Tuesday, May 31, 2011

DI LUAR ADAT PERPATIH MAJLIS MENYALANG ITU BERTANDANG NAMANYA


Dato' Sedia Raja Undang Rembau yang ke-18, Haji Abdullah Dahan. Mungkinkah istiadat menyalang perkhwinannya diadkan di rumah telapak, milik ibunya di Kg. Tanjung, Kota?

Kalau di luar lingkungan Adat Perpatih, istiadat menyalang ini dipanggil bertandang, terutama yang menyangkut majlis perkahwinan. Lazimnya majlis menyalang ini dilakukan oleh pihak pengantin lelaki dan diadakan selepas majlis perkahwinan di sebelah pihak pengantin perempuan. Kalau majlis itu melibatkan institusi Undang, itu lain ceritanya. Untuk mengetahui lebih lanjut majlis menyalang yang melibatkan Undang ini ikutilah cerita menarik yang dilaporkan BERNAMA seperti yang disiarkan Utusan Malaysia, 20 Mei 2011 yang lalu. Saya kutip berita daripada blog Nagari Nan Tuo seperti berikut:


Keunikan istiadat menyalang UM 20 mei 2011

PEPATAH Tak lapok dek hujan, tak lekang dek paneh seringkali diungkapkan apabila membicarakan mengenai Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan. Istiadat menyalang Datuk Lembaga dan Buapak delapan kampung Suku Biduanda Luak Rembau yang diadakan di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau di Rembau baru-baru ini menyerlahkan keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk Negeri Sembilan.
Istiadat Menyalang ini adalah adat istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru mengadap dengan penuh beradat dan istiadat.
Istiadat kali kelima ini yang diadakan di kediaman rasmi Undang Luak Rembau sejak tahun 1999 menyaksikan empat orang penyandang pusaka yang baru dilantik merafak sembah kepada penyandang pusaka yang lebih tinggi yang juga sebagai pelengkap atau istiadat terakhir pelantikan mereka.
Mereka ialah penyandang Pusaka Lembaga iaitu Datuk Putih Khairol Nizam Yahya (Suku Batu Hampar Petani) dan Datuk Panglima Dagang Ruslan Nunet (Suku Seri Melenggang Minangkabau) serta Pusaka Buapak iaitu Datuk Juan Mohd Ros Mohd Yunus (Buapak Suku Biduanda Kampung Tebat) dan Datuk Samaraja Dzulkefli Ismail (Buapak Suku Biduanda Kampung Kota).
Majlis itu turut menyaksikan rombongan penyandang pusaka sukunya bersama dan anak buah mengadap dengan beradat dan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sireh, serta iringan seperti nasi besar (panco) yang berisi telur, wajik, dodol dan boko atau dulang yang berisi kuih muih.
Mengikut adat kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail.
Perlantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau adalah amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu. Ia adalah tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih atau dipilih.
Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan kematian dan "memuntahkan" pusaka dan sebagainya. Di Luak Rembau, penyandang pusaka adat akan diganti selepas 100 hari kekosongan berlaku.
Kebulatan mengikut pepatah "Bulat air dek pembetong, bulat kata dek muafakat" akan diadakan untuk mencari "benih" dalam menentukan "perut" mengikut giliran.
Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman berkata istiadat ini menjadi teras dalam mendirikan adat bagi penyandang pusaka adat yang baru.
Adat istiadat itu dizahirkan (diamalkan) daripada nenek moyang terdahulu dan sehingga kini masih dipegang teguh kepada sistem adat dan seterusnya memakmurkan institusi adat itu sendiri.
"Keindahan adat kita sungguh jelas. Istiadat ini bertujuan memasyhur dan mengisytiharkan secara rasmi kepada anak buah berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga.
"Kehadiran mereka dengan rombongan menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat itu," katanya pada majlis Istiadat Menyalang itu. - Bernama

Sunday, May 15, 2011

MAJLIS BERADAT YANG PERLU DIURUS DAN TERUSKAN BAGI PENGAMAL ADAT PERPATIH

Allahyarham Dharmawijaya banyak menulis puisi bersandarkn penghayatannya tentang adat perpatih di negeri beradat itu.

Istiadat Menyalang Unik, Istimewa

Rembau - Keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk negeri ini terserlah dalam Istiadat Menyalang yang berlangsung di kediaman rasmi Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman.
Istiadat untuk meraikan penyandang pusaka yang baru dilantik berikutan kematian penyandang lama itu memerlukan penyandang pusaka berkenaan merafak sembah kepada penyandang pusaka lebih tinggi seperti Buapak dengan menghadap Datuk Lembaga atau Datuk Lembaga menghadap Undang Luak Rembau.

Selain itu, istiadat ini juga bertujuan mengisytiharkan secara rasmi kepada masyarakat berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga serta istiadat terakhir pelantikan mereka.

Pada majlis itu, empat penyandang baru yang dilantik bersama isteri menghadap Datuk Undang Rembau dengan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sirih diiringi nasi besar (panco) berisi telur, wajik, dodol dan dulang berisi kuih manakal Datuk Undang Rembau membalas dengan songkok serta sebilah keris.

Ketika berucap, Muhamad berkata, istiadat ini yang menjadi pelengkap kepada penyandang pusaka baru adalah warisan nenek moyang yang berpegang teguh kepada adat. "Kekeliruan orang luar terhadap Adat Perpatih berpunca akibat kurang pengetahuan nilai adat dan diharap anak-anak di luak ini dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dengan adat. Penyandang pusaka baru yang dilantik juga diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, terutama membabitkan tanah pusaka," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Melayu Negeri, Datuk Razi Kail dan Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Rawi Baharom.
Sementara itu, Mohamad Razi berkata, istiadat yang kali terakhir diadakan pada 1999 adalah di antara keistimewaan di negeri itu dan boleh menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa. Beliau berkata, kerajaan akan terus mempromosikan Adat Perpatih kepada pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri serta tidak wujud di negeri lain. Sumber : Berita Harian.

Ulasan :
Saya mengucapkan tahniah kepada semua penyandang pusaka Dato' Lembaga yang baru. Tanggungjawab sebagai penyandang pusaka adat amat berat dan besar sekali. Ia bukan sekadar berkisar mengenai tanah adat ataupun berkaitan harta pusaka di mana ia meliputi semua perkara di dalam kehidupan seharian.

Sebagai Anak Rembau, saya memohon jasa baik Dato'-Dato' Lembaga yang baru dilantik, agar dapat mengeratkan dan memperbaiki hubungan di kalangan anak-anak buah. Sebagaimana diketahui, semasa proses pemilihan Dato'-Dato' Lembaga, terdapat ramai calon yang layak. Jadi berlakulah ketidakpuasan hati sehingga menyebabkan bermasam muka antara satu sama lain di kalangan anggota suku. Mungkin juga ada yang berasa kecil hati ataupun kecewa kerana tidak dipilih sebagai Dato' Lembaga. Oleh yang demikian, tugas pertama yang harus dilakukan oleh setiap Dato' Lembaga, memperbaiki hubungan sesama anak buah dan rapat semula perhubungan tali persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Hormati setiap anak buah kerana tanpa sokongan anak buah, Dato' Lembaga tidak bermakna. Luangkan masa dengan melawat mana-mana anak-anak buah yang kurang berupaya, sakit mahupun kurang kemampuan. Tidak menjadi kesalahan Dato' Lembaga mengumpul maklumat anak-anak buah yang memerlukan bantuan dan diserahkan kepada Pengerusi JKKK untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan oleh semua penyandang pusaka adat, ia akan memartabatkan lagi kedudukan Dato' Lembaga dan anak-anak buah akan lebih hormat.

Komen:
Yalah, benda yang baik itu perlu dijadikan amalan. Istiadat menyalang, istilah yang digunakan di Negeri Sembilan itu akan menjdi lebih meriah jika seluruh warga adat di Negeri Sembilan mengikutinya secara tradisi. Istilah menyalang ini kalau di negeri lain yang mengamalkan adat temenggung dipanggil bertandang kan? Tetapi awas jangan salah kaprah makna dan pengertian istilah menyalang itu. Jangan ada yang kata menyalang itu berasal daripada perkataan "jalang" yang mempunyai konotasi negatif.

Tuesday, May 10, 2011

PEPATAH-PETITIH ADAT PERPATIH DALAM GLOSARI ADAT

 
 
Allahyarham Norhalim Ibrahim, dari warga suku Batu Hampar, rembau ini bukan calang-calang  penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Allahyarham menyusun buku glosari perbilangan adat perpatih yng diterbitkan sembilan tahun yang lalu. Sebelum buku ini Allhyarham melahirkan sejumlah buku adat, antaranya, Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998).

Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996). Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat

Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah  oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.

Buku Glosari yang disusunnya  bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat  masih memerlukan satu bahan rujukan yang  “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.”  Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan.

Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu  mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun  masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang  sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga. 

Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan  peranan pembesar adat yang sebelumnya  berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah  “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai  saksi dan penasihat.

Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek  kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”

Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an,  ramai orang tua di negeri itu berpendapat  bahawa perbuatan merakamkan  segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk  “mengkanunkan” adat Perpatih.

Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan  dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”

Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta  adat. Hampir seluruh kehidupan  beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan  apa yang disebut  “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu.

Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti  peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud  peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi  keperluan  hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.

Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di  Naning berbeza sedikit  daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?

Cuma yang dijelaskan adat Naning  diamalkan oleh 25 buah mukim di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus.

Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah  lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam glosari ini. Tanpa penjelasan lanjut  istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.

Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah  “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.

Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol.

Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.

Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca.

Tuesday, May 3, 2011

HUBUNGAN LELA BALANG DENGAN LAUT DALAM DI REMBAU



Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Abdul Isa Samad, tengah, membelek-belek buku Negeri Yang Sembilan, susunan Norhalim Ibrahim, kanan, sambil diperhatikan Cikgu Yaakob Idrus. Kelihatan Cikgu Nordin Hassan di belakang. 


DAERAH  Rembau, tidak akan wujud seperti adanya hari ini tanpa penglibatan dua tokoh pembesar Minangkabau yang bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam. Menurut buku Negeri Yang Sembilan, terbitan 1985)  susunan Norhalim Ibrahim (Allahyarham), kedua-dua tokoh ini adalah pendatang dari kerajaan Minangkabau yang meneroka Rembau , daerah baruh yang telah ramai  didiami penduduk tempatan. Komuniti tempatan ini berasimilasi dengan pendatang dari seberang. Komuniti tempatan ini diketuai oleh Batin Skudai yang tinggal di Relong dan kemudian pindah ke Kampung Lada, Chengkau, sebelum menjadikan Datuk Lela Balang menantunya dan tinggal sementara di Kota Lama.

Menurut Norhalim, Datuk Lela Balang berasal dari Batu Hampar bersukukan Caniago. Ada yang mendakwa Datuk Lela Balang adalah dari Suku Batu Hampar  Paya Bidara. Ada pula yang yakin bahawa Datuk Lela Balang ini berasal dari daerh istana Pagar Ruyung, yang terletak dalam Suku Tanah Datar dan datang bersama Batin Pak Tinjau dengan isterinya, Mak Inan. Datuk Lela Balang masih bujang ketika berhijrah. Sebelum sampai di Kampong Kota Lama mereka ke Sungai Barat di Sungai Sayong. Mereka menghadap Sultan Melaka yang ketika itu bersemayam di Sungai Sayong setelah berundur dari Melaka akibat serangan Portugis.

Sebahagian daripada pengikut Datuk Lela Balang dari Suku Mungkal bermukim di kaki Gunung Datuk (Rembau) sementara Datuk Lela Balang sendiri tinggal di Kampung Kota Lama bersama Datuk Leteh, yang datang lebih awal. Hari ini Kampung Mungkal itu berjiran dengan Kampong Api-Api yang terletak di sebelah hulu.

Datuk Lela Balang kemudian berkahwin dengan Datuk Bungkal, anak Batin Skudai. Atas persetujuan bersama Datuk Lela Balang dan isteri menetap terus di Kota Lama di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kiri, sementara Datuk Leteh berpindah ke Kampong Perah, di tebing Sungai Rembau cabang mudik ke kanan. Kawasan baru Datuk Leteh ini dinamakan Kampong Perah kerana terdapat banyak pokok perah atau dalam bahasa latinnya disebut Elateriospermum Tapos di kawasan itu

Menurut Sejarahwan C.W.C Parr dan W.H. Mackray, dalam bukunya Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs, 1910, Datuk Lela Balang berhijrah ke Rembau bersama seorang lagi pembesar Minangkabau bernama Datuk Laut Dalam yang telah beristerikan seorang wanita berketurunan Jawa. Dikatakan kedua-dua pembesar ini bersama-sama menghadap Sultan di Johor untuk mendapatkan apa yang disebut hari ini sebagai watikah perlantikan bersama pembesar daerah yang diberi gelar Datuk Penghulu.  

Datuk Laut Dalam berasal dari Paya Kumbuh dari suku Tiga Nenek. Datuk Laut Dalam membuka Kampung Lekok kira-kira 500 meter ke hilir Kampong Kota Lama, di mana Datuk Lela Balang bermukim. Tidak dijelaskan nama isteri Datuk Laut Dalam. Namun perkahwinan mereka meberikan empat orang puteri, iaitu Datuk Sitimah, Datuk Shamsiah, Datuk Natimah dan Datuk Samadidi. Sementara perkhwinan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal menghasilkan lima orang anak (empat perempuan dan seorang lelaki. Anak-anak perempuan diberi nama Datuk Pandung, Datuk Siti,  Datuk Lijah dan Dtuk Makraman. Anak lelakinya (mungkin anak bongsu)  dinamakan Datuk Si Rama.

Bagi melaksanakan titah perlantikan Sultan di Johor dan mengelak daripada timbulnya sebarang pertikaian politik dan pentadbiran, maka dipersetujuilah supaya Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam memanfaatkan sistem perkhwinan dengan hidup berbesan. Ini bermakna anak Datuk Lela Balang yang bernama Datuk Si Rama dikahwinkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam yang bernama Datuk Siti Hawa. Perkahwinan Si Rama dengan Siti Hawa ini melahirkan seorang anak lelaki bernama Datuk Amba, yang kemudian dilantik sebagai  Penghulu atau Undang Rembau ke-2 dengan gelaran Datuk Sedia Raja. Ketika itu Penghulu atau Undang Rembau ialah Datuk Si Rama yang memakai gelaran Datuk Lela Maharaja.

Maka di sini jelaslah bahawa kedua-dua pembesar dari Minangkabau ini tidak mempunyai apa-ap hubungan kekeluargaan pada mulanya dan hanya menjalin hubungan melalui perkahwinan setelah bermastautin di Rembau. Datuk Lela Balang membuka kawasan di Kota Lama dan Datuk Laut Dalam di Kampung Lekok, sementara peneroka awal, Datuk Leteh membawa diri ke Kampong Perah. Luas daerah lingkungan pentadbiran tiga kampung ini sekitar satu km radius.

Ahli Prlimen Rembau hari ini, YB Khairy Jamaluddin adalah daripada waris keturunan Datuk Lela Balang dengan Datuk Bungkal daripada nisab Datuk Undang Rembau Ke-17, Haji Sulong Miah Lela Maharaja yang berasal dari Suku Biduanda Lela Maharaja Kampong Gadong Darat. Namun berdasarkan sistem matrileneal yang diamalkan Adat Perpatih (bersukukan sebelah ibu), bapa Khairy, Datuk Jamaludin Abu Bakar adalah sah dari waris Biduanda Lela Maharaja, sementara Khairy yang beribukan seorang wanita di luar lingkungan Adat Perpatih tidak masuk suku.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.