Pada 20 Februari 2011 baru-baru ini, terima jemputan kahwin daripada seorang sahabat lama, Bahari bd. Rahman. Sahabat lama ini mantan pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan. Lama sungguh tak dengar cerita daripada sahabat ini. Beliau mengirim jemputan melalui facebook. Jemputannya berbunyi: "Selamat bertemu setelah sekian lama. Saya nak menjemput sdr ke Majlis Perkahwinan anak saya FARAH SYAFINA pada 13.3.2011. Ahad di Dewan Perdana Felda,KL. Majlis bermula jam 8.00 mlm. Sebelum itu majlis pernikahannya akan diadakan pada 11.3.2011 Jumaat di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Seri Rampai. Kedatangan sdr sangat saya harapkan sbb dah lamo bona tak jumpo. Sambutan ala Tradisi Adat Pepatih pulak akan diadakan pada 26.3.2011, di A FAMOSA Resort, Melaka mulai 8.00 mlm. ok ???.
Yang menariknya sahabat lama ini ingin memperagakan acara tarian tradisi adat perpatih di A Farmosa. Dalam keterangan lanjutnya, sahabat saya ini menjelaskan: "Adat Pepatih itu kulit jo sbb nak bona nak bokanda mcm dulu2. Lopeh tu nak torinai, tari piring. Kalau ada maso nak bungo api sekali."
Mengadakan tarian tradisi begini bukan kulit lagi. Malah apa yang ingin dilakukan oleh sahabat lama ini memng patut diberi pujian. Pling-paling sahabat lama ini ingin meneruskan tarian orang Melayu di Negeri Sembilan, khususnya di Rembau.
Biasanya apabila adat perkahwinan memasukkan acara tarian dalam majlisnya, maka tarian terinai dan tarian piring tidak ditinggalkan. Dalam tarian terinai, misalnya, terdapat unsur mengibur dalam bentuk lawak jenaka dengan menggunakan bahasa badan. Gerak tari penari, biasanya seorang lelaki, akan membuatkan penonton ketawa bagaikan menyaksikan lakonan seoarang pelawak di atas pentas. Gerak badannya cukup menyoronokkan (hilarious).
Alat bunyi-bunyian yang mengiringi tarian hanyalah satu gong (tetawak) dan satu rebana dengan piring. Penari akan mengetuk piring mengikut rentak lagu dengan cincin dilekatkan di salah satu jari kanannya. Memang mengasyikkan.
Sekarang ini acara seperti ini jarang sekali diadakan. Penduduk di sekitar daerah Rembau, terutama di Kampung Lada, Chengkau dan Gadong mungkin masih ingat cara penari Abu Bakar "Sontel" melakukan tarian ini dengan lenggok badannya yang menggelikan hati pada tahun-tahun 1960an dahulu. Lemah gemalai gerak badannya tiada taranya pada zaman itu.
Dalam majlis ini biasanya juga acara dikir rebana tidak ditinggalkan dan kumpulan dikir ini akan bermain sepanjang malam sehingga subuh diiringi lirik panjang memuji kebesaran Illahi.Dikir ini dimulakan dengan rentak perlahan dan berakhir dengan tempo kecepatan yang tinggi. Setiap dikir akan mengambil masa selama sejam.Dua kumpulan dikir yang begitu popular pada ketika itu adalah dari Kumpulan Dikir Kampong Batang Nyamor, Gadong dan Kumpulan Dikir Kampong Lada, Chengkau.