia. Di samping itu pula, Dato'-Dato' Lembaga tidak dipanggil di dalam mesyuarat di antara penama (pemilik tanah), pejabat daerah dan kontraktor menyebabkan perkara ini bertambah kelam kabut. Sepatutnya, pembesar-pembesar adat dipanggil di dalam sebarang urusan tanah adat kerana khidmat nasihat dan tandatangan mereka diperlukan. Di samping itu, mereka boleh memberi nasihat kepada anak-anak buah mengenai duit pampasan yang diperolehi. Bagaimana pembahagiannya dan apa jua sebarang masalah yang timbul.

Harus diingat, apabila sekiranya tanah adat telah bertukar bentuk kepada duit (dijual atau pengambilan semula), duit tersebut harus dibahagikan mengikut faraid. Perkara ini tidak ramai yang mengetahuinya dan kebiasaannya, penama tanah tersebut akan ambil kesemua duit tersebut. Malah terdapat di kalangan Dato'-Dato' Lembaga tidak mengetahuinya.

Isu yang paling hangat di dalam perbincangan ialah isu anak angkat mendapat 2/3 bahagian tanah adat manakala individu yang berhak tidak mendapat sebarang bahagian. Di dalam Adat Perpatih, anak angkat hanya berhak mendapat bahagiannya sebanyak 1/3 jika beliau telah diterima sebagai kodin iaitu menjalankan adat berkodin aur serumpun. Di dalam isu ini, waris mengatakan adat berkodin tidak dijalankan secara sempurna dan hairan bagaimana tandatangan mereka ada di dalam surat berkodin. Isu ini telah dibawa kepada Dato' Lembaga suku tersebut dan Tiang Balai Penghulu namun tiada tindakan yang diambil. Saya merasa hairan bagaimana perkara ini berlaku kerana Dato' Lembaga seharusnya amanah dan jujur di dalam menjalankan tugasnya sebagai pembesar adat. Saya berpendapat perkara ini merupakan salah satu dari sumbang dua belas dan terpulang kepada anak-anak buah mengadakan kerapatan bagi membincangkannya.

Ada juga yang mempertikaikan kenapa anak lelaki tidak mendapat bahagian terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai anak perempuan. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya keluarga tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki boleh diberi hak sebagai pemilik sepanjang hayat di mana ia boleh duduk di tanah tersebut sepanjang hayatnya. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut perlu dipulangkan kepada waris-waris yang ada. Salah seorang peserta mempertikaikan perkara ini dengan menyatakan ia tidak adil kerana anak lelaki terpaksa menjaga ayahnya dan meminta semua berfikir di luar kotak. Bagi saya sungguh malang kerana yang berkata begitu berstatus Buapak dan persoalan yang timbul bukan masalah berfikir di luar kotak. Saya cuba menerangkan namun agak sukar kerana beliau beranggapan perlu berfikir di luar kotak.

Persoalan saya bagi masalah ini :
1. Tanah adat ini siapa yang punya. Ketika peneroka asal atau ketua suku yang pertama membuka tanah atau kawasan, beliau mengamanahkan tanah tersebut kepada anak-anak perempuan atau waris perempuan. Tanah tersebut hanya diwariskan kepada perempuan namun anak lelaki masih mempunyai hak di situ iaitu hak memakai di mana sebarang hasil boleh diambil dan dimakan oleh anak lelaki. Apa jua keputusan yang ingin diambil terhadap tersebut perlu mendapat persetujuan semua. Sekiranya apa-apa berlaku terhadap anak lelaki, anak perempuan perlu mengambil semula menjaga saudara lelakinya. Sekiranya tiada anak perempuan, anak lelaki boleh diberikan hak sepanjang hayat. Apabila anak lelaki tersebut meninggal dunia, tanah tersebut akan diserahkan kepada waris perempuan sama ada sepupu perempuan ataupun anak buah perempuan. Dahulu tanah adat dimiliki bersama oleh ahli-ahli suku di mana ia bukan hanya dimiliki oleh seorang individu. Setelah kemasukan Inggeris, sistem cukai tanah dan sistem pemilikan diperkenalkan maka setiap tanah perlu dinamakan kepada pemilik bagi memudahkan Inggeris mengutip cukai. Hakikatnya, walaupun tanah tersebut dinamakan kepada mana-mana individu, ia masih milik bersama suku.
2. Beliau juga mempersoalkan sekiranya tanah tersebut diberikan kepada waris perempuan yakni sepupu beliau, adakah mereka akan menjaga bapanya. Bagi beliau adalah wajar sekiranya anak lelaki menjaga bapa maka tanah tersebut harus diberikan kepada anak lelaki. SUNGGUH MEMALUKAN. Perasaan ini timbul di dalam hati saya. Dimanakah tanggungjawab anak menjaga ayahnya? Adakah beliau mengharap balasan harta di atas tanggungjawab tersebut?
3. Apabila lelaki berkahwin dengan perempuan Adat Perpatih, bermaksud bersemenda dengan keluarga perempuan. Memang benar, orang semenda mempunyai hak di tempat semenda namun ada batasan-batasannya. Di dalam Adat Perpatih, sekiranya isteri meningal dunia maka suami akan dijemput oleh waris perempuannya kerana ketika berkahwin beliau telah diserahkan kepada keluarga perempuan. Jadi adakah wajar tanah tersebut diberikan kepada lelaki. Sekiranya boleh, bagaimana dengan pembahagian tanah tersebut sekiranya beliau meninggal dunia. Siapakah Dato' Lembaga yang akan bertanggungjawab dan menandatangani surat pindah milik.
Ini sekadar persoalan saya timbulkan bagi kita fikirkan bersama. Mari kita hayati pantun yang sering diucapkan oleh orang-orang tua mengenai anak lelaki.....
Ko ghantau madang kek ulu
Bobuah bobungo bolun
Moghantau bujang dulu
Kek ghumah boguno bolun


Hayati dan fahami juga maksud perbilangan ini :-
Apo guno eh kobau botali
Usah dipaut kek pomatang
Paut an jo kek tongah padang
Apo guno kito moncaghi
Buek pomogang sawah samo ladang
Nan mombolo sanak sodagho



Oh ya....sebagai seorang pembesar adat janganlah menyalahkan orang lain kerana tidak mengetahui haknya. Pembesar adat harus mengetahui bahawa secara undang-undangnya mereka terletak di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1957 melalui Dewan Undang dan Keadilan. Ada yang meminta supaya ada pekeliling. Seharusnya sebagai pembesar adat, mereka harus rajin mencari dan mengetahui apa jua hak mereka bukan menunggu orang lain memberitahu mereka. Sekarang ini ramai pembesar adat hanya menunggu orang lain memberitahu mereka dan bukan mencari. Apabila diberitahu dengan sombong mengatakan ia salah. Namun, bukan semua pembesar adat tidak mengetahui hak mereka. Bagi yang bersungguh-sungguh dan sanggup mencari dan berkongsi, saya amat hargai dan hormati.

------------------------------------

Setelah selesai sesi tazkirah, saya menuju ke Seri Menanti dengan tujuan ziarah makam Tok Pandak di Kampung Juar. Saya masuk melalui jalan Kg Tanjung dan seterusnya ke Kg Juar. Saya tidak menjumpai makam tersebut di mana saya tersesat sehingga ke Ulu Pilah. Namun setelah beberapa lama mencari, barulah saya temui makam tersebut. Apabila saya ingin memasuki kawasan makam, saya dapati ia berada di dalam kawasan rumah orang. Saya mengambil keputusan untuk membaca Al-Fatihah dari jauh saja. Tiba-tiba kelihatan tuan rumah datang dengan membawa kunci pagar. Rupa-rupanya tuan rumah seorang perempuan dan beliau menunjukkan pintu kecil untuk ke makam. Saya merasa gembira kerana dapat memasuki kawasan makam Tok Pandak. Sempat juga saya menziarahi surau Tok Pandak dan masih digunakan sehingga kini.

Ketika saya ingin balik, tuan rumah memanggil saya masuk. Banyak cerita yang menarik saya perolehi mengenai Tok Pandak dan juga mengenai surau tersebut. Kami bercerita mengenai keluarga beliau, bagaimana kehidupannya dan suami sebagai askar dan kehidupan ketika zaman darurat sehinggalah anak cucunya. Rupa-rupanya menantu tuan rumah adalah Pegawai Latih saya (Kapten Nazri) ketika saya menjadi kadet PALAPES di UPM. Saya diberitahu bahawa Kapten Nazri (dinaikkan pangkat Mejar) telah meninggal dunia kerana kanser mulut dalam tahun 2006 yang lalu. Ia telah mengimbau kembali kenangan saya ketika di zaman kadet PALAPES dan barulah saya teringat bahawa saya dan rakan-rakan pernah ke rumah tersebut ketika majlis perkahwinan Kapt. Nazri.

Saya lihat jam tangan saya menunjukkan jam 5 petang dan saya meminta izin untuk balik. Saya sampai di rumah lebih dalam jam 6.30 petang. Walaupun penat saya berasa puas hati kerana banyak perkara saya perolehi.

-----------------------------------------

P/S :

Buat Allahyarham Kapt. Nazri, semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Buat rakan semua Intake ke 11 PALAPES UPM, kalau ada kesempatan dan ruang waktu marilah kita beramai-ramai menziarahi keluarga Allahyarham Kapt. Nazri pada hari raya Aidil Fitri yang akan datang. Keluarga Allahyarham menetap di Taman Bukit Kepayang, Seremban. Anak sulong Allahyarham (lelaki) sekarang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.

Komen: Saya salin sepenuhnya "Kenangan" bloger Nagari Nan Tuo untuk rujukan peminat adat perptih Negeri Sembilan khasny dan pembaca umum di seluruh tanah air amnya.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.