Lelaki tidak hilang harta jika kahwin
SEREMBAN 14 Julai - Adat perpatih di negeri ini dikatakan tidak berasal sepenuhnya daripada adat yang diamalkan di tanah Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget (gambar) berkata, adat perpatih Negeri Sembilan merupakan gabungan adat Minangkabau, adat Siak di Sumatera serta adat masyarakat Orang Asli di sini.
Menurut beliau, gabungan elemen tersebut menjadikan adat perpatih amalan masyarakat berketurunan Minangkabau di negeri ini unik.
"Justeru, tanggapan segelintir pihak mengatakan adat perpatih Negeri Sembilan serupa dengan adat Minangkabau adalah kurang tepat," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Adat Nan Diuca Pakai' pada program Syarahan Negeri Sembilan 2009 di sini kelmarin.
Sementara itu, Khalid memberitahu, sistem pewarisan harta adat perpatih yang memihak kepada kaum wanita sering disalah anggap oleh masyarakat luar.
"Ramai menganggap lelaki yang mengahwini wanita berketurunan negeri ini akan kehilangan segala harta-benda ekoran terpaksa diserahkan kepada isteri.
"Sebaliknya, adat perpatih menggariskan bahawa hanya harta pusaka adat yang diwarisi seseorang wanita kekal menjadi miliknya selepas dia mendirikan rumahtangga," jelas beliau.
Katanya, pembahagian harta sepencarian selepas mendirikan rumah tangga masih tertakluk kepada hukum faraid.
Selain itu, menurut Khalid, anak atau saudara lelaki sewaris berhak memakan hasil dari tanah pusaka yang dikerjakan walaupun dia tidak memilikinya secara adat.
Sehubungan itu, tegas beliau, tanggapan yang mengatakan sistem pewarisan harta adat perpatih memberi ruang kepada kaum wanita mengikis harta suami dan saudara lelaki adalah tidak benar sama sekali.(Utusan Malaysia, 15 Julai 2009)
Komen:
Apa yang dikatakan Dato' Adat di Negeri Sembilan itu benar belaka. Masalahnya sekarang dato' ialah persepsi umum masyarakat di luar Negeri Sembilan yang masih lagi fobia hendak berkahwin dengan wanita di negeri Adat perpatih itu. Semuanya keliru dengan andaian bahawa orang Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih yang didatangkan bulat-bulat dari Minangkabau.