Thursday, July 14, 2011

Bila Lagi Galeri Undang Luhak Rembau Di Istana Raja Mahu Dibuka Semula?

Di pintu masuk ke Muzium Istana Melewar di Istana Raja: Masih belum dibuka semula untuk dikunjungi pelancong.

Tanya blog Nagari Nan Tuo "Bila Mahu Siap?" pada 13 Julai 2011? terhadap
Projek naik taraf galeri Undang Luak Rembau terbengkalai enam bulan

Rembau : Projek menaik taraf membabitkan galeri Undang Luak Rembau di Muzium Replika Istana Raja di sini, yang terbengkalai sejak enam bulan yang lalu bukan saja menimbulkan kemusykilan di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung malah boleh menjejaskan imej muzium berkenaan.

Muzium itu menempatkan pelbagai khazanah sejarah negeri ini termasuk asal usul Raja Melewar yang menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama.

Sumber Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, projek menaik taraf galeri itu yang menelan belanja kira-kira RM70,000 bermula pada Julai tahun lalu dan sepatutnya siap Disember tahun sama.

"Bagaimanapun, projek itu sehingga kini terbengkalai sekaligus menyebabkan galeri berkenaan tidak dapat dikunjungi kerana terpaksa ditutup. Malah, sejak awal tahun ini, tiada kerja bagi menyiapkan projek itu dijalankan pihak kontraktor dilantik manakala sistem pendawaian elektrik dalam galeri berkenaan didapati berterabur. Pengunjung yang datang hanya dibenarkan melawat bahagian lain daripada keseluruhan muzium berkenaan dan tidak berpeluang melawat galeri Undang Luak Rembau kerana ditutup selepas kerja menaik taraf bahagian itu terbengkalai," katanya.

Kata sumber itu, kerja menaik taraf galeri berkenaan sudah mencapai 60 peratus siap sebelum ia terhenti pada Disember tahun lalu.

Seorang kakitangan LMNS yang enggan disiarkan namanya berkata, kerja menaik taraf galeri itu sudah terbengkalai lebih enam bulan lalu.

Menurutnya, punca sebenar keadaan itu tidak diketahui namun ramai pengunjung termasuk dari luar negeri ini yang datang melahirkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang melawat galeri berkenaan.

"Mereka berpendapat lawatan tidak lengkap kerana tidak dapat melawat keseluruhan galeri berkenaan termasuk galeri terbabit yang memaparkan pelbagai sejarah khususnya mengenai latar belakang Undang Luak Rembau iaitu sebahagian sejarah mengenai sistem Adat Perpatih, " katanya.

Sementara itu, Pengarah LMNS, Dr Shamsudin Ahmad ketika dihubungi berkata, gangguan najis kelawar menyebabkan sistem pendawaian elektrik di galeri itu terjejas walaupun secara keseluruhannya projek menaik taraf galeri berkenaan sudah siap.

"Sistem pendawaian elektrik perlu dibuat semula dan dikemas kini hingga selesai sebelum galeri itu boleh dibuka kepada orang ramai. Saya jangkakan galeri berkenaan dibuka pada Isnin atau Selasa minggu depan kerana secara keseluruhannya kerja menaik taraf galeri itu sudah siap," katanya.




Sumber : Harian Metro - 13hb Julai 2011 (Rabu)
_____________________________________________

Ulasan :-

Malang sungguh nasib LMNS di mana pada saat dan ketika Pesta Persukuan Adat Perpatih akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini, LMNS digemparkan satu lagi berita sensasi mengenai Galeri Undang Rembau di Muzium Replika Istana Raja Melewar di Astana Raja, Rembau. Perkara yang sama berlaku ketika Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2011 berlangsung di Seremban, kita digemparkan dengan berita Teratak Za'aba. Adakah ia bertujuan untuk merosakkan nama LMNS? Jawapannya.........

Sebenarnya isu Galeri Undang Rembau telah lama berlaku. Sebelum proses menaik taraf dilakukan, galeri sentiasa ditutup atas alasan tahi kelawar. Memang saya bersetuju kerana struktur pembinaan muzium tersebut mengundang kelewar beristirehat di kawasan bumbung muzium. Banyak perkara yang boleh dipersoalkan mengenai muzium ini.

Saya malas untuk komen perkara ini. Bagi saya LMNS, perlu proaktif mengembalikan nama baik LMNS di mata masyarakat. Pengerusi LMNS perlu melakukan penstrukturan semula tanpa mengira apa jua keadaan bagi menyelamatkan LMNS.

Cuma ada beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh LMNS terutamanya pihak pengurusan :-
1. Projek ini telah bermula sejak dari Julai 2010 dan dijangkakan selesai dalam bulan Disember 2010 dan ia ditutup sejak proses menaikkan taraf. Namun begitu, sehingga kini ia masih ditutup. Sekarang bulan Julai 2011, ini bermakna ia telah ditutup hampir setahun.
2. Dimanakah peranan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini memantau perjalanan menaik taraf berlangsung?
3. Menurut Pengarah LMNS, proses menaikkan taraf telah selesai tetapi agak pelik apabila pendawaian elektrik ada masalah. Ini bermakna proses menaik taraf tersebut belum selesai sepenuhnya.
4. Adakah kontraktor telah dibayar sepenuhnya?. Jika telah dibayar, siapakah yang menandatangani Letter of Acceptance dan mengesahkan ia selesai.
5. Jika telah dibayar, bagaimana pembayaran dilakukan sedangkan projek belum selesai sepenuhnya?
6. Akhir sekali, boleh ke galeri tersebut dibuka semula minggu depan. Saya berharap Pengarah tidak menjawab semata-mata kerana perlu menjawab. Secara logiknya, semua kakitangan LMNS sibuk untuk menguruskan persiapan Pesta Persukuan Adat Perpatih di Muzium Diraja Istana Lama, Seri Menanti. Oleh yang demikian, siapakah yang akan memantau kerja-kerja yang akan dilakukan oleh kontraktor.



-------------------------------------

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.